Kritikan Sastera "SETULUS NIAT KHALIDAH: KRITIKAN DARI ASPEK STILISTIK" berjaya mendapat saguhati dalam Pertandingan Karya Kreatif Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak bagi tahun 2014.
SETULUS NIAT KHALIDAH: KRITIKAN DARI ASPEK STILISTIK
1.0 Pengenalan
Cerpen merupakan gabungan
dua perkataan iaitu cerita pendek yang telah digabungkan menjadi ‘cerpen’.
Dalam menghasilkan sebuah cerpen yang berkualiti seorang cerpenis mestilah
mempunyai daya pemikiran dan kehebatan untuk menjadikan cerpen itu lebih bermakna
dan mendapat tempat dihati pembaca. Cerpen yang dipilih ialah Setulus Niat Khalidah (SNK) hasil
cetusan minda dan karya Abang Median Abang Said yang terkandung dalam Antologi
Karya Kreatif Hari Guru 2013. Pemilihan SNK
sebagai kajian dari aspek stilistik sangat relevan kerana karya yang dihasilkan
oleh Abang Median Abang Said sangat sesuai digarap dan diselidiki penggunaan
unsur stilistik dan Abang Median Abang Said juga sudah dikenali ramai dalam
persada penulisan cerpen, puisi mahupun novel.
Oleh itu, dalam SNK Abang Median berjaya memaparkan
unsur-unsur stilistik dalam karya beliau dan amat jelas sekali jika ditelusuri
dengan bersungguh-sungguh. Penggunaan unsur stilistik dalam SNK menjadikan SNK sebagai karya pilihan juri untuk memenangi hadiah dalam
Pertandingan Karya Kreatif Hari Guru 2013. Kebolehan Abang Median dalam
memaparkan unsur-unsur stilistik dalam SNK
menjadikan SNK menjadia karya yang
mempunyai unsur bahasa yang difahami oleh pembaca dan jalan cerita yang
dipaparkan sangat mudah difahami oleh pembaca. Jelaslah, penggunaan unsur-unsur
stilistik dalam SNK menjadikan karya
Abang Median lebih berkesan, kreatif dan berjaya dalam menampilkan kehebatan
kronologi dalam jalan ceritanya.
2.0 Sinopsis SNK
Cerpen SNK karya Abang Median mengisahkan seorang guru iaitu Puan Khalidah
Binti Musthapa atau lebih dikenali sebagai Ibu Khalidah. Beliau merupakan
seorang pengetua sekolah. Ibu Khalidah
seorang pemimpin yang bersikap sederhana, murah senyuman, mempunyai ciri-ciri
keibuan, tegas, positif dan tidak mudah melenting. Oleh itu, Ibu Khalidah
disukai oleh semua warga sekolah tetapi ada juga guru yang tidak berpuas hati
dengan Ibu Khalidah atas kejayaannya mentadbir sekolah dengan baik dan dinobatkan
sebagai pengetua cemerlang.
Ibu Khalidah telah
kehilangan suami dan dua orang anaknya yang tercinta yang terlibat dalam
kemalangan. Ibu Khalidah tabah menghadapi dugaan Tuhan kepadanya. Oleh itu,
kerinduan Ibu Khalidah kepada anaknya terubat apabila dia melihat wajah Masdia
iaitu seorang guru baharu yang ditempatkan di sekolahnya. Masdia sangat
mengasihi dan menyanjungi kepimpinan Ibu Khalidah. Masdia menjadi Ibu Khalidah
sebagai contoh kepada dirinya sebagai seorang guru.
SNK mengisahkan pergelutan
emosi yang melibatkan Ibu Khalidah apabila beberapa tohmahan yang bertubi-tubi
menyerangnya. Masdia yang mengetahui akan hal itu cuba mencari siapa dalang
kepada pertuduhan itu. Ibu Khalidah telah dianiaya oleh Cikgu Aziah kerana
Cikgu Aziah cemburu kepada apa yang telah dilakukan oleh Ibu Khalidah terhadap
sekolah tersebut. Konflik itu semakin rumit apabila laman sosial facebook Ibu Khalidah tidak boleh
ditembusi menggunakan kata masuk yang telah digodam oleh Cikgu Aziah.
Konflik dalam SNK dileraikan oleh cerpenis apabila Ibu
Khalidah meminta cuti panjang dan menyerahkan tugas kepada Cikgu Aziah. Ibu
Khalidah telah meninggal di tanah suci Makkah. Akhirnya, Cikgu Aziah terharu
dengan tindakan Ibu Khalidah yang menyedarkan dirinya.
3.0 Konsep Stilistik
Menurut Faridah Nasir
(2013:117), istilah stilistik berasal daripada bahasa Inggeris yang bermaksud style atau gaya. Menurut Abdullah dan
Ainon Mohd (1990), stilistik atau sylistics
ialah ilmu tentang stail atau gaya yang dihubungkan dengan pemakaian atau
penggunaan bahasa. Fokus dan penekanan terhadap aspek kebahasaan ilmu tersebut
muncul dalam bidang linguistik dan diperluas dalam bidang kesusasteraan yang
menggunakan bahasa sebagai wahana pengucapan. Kesan penerapan daripada disiplin
linguistik tercerminnya ilmu gaya yang membezakan gaya sastera dan gaya bukan
sastera. Definisi yang sama dikemukakan dalam kamus bahasa Indonesia yang
menyatakan bahawa, stilistik merupakan ilmu kebahasaan yang mempelajari gaya
bahasa. Bally, Jacobson, Leech, Widdowson, Levin, Chin, dan Chartman
mendefinisikan stilistik sebagai suatu deskripsi linguistik daripada bahasa yang digunakan
dalam teks sastera (Aminuddin, 1995).
Melalui disiplin
linguistik, stilistik merujuk kepada penggunaan prinsip linguistik terhadap bahasa
sastera. Stilistik atau ilmu gaya dapat dianggap sebagai kajian variasi
linguistik. Variasi linguistik ini mempunyai hubungan yang rapat dengan konteks
teks dan konteks situasi. Stilistik juga mempunyai hubungan yang rapat dengan
disiplin sosiolinguistik. Menurut Seymour Chartman (1971), stilistik lebih
memberi penekanan kepada unsur bahasa. Oleh sebab itu, kebanyakan pembicaraan
tentang stilistik diteliti melalui perkaitan antara bahasa dan linguistik.
Menurut Kamus Dewan Edisi
Keempat (2010), perkataan stilistik membawa maksud kajian tentang teknik
penggunaan gaya bahasa secara berkesan dalam penulisan. Selain itu, perkataan
stilistik juga merujuk kepada sesuatu yang berkaitan dengan stail atau gaya terutamanya
gaya bahasa penulisan.
Menurut Umar Junus
(1989:ix), stilisitik atau stylistics adalah ilmu tentang style. Persoalan
pertama ialah istilah style itu sendiri. Istilah sytle lebih sesuai dengan
penggunaan istilah stilistik. Tapi istilah ini terasa aneh, keinggerisan. Kesan
ini juga ada pada ‘stail’. Yang tidak Inggeris dan tidak Melayu. Dengan alasan
itu, saya memilih untuk menggunakan ‘gaya’ namun tetap mempertahankan
‘stilistik’. Pemilihan ini mungkin lebih merupakan persoalan selera.
4.0 Ciri-ciri Stilistik Dalam
Linguistik Melayu
Dalam menghasilkan sesebuat
cerpen atau novel penulis haruslah mengetahui terlebih dahulu ciri-ciri
stilistik yang digunakan dalam penulisan karya mereka. Pada kritikan ini
ciri-ciri stilistik dihuraikan berdasarkan Linguistik Melayu. Walaupun
berdasarkan ciri-ciri stilistik yang terdapat di dalam Linguistik Melayu tetapi
stilistik yang tidak tersenarai juga ada digunakan oleh Abang Median dalam SNK untuk mengindahkan lagi jalan cerita
SNK.
Menurut Faridah Nasir
(2013:118), terdapat lima ciri-ciri stilistik yang terdapat dalam Linguistik
Melayu. Antara lima ciri stilistik tersebut ialah gaya bahasa perbandingan,
gaya bahasa penyirnaan, gaya bahasa pertentangan, gaya bahasa pengulangan dan
gaya bahasa pertautan.
Gaya bahasa perbandingan
merangkumi gaya bahasa seperti imejan, metafora, personifikasi, pleonasme dan
simile. Selain itu, gaya bahasa penyirnaan terdiri daripada gaya bahasa seperti
sinkope, afesis, akronim, apokop, elipsis dan aferisis. Gaya bahasa
pertentangan pula terdiri daripada gaya bahasa hiperbola, inversi dan paradoks.
Seterusnya, gaya bahasa pengulangan pula terdiri daripada gaya bahasa
aliterasi, anafora, asonansi, epifora dan rima. Gaya bahasa pertautan pula
terdiri daripada gaya bahasa sinekdok, eufimesme, epitet, antonomasia, eponim,
metonimia dan alusi.
Jelaslah, stilistik juga
mempunyai ciri-ciri khas yang harus diketahui oleh para penulis agar
penghasilan sesuatu karya itu menjadi lebih menarik dan bombastik. Dalam
menghasilkan SNK Abang Median ada
menggunakan ciri-ciri stilistik seperti yang dinyatakan untuk menjadikan SNK sebuah karya kreatif yang kukuh dan
utuh penghuraian kronologi ceritanya.
5.0
Jenis-jenis Stilistik Dalam
SNK
5.1
Bahasa
Menurut Siti Hajar Abdul Aziz (:50), bahasa telah didefinisikan dalam
pelbagai cara mengikut sifat-sifat semula jadi bahasa, peranan dan fungsinya.
Namun demikian, kebanyakan ahli bahasa dan ahli linguistik telah memberikan
konsep dan takrif bahasa yang hampir sama. Bahasa diertikan sebagai satu sistem
bunyi yang terdiri daripada lambang-lambang yang dijarkan oleh manusia dengan
menggunakan alat-alat artikulasi yang ada pada mereka. Dalam setiap kegiatan
manusia, bahasa memainkan pelbagai peranan dan fungsi untuk memenuhi pelbagai
tujuan dan matlamat tertentu. Jelaslah, di dalam SNK Abang Median bermain dengan fungsi bahasa untuk menjadi SNK sebagai karya kreatif yang mempunyai
bahasa yang kreatif.
Oleh itu, di dalam SNK Abang
Median menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh audien. Abang Median juga
gemar menggunakan istilah-istilah yang memerlukan pembaca merujuk kepada
Persuratan Melayu untuk mendapatkan makna perkataan yang digunakan olehnya
untuk mengindahkan lagi karya kreatif dan menjadi karya pilihan juri. Jelaslah,
kehebatan Abang Median menghuraikan penggunaan bahasa di dalam SNK menjadikan karya ini menjadi lebih
menarik dan mempunyai kronologi yang menarik.
5.2
Penerapan Bahasa Asing
Abang Median banyak menggunakan penerapan bahasa asing di dalam SNK untuk mengindahkan lagi cerpen yang
dihasilkan. Dalam SNK Abang Median
banyak menggunakan Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris untuk menunjukkan bahawa
ayat yang merangkumi bahasa asing itu jelas dan gramatis pada pandangan
pembaca.
Antara penerapan bahasa Arab yang digunakan oleh Abang Median dalam SNK dapat dilihat pada contoh di bawah:
suaminya baru sahaja
kembali ke alam barzakh bersama dua
orang anaknya. (h. 51)
dia tegar dengan ketentuan ilahi. (h. 52)
Dia redha dengan takdir yang tertulis dalam catatan qadak dan qadar-Nya. (h. 52)
...sematkan niat bahawa kita bekerja, kita
menjalankan tugas sebagai ketua semuanya kerana Allah. (h. 52)
...dikapankan sebelum
disemadikan di tanah perkuburan Islam
di daerah terpencil tersebut. (h. 52)
Dia tidak mahu menyeksa
mayat suami dan anak-anaknya dengan raung-tangis sewaktu jenazah dikebumikan. (h. 52)
Setiap masalah yang dihadapi, Tuhan sediakan jalan penyelesaian... (h. 53)
Itupun ibu istikharah. (h. 54)
Memang Ibu Khalidah suka
menziarahi bilik guru sambil
berbual... (h. 54)
Aku tidak akan lupa amanat Ibu Khalidah. (h. 56)
Masyarakat pun menilai kualiti
sekolah berdasarkan prestasi akademik. (h. 57)
“Nabi Muhammad yang membawa kebenaran...” (h. 59)
Selain itu, pihak nazir sekolah juga turut datang untuk
membuat pemantauan. (h. 59)
“Bukankah itu antara ciri orang munafik? Nauzubillah.”
(h. 59)
Dia bina jambatan untuk
menghubungkan silatarurrahim.
(h. 60)
Dia menggenggam tangan
ibunya untuk memohon ampun tatkala ibunya nazak
sebelum ibunya meninggal dunia.
(h. 60)
Ibu Khalidah rupa-rupanya
bercadang untuk bercuti di Mekah sambil mengerjakan umrah. (h. 63)
Ibu mahu menangis di
hadapan Kaabah. (h. 64)
Dia menghembuskan nafas
yang terakhir sewaktu bertahajjud di
hadapan Kaabah. (h. 64)
Dia meninggal dalam keadaan
sujud dan mengadap kiblat. (h. 64)
Selain daripada menggunakan bahasa Arab Abang Median juga menggunakan
bahasa Inggeris dalam SNK. Antara
perkataan bahasa Inggeris pinjaman dalam bahasa Melayu yang digunakan oleh
Abang Median ialah ‘lori’, ‘stering’,
‘organisasi’, ‘momen’, ‘negatif’, ‘elemen’, ‘gender’, ‘kluster’, ‘motivasi’,
‘interaksi’, ‘flat’, ‘situasi’, ‘kelas’, ‘ko-korikulum’, ‘akademik’, ‘topik’,
‘kantin’, ‘sosial’, ‘sistem’, ‘kualiti’, ‘program’, ‘primier’, ‘efisien’, ‘ditaktor’,
‘e-mel’, ‘emosi’, ‘audit’, ‘majoriti’, ‘positif’, ‘minoriti’, ‘kroni’,
‘dominasi’, ‘persepsi’, ‘artikel’, ‘konfrantasi’, ‘blog’, ‘fokus’, ‘politik’,
‘konsisten’, ‘simposium’, ‘fail’, ‘hospital’, ‘parti’, ‘komputer’, ‘komen’, dan
‘aktif’. Selain itu, Abang Median juga menggunakan perkataan bahasa
Inggeris yang sebenar di dalam SNK.
Antaranya ialah:
Program ini dikatakan
membazirkan masa yang sepatutnya digunakan untuk meningkatkan jumlah pelajar
yang mendapat straight A. (h. 57)
Itulah priority yang primier. (h. 57)
Tidak cukup dia mengutuk
Ibu Khalidah dalam blog dan facebooknya...
(h. 61)
Banyak gambar ceramah yang
diupload ke dalam laman facebook berkenaan. (h. 62)
Dia tidak dapat membuka
lama dropbox... (h. 62)
Seterusnya, dalam SNK Abang
Median juga ada menggunakan bahasa Indonesia. Perkataan yang digunakan iaitu
perkataan ‘oknum’. Perkataan ‘oknum’ membawa maksud orang seorang, peribadi dan
perseorangan menurut Kamus Dewan Edisi Keempat. Penggunaan perkataan ‘oknum’
ada pada perenggan yang dinyatakan pada contoh seperti di bawah:
Suaminya yang telah pergi
adalah tunjang yang menegakkan oknumnya
sebagai wanita yang dikagumi.
5.3
Penggunaan Ayat Panjang
Dalam SNK Abang Median kurang
menggunakan ayat panjang atas beberapa faktor yang jelas iaitu penggunaan ayat
panjang menyukarkan pembaca untuk memahami adakalanya. Penggunaan ayat panjang
juga ibarat menerangkan segala apa yang ingin disampaikan oleh cerpenis dalam
satu perenggan tersebut. Oleh itu, dalam SNK
penggunaan ayat yang terpanjang iaitu mengandungi 37 patah perkataan dalam satu
ayat. Waima sedemikian Abang Median bijak untuk menghuraikan ayat tersebut
sehingga menjadi ayat yang sangat gramatis. Antara contoh-contoh ayat panjang
yang terdapat di dalam SNK iaitu:
Kata Kak Yam – Ibu Khalidah
tidak menitiskan lagi air mata tatkala suaminya sudah dimandikan, dikafankan
sebelum disemadikan di tanah perkuburan Islam di daerah terpencil tersebut. (h.
52)
Apabila Ibu Khalidah
mengajak aku tinggal bersamanya tatkala sekolah mengalami kekurangan flat guru
dan kesukaran para guru untuk mendapatkan rumah sewa, aku bergeming memikirkan
keputusan yang tepat. (h. 54)
Mungkin rasa dengki menjadi
duri dalam hati tatkala Ibu Khalidah lebih dahulu naik pangkat hingga menjadi
pengetua sedangkan hingga kini, dia hanya menjadi penolong kanan akademik di
sekolah kami. (h. 55)
Apabila Ibu Khalidah
menegur secara umum tentang kecenderungan segelintir guru yang duduk berlama di
kantin yang mungkin akan menjejaskan kualiti penyemakan tugasan pelajar dan
persiapan pengajaran dalam kelas – teguran itu dianggap seperti pengisytiharan
perang kepada kumpulan berkenaan. (h. 56)
Apabila Cikgu Wendy
menyatakan bahawa Ibu Khalidah telah memberikan peruntukan kepada persatuan
agama yang lain untuk menjalankan aktiviti, Cikgu Aziah hanya membisu atas
tuduhannya itu. (h. 61)
Apabila meneliti fail
tersebut, barulah aku tahu bahawa itu merupakan salinan laman facebook Ibu
Khalidah yang menunjukkan bahawa dia penyokong parti politik pembangkang selain
sentiasa memberi komen negatif kepada pihak kerajaan. (h.62)
5.4
Penggunaan Ayat Pendek
Dalam penghasilan SNK Abang
Median banyak menggunakan ayat pendek untuk meringkaskan lagi penghuraian
cerita. Ayat pendek yang digunakan oleh Abang Median dalam SNK jelas dan mudah difahami serta penggunaannya amat menarik dan
sesuai. Antara ayat-ayat pendek yang jelas digunakan dan nyata berkesan hasil
karya Abang Median dalam SNK iaitu:
Ya, pelik bukan? (h. 51)
Dalam kelembutan ada
ketegasan. (h. 51)
Dalam ketegasan ada
sindiran. (h. 51)
Dalam kemarahan diselitkan
bujukan. (h. 51)
Itulah Ibu Khalidah
Musthapa. (h. 51)
Biarpun kita cuba
melakukannya. (h. 52)
“Itu memang perkara biasa.”
(h. 52)
“Lumrah dalam dunia ini.” (h.
52)
“Jawatan ini hanya
pinjaman.” (h. 52)
Ibu Khalidah suka
bercerita. (h. 52)
Biarpun hatinya dipanah
kesedihan. (h. 52)
Nampak dekat biarpun jauh.
(h. 53)
Sungguh. (h. 53)
Tegurannya menginsafkan.
(h.53)
Biar niatku putih. Biar
jiwaku bersih. (h.53)
“Hati berada di tempat
lain.” (h.53)
Itupun setelah ibu
istikharah. (h. 54)
Suami ibu juga tidak
menghalang. (h. 54)
Ibu anggap itu sebagai
cabaran. (h. 54)
Memang. (h. 54)
Benar. (h. 55)
Aku memang kenal siapa
dalangnya. (h. 55)
Dia berlagak seperti biasa.
(h. 56)
Dia memang kurniaan ilahi.
(h. 56)
“Bukan dengan sebahagian
pelajar sahaja.” (h. 57)
Itulah priority yang
primier. (h. 57)
Takpa. (h. 57)
Teruskan sahaja. (h. 57)
Begitulah Ibu Khalidah. (h.
57)
Orang luar takkan tahu. (h.
58)
Tuhan benci. (h. 58)
Dosa fitnah itu dasyat. (h.
58)
Si pelaku tak akan mengaku.
(h. 58)
Wajahnya tetap tenang. (h.
58)
Emosinya sedikit terganggu.
(h. 58)
Mana tidaknya. (h. 59)
Temubual dengan guru juga
dilakukan. (h. 59)
Sungguh. (h. 59)
Memang, dia begitu tulus.
(h. 59)
Ada kesalingan rasa. (h.
60)
Menderap langkah bersama.
(h. 60)
“Bayangannya tidak pernah
mati.” (h. 60)
“Semuanya bersebati dalam
hati.” (h. 60)
Ibu Khalidah langsung tidak
marah. (h. 60)
Ibu Khalidah sangat
terkejut. (h. 61)
Ibu Khalidah tegas menafikan.
(h. 61)
Dia melihat buku catatan
peribadi. (h. 62)
Kepalanya terasa berat. (h.
62)
Dunia terasa berpusing. (h.
62)
Cikgu Aziah hanya menjadi
pemerhati. (h. 62)
Wajah Ibu Khalidah pucat.
(h. 63)
Berbagai nasihat diberikan.
(h. 63)
“Ibu dah letih.” (h. 64)
Ya, Dia Maha Mendengar,”
(h. 64)
Semua guru bersalam
denganya. (h. 64)
Ibu Khalidah hanya menepuk
bahunya. (h. 64)
Wajahnya jernih. (h. 64)
5.5
Penggunaan Kata Ganda Penuh
Sementelahan itu, dalam SNK Abang
Median juga kerap menggunakan kata ganda penuh dalam menghasilkan ayat-ayat
yang lebih gramatis. Abang Median bijak memilih kata ganda penuh yang sesuai
untuk penghuraian ayat-ayat yang digunakan dalam penghasilan SNK. Antara contoh-contoh kata ganda
penuh yang digunakan oleh Abang Median dalam SNK ialah:
kata-kata hikmat yang terselit
seribu manfaat. (h. 51)
Kerani-kerani tidak pernah ambil hati.
(h. 51)
terutama sekali guru-guru muda... (h. 51)
penuh dengan ciri-ciri keibuan. (h. 51)
tak suka atau entah apa-apa. (h. 53)
pandangan tokoh-tokoh motivasi. (h. 54)
dengan khabar-khabar berita... (h. 56)
5.6
Penggunaan Kata Ganda
Separa
Kendatipun, ibarat lagu tanpa irama tidak akan sempurna melodinya maka
penggunaan kata ganda penuh sahaja tidak akan mengindahkan hasil karya jika
penggunaan kata ganda separa tidak dimasukkan sekali di dalam karya. Dalam
menghasilkan SNK Abang Median juga
menggunakan kata ganda separa untuk menghasilkan karya yang lebih berkualiti
dan mempunyai deretan ayat yang mempersonakan. Dalam menghasilkan SNK Abang Median menggunakan kata ganda
separa seperti berikut:
menyerlah atau berbunga-bunga. (h.51)
semuanya mereka cicip bersama-sama. (h. 52)
mayat suami dan anak-anaknya... (h. 52)
dia juga akan membelek-belek buku... (h. 54)
lama-kelamaan kian melebarkan sayap...
(h. 55)
sampai berjam-jam lamanya... (h. 55)
dengan nama yang berbeza-beza. (h. 58)
Cikgu Aziah dan konco-konconya... (h. 58)
di kantin seolah-olah meraikan kemenangan. (h.
58)
secara terang-terangan cuba berkonfrantasi... (h. 61)
terasa berpendar-pendar pandangannya. (h. 62)
Rupa-rupanya perjumpaan kami... (h. 64)
5.7
Penggunaan Kata Ganda Berentak
Seterusnya, Abang Median juga gemar menggunakan kata ganta berentak dalam
menghasilkan SNK. Menurut Dayang
Azizah (2009) Kata ganda berentak merangkumi kata ganda yang menggunakan
pengulangan vokal, pengulangan konsonan dan berentak bebas. Dalam menghasilkan SNK Abang Median juga menggunakan kata
ganda berentak untuk mengindahkan lagi jalan cerita SNK. Antara kata ganda berentak yang digunakan oleh Abang Median
dalam SNK ialah:
Setiap arahan yang
diberikan menuntut keikhlasan untuk dilaksana-jayakan.
(h. 51)
Ingatan daripada suaminya
sentiasa dia ulang-ingat apabila aku
masuk ke pejabatnya. (h. 52)
Dia tidak mahu menyeksa
mayat suami dan anak-anaknya dengan raung-tangis
sewaktu jenazah dikebumikan. (h. 52)
Aku kikis-gosokkan segala daki negatif yang menguasai persepsiku
sebelum hadir ke daerah ini. (h. 53)
Guru dilayan seperti
pelajar yang perlu ditunjuk-arahkan
seperti mereka tidak boleh berfikir sendiri. (h. 56)
Sewaktu Ibu Khalidah sibuk
menjawab itu-ini tentang surat
layang tersebut, Cikgu Azah bergelak ketawa di kantin sekolah seolah-olah
meraikan kemenangan. (h. 58)
Lagipun, itu bukan cara menyelesaikan
masalah, malahan akan memecah-belahkan
kesepakatan. (h. 58)
Gambar gotong-royong juga diserahkan kepada wartawan berkenaan. (h. 61)
5.8
Dialog
Dialog merupakan elemen penting juga dalam menghasilkan karya kreatif.
Dalam menghasilkan SNK ini Abang
Median kurang menggunakan dialog kerana kebanyakannya berbentuk monolog
dalaman. Antara dialog yang dapat dipetik dalam SNK ialah:
“Setiap kali saya melihat
Masdia, terubat rindu saya pada anak saya yang telah pergi. Nampak ada
persamaan biarpun sedikit. Nampak dekat biarpun jauh. Setiap penyakit atas muka
bumi ini, Tuhan kurniakan...” (h. 53)
“Apabila niat kita betul,
Allah akan berikan jalan yang benar. Bagaimana kita nak melahirkan pelajar
yang..” (h. 53)
“Jika ada sesiapa yang
tidak sukakan kita, jangan layan mereka seperti musuh. Mungkin mereka belum
ditunjukkan jalan untuk melihat kebaikan kita. Jadi, kita perlu menjadikan
mereka sahabat.” (h. 56)
“Masdia...tak baik menuduh
tanpa usul periksa. Tuhan benci. Fitnah itu begitu dasyat. Lagipun, itu bukan
cara menyelesaikan masalah, malahan...” (h. 58)
“Semangatnya dan nasihatnya
tetap hidup dalam jiwa. Bayangannya tidak pernah mati. Semuanya bersebati dalam
hati.” (h. 60)
“Memang pada tarikh
tersebut saya berada di Bekenu tetapi untuk menghadiri jemputan sekolah di
daerah berkenaan untuk majlis simposium ilmu...” (h. 62)
“Ibu dah letih. Ibu mahu
menangis di hadapan Kaabah. Ibu ingin mengadu dengan sahabat itu. Ya, sahabat
yang tidak pernah tuli. Dia sentiasa mendengar rintihan ibu... doa ibu. Ya, Dia
Maha Mendengar.” (h. 64)
5.9
Personifikasi
Personifikasi merujuk
kepada bahasa yang memberikan sifat manusia kepada benda, keadaan atau suasana.
Sementelahan itu, Abang Median juga tidak lupa untuk menggunakan unsur
personifikasi di dalam penghasilan SNK.
Unsur personifikasi sangat penting untuk mengindahkan lagi pembinaan ayat untuk
menghasilkan sesuatu karya kreatif. Antara unsur personifikasi yang dapat
dicedok di dalam karya Abang Median iaitu:
Cermin mata sentiasa bertenggek di tubuh hidung. (h. 51)
Penampilannya serba
sederhana dengan baju kurung yang
berwarna lembut... (h. 51)
...bukan warna garang menyerlah atau berbunga-bunga. (h. 51)
Senyuman sentiasa menghiasi bibir pucatnya. (h. 51)
Pasti ada rasa iri hati dan
cemburu yang menyelinap tersembunyi dalam diri. (h. 55)
Dia tidak melenting dengan khabar-khabar berita yang berhembus kuat di belakangnya. (h. 56)
Akhirnya, pantulan air itu menyatukan kelibat mereka dari sejuk air yang menjirus hati. (h. 57)
5.10
Simile
Abang Median juga ada menggunakan simile dalam penulisan SNK. Simile yang digunakan oleh Abang
Median dapat dilihat seperti yang telah
dicedok dari cerpen SNK iailah:
...leteran Ibu Khalidah umpama kata-kata hikmat yang terselit
seribu manfaat. (h. 51)
Seperti ada keakraban yang
terjalin padu. (h. 51)
Dia cuba berdiri sebagai wanita yang tidak mahu mengalah
dengan situasi. (h. 52)
Biarpun dia kehilangan
suami yang sentiasa menjadi pendukungnya sebagai
pengetua di sekolah berkenaan.
(h. 52)
“Sebagai seorang ketua dalam sesebuah organisasi...” (h. 52)
“...kita menjalankan tugas sebagai ketua semuanya kerana Allah.”
(h. 52)
Aku seperti berada dalam lingkungan keluargaku sendiri.
(h. 53)
Nasihatnya bak embun pagi yang menyegarkan. (h. 53)
Benar, dia memberikan
nasihat seperti memberikan ceramah
ataupun kursus. (h. 53)
...tokoh-tokoh motivasi sebagai santapan jiwa para guru.
(h. 54)
serumahku – menggelar
golongan tersebut sebagai AJK kantin
sekolah. (h. 55)
kelas – teguran itu
dianggap seperti pengisytiharan
perang kepada kumpulan berkenaan. (h. 56)
Berbagai fitnah yang mereka
lemparkan kepada Ibu Khalidah. (h. 56)
Guru dilayan seperti pelajar yang perlu
ditunjuk-arahkan seperti mereka
tidak boleh berfikir sendiri. (h. 56)
Dia berlagak seperti biasa. (h. 56)
...jangan layan mereka seperti musuh. (h. 56)
Tapi sebagai pendidik,kita juga dinilai oleh yang Maha Kuasa. (h. 57)
Melihat Ibu Khalidah seperti mata yang dipenuhi kapas yang
bukan hanya lembut tetapi menyerap segala masalah. (h. 57)
Tanpa bukti, kita hanya seperti mengalihkan bukit. (h. 58)
Biar diserang dari pelbagai arah, karismanya sebagai pemimpin tidak pernah luntur.
(h. 58)
Namun sebagai manusia biasa yang serba kekurangan... (h. 58)
Suaminya yang telah pergi
adalah tunjang yang menegakkan oknumnya sebagai
wanita yang dikagumi. (h. 60)
Dia masih menziarahi
keluarganya seperti biasa. (h. 60)
Patutlah fitnah itu diibaratkan lebih kejam dari melakukan
pembunuhan. (h. 61)
Komen yang diberikan dalam
laman maya tersebut seperti sengaja memerangkap dirinya. (h. 63)
Sepanjang dia menjadai pengetua di
sekolah ini... (h. 63)
Dia sendiri berjumpa dengan
Cikgu Aziah agar menjalankann tugas sebagai
pengetua sepanjang ketiadaannya. (h. 63)
Berbagai nasihat diberikan. (h. 63)
5.11
Metafora
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007), metafora merujuk kepada
penggunaan kata-kata yang menyatakan sesuatu makna atau maksud yang lain
daripada makna biasa atau makna sebenar perkataan berkenaan (sebagai
perbandingan atau kiasan). Metafora sering hadir dalam karya sastera. Di dalam
buku Pengantar Linguistik Bahasa Melayu, Zaidan Hendy (1991:69) mengemukakan
bahawa metafora berasal daripada kata ‘meta’ dan ‘phoreo’ yang beerti bertukar
nama atau perumpamaan. ‘Meta’ dan ‘phrein’ adalah kata-kata yang berasal
daripada bahasa Greek dan seterusnya membentuk perkataan metafora. ‘Meta’
bermaksud ‘atas’ dan ‘phrein’ bermaksud ‘diangkat’. Metafora merujuk kepada
satu set proses linguistik yang mana sesetengah karakteristik sesuatu subjek
‘diangkat ke atas’ atau dipindahkan kepada objek yang lain. Oleh yang demikian,
jika objek yang kedua dituturkan atau diaplikasikan seolah-olah ia berada pada
kedudukan objek pertama.
Dalam SNK Abang Median berjaya
menonjolkan unsur-unsur metafora. Penggunaan metafora dalam SNK digunakan oleh Abang Median untuk
menghasilkan karya yang lebih kreatif dan meyakinkan pembaca. Antara penggunaan
metafora oleh Abang Median dalam SNK
dapat dilihat melalui petikan-petikan di bawah:
Sekuat manapun dia,
akhirnya air matanya menjadi teman mengalirkan arus kesedihan yang deras mengasak jiwa. (h. 51)
Di sebalik gerimis sendu, dia tegar dengan
ketentuan ilahi. (h. 52)
Namun di sebalik senyuman
tersebut terselit garis kesedihan
yang agak jelas kelihatan. (h. 52)
Guru-guru berkenaan
memasukkan jarum hasutan di sebalik
lipatan kain mesra. (h. 55)
Keikhlasan telah dijadikan senjata ugutan hingga para guru tidak
mampu menolak. (h. 55)
...lama-kelamaan kian melebarkan sayap pengaruhnya hingga terbang
bersama-sama fitnah. (h. 55)
Dia sentiasa tenang dengan jernih wajah yang memantulkan perilaku
orang lain di permukaan jiwanya. (h. 57)
Akhirnya, pantulan air itu
menyatukan kelibat mereka dari sejuk air yang menjirus hati. (h. 57)
Dalam jernih matanya ada ketar yang tersembunyi di sebalik suaranya. (h.
58)
Dia meregat arus masalah tanpa tulang belakang. (h.
59)
Cikgu Aziah hanya tersenyum biarpun hatinya ditentang nyilu dan ngilu. (h. 62)
Kerunsingan terlontar melalui bicaranya. (h. 62)
Kegusaran terlukis di
sebalik garis wajahnya. (h. 62)
Dengan suara yang halus
tetapi menjentik rasa. (h. 63)
Aku ingin menjadi cermin
dirinya – subur dengan pohon keikhlasan
di atas tanah perkhidmatan. (h. 64)
5.12
Hiperbola
Menurut Faridah Nazir (2013:123), hiperbola berasal daripada bahasa Yunani
yang merupakan gabungan perkataan hyper yang
bermaksud melebihi dan ballien yang beerti meluahkan atau
mengeluarkan. Oleh itu, hiperbola bermaksud pembaziran atau suatu cara yang melebih-lebihkan
semata-mata untuk mencapai kesan tertentu. Dengan perkataan lain, hiperbola
ialah ialah ungkapan yang melebih-lebihkan apa yang sebenarnya dimaksudkan
daripada segi jumlahnya, ukuran dan sifatnya (Moeliono).
Seterusnya, Abang Median juga menggunakan unsur hiperbola untuk
mengindahkan lagi SNK. Abang Median
menggunakan unsur hiperbola di dalam SNK
untuk menunjukkan sesuatu yang melampau dari aspek ideanya. Antara unsur
hiperbola yang terdapat dalam SNK
seperti di dalam petikan-petikan di bawah:
Biarpun hatinya dipanah kesedihan. (h. 52)
Memang Ibu Khalidah suka
menziarahi bilik guru sambil berbual – secara tidak langsung melontarkan buah fikirannya. (h. 54)
Dia akan petik kata-kata
Dr. Danial, Dr. Fadzillah Kamsah, Dr. Robiah dan banyak lagi pandangan
tokoh-tokoh motivasi sebagai santapan
jiwa para guru. (h. 54)
Keperihatinan dan keikhlasannya telah dituba. (h. 58)
Dia bina jambatan untuk menghubungkan silatarurrahim. (h. 60)
Belatinya tajam merodok
jiwa hingga mematikan segala simpati. (h. 61)
Kerunsingan terlontar melalui bicaranya. (h. 62)
Terasa berat bebenan yang terlukis
pada wajahnya. (h. 63)
Dia hanya mengemam rasa yang bersarang dalam dada. (h. 64)
5.13
Paradoks
Parados merujuk kepada pernyataan yang ganjil atau bertentangan tetapi
mempunyai maksud yang tepat. Kendatipun, Abang Median juga ada menggunakan
unsur paradoks di dalam penghuraian SNK.
Abang Median menggunakan unsur paradoks untuk menunjukkan pertentangan isi
dengan makna di dalam ayat yang terdapat di dalam SNK. Antara penggunaan paradoks di dalam SNK ialah:
Dalam kelembutan ada ketegasan.
(h. 51)
Dalam ketegasan ada sindiran. (h.
51)
Setiap kali mencubit, dia akan meniupnya. (h. 51)
Dalam kemarahan diselitkan bujukan.
(h. 51)
Aku tidak mahu disalah-mengertikan oleh rakan guru yang lain. (h. 54)
5.14
Sinkope
Sementelahan itu, Abang Median juga menggunakan sinkope dalam menghasilkan
karya SNK. Sinkope yang digunakan
oleh Abang Median dalam SNK merupakan
sinkope yang kerap digunakan di dalam karya-karya lain juga. Antara sinkope
yang digunakan ialah:
Hatinya lebih remuk
dirempuh berita yang tak terduga.
(h. 51)
“Tapi yang pasti...” (h. 52)
Kata Kak Yam – Ibu Khalidah... (h. 52)
Bagaimana kita nak melahirkan pelajar yang cemerlang jika kita rasa dipaksa
melakukannya? (h. 53)
tak suka atau entah apa-apa. (h. 53)
...tapi
ibu terima. (h. 54)
Ibu tak mahu masalah gender dan jarak dijadikan alasan untuk kita
memperoleh kecemerlangan. (h. 54)
Kita dah terima Anugerah Ketua Menteri, Anugerah Sekolah Harapan
Negara... (h. 54)
“Tapi, tanggungjawab untuk
meningkatkan kecemerlangan pelajar termasuk untuk memperoleh straight A juga tak boleh dikesampingkan.” (h. 57)
“Orang luar takkan tahu.” (h. 58)
“...tak baik menuduh tanpa usul periksa.” (h. 58)
Si pelaku tak akan mengaku. (h. 58)
Kita tak perlu berbohong untuk menyembunyikan kelemahan. (h. 59)
Aku tak tahu mengapa ada yang sanggup mengkhianati wanita yang setulus
Ibu Khalidah. (h. 60)
“Saya tak tahu pun ada ceramah politik diadakan di kawasan berhampiran.” (h. 62)
“Ibu dah letih.” (h. 64)
5.15
Simpulan Bahasa
Tambahan lagi, Abang Median ada menggunakan simpulan bahasa di dalam SNK. Penggunaan simpulan bahasa untuk
menggambarkan sikap watak di dalam cerpen tersebut. Antara simpulan bahasa yang
digunakan oleh Abang Median dalam SNK
ialah:
Kerani-kerani tidak pernah ambil hati. (h. 51)
Pasti ada rasa iri hati dan cemburu yang menyelinap
tersembunyi dalam hati. (h. 55)
Pada waktu itu, aku
berbincang dengannya tentang Program Pemulihan untuk membantu para pelajar yang
buta huruf. (h. 56)
Dia meregat arus masalah
tanpa tulang belakang. (h. 59)
...Cikgu Aziah menuduh Ibu
Khalidah berat sebelah kerana hanya
fokus kepada pelajar muslim. (h. 61)
5.16
Simbolik / Perlambangan
Penggunaan unsur simbolik atau perlambangan dalam sesuatu karya kreatif
akan lebih menampakan bayang sesuatu cerpen itu. Di dalam SNK Abang Median ada menggunakan unsur simbolik atau perlambangan
untuk mengindahkan lagi bahasanya. Antara unsur simbolik atau perlambangan yang
jelas dalam SNK ialah:
Nasihatnya bak embun pagi yang menyegarkan. (h. 53)
Berbicara manis tapi
mempunyai pisau di lidahnya. (h. 55)
Melihat Ibu Khalidah
seperti mata yang dipenuhi kapas yang bukan hanya lembut tetapi menyerap segala
masalah. (h. 57)
Perbezaan agama menjadi gunung masalah. (h. )60
Perbezaan kepercayaan menjadi lurah yang perlu dia susuri. (h. 60)
Aku ingin menjadi cermin dirinya – subur dengan pohon keikhlasan di atas tanah perkhidmatan. (h. 64)
5.17
Akronim
Di dalam SNK Abang Median ada
menggunakan akronim. Akronim yang dibubuh memang sangat relevan untuk
menyesuaikan ayat yang dibina. Antara akronim yang dibubuh oleh Abang Median
dalam SNK iaitu:
Mereka boleh duduk di
kantin sampai berjam-jam lamanya hingga Cikgu Roha – teman serumahku –
menggelar golongan tersebut sebagai AJK
kantin sekolah. (h. 55)
Persetujuan PIBG dikatakan kerana sikap diktator
Ibu Khalidah hingga YDP PIBG tidak
mempunyai sebarang pilihan selain menuruti desakan pihak pentadbir sekolah. (h.
58)
5.18
Unsur Pemajmukan
Menurut Dayang Aziziah (2009), keberanian Abang Median menggabungkan
perkataan-perkataan sedia ada berupaya mengkonkritkan lagi maksud perkataan
yang diketengahkan. Hal ini juga menyerlahkan kemampuan Abang Median untuk
meneroka pembentukan kata-kata baru yang beerti dan mempunyai fungsi yang
tersendiri.
Oleh itu, Abang Median menggunakan unsur pemajmukan perkataan di dalam SNK.
Penggunakan unsur pemajmukan yang dilakukan oleh Abang Median di dalam SNK
jelas dan relevan dalam deretan ayat yang dicipta olehnya. Antara unsur
pemajmukan yang terdapat di dalam SNK ialah:
Setiap arahan yang
diberikan menuntut keikhlasan untuk dilaksana-jayakan.
(h. 51)
Aku kikis-gosokkan segala daki negati yang menguasai persepsiku sebelum
hadir ke daerah ini. (h. 53)
Guru dilayan seperti
pelajar yang perlu ditunjuk-arahkan seperti
mereka tidak boleh berfikir sendiri. (h. 56)
Lagipun, itu bukan cara
menyelesaikan masalah, malahan akan memecah-belahkan
kesepakatan. (h. 58)
Menurut Kak Yam, wajah Ibu
Khalidah berseri setelah dimandi-kafankan.
(h. 64)
5.19
Antonomasia
Menurut Faridah Nazir (2013:119), perkataan antonomasia merujuk kepada
sesuatu gelaran di sesebuah intsitusi misalnya, Professor atau Ketua Jabatan.
Oleh itu, Abang Median juga ada menggunakan unsur antonomasia di dalam
menghasilkan SNK. Antara unsur
antonomasia yang digunakan oleh Abang Median dalam SNK ialah:
Dia akan petik kata-kata Dr. Danial, Dr. Fadzillah Kamsah, Dr.
Robiah dan banyak lagi pandangan tokoh-tokoh motivasi sebagai santapan jiwa
para guru. (h. 54)
Ada yang cemburu tatkala
Ibu Khalidah mendapat Anugerah Pengetua
Cemerlang. (h. 55)
Dengar cerita, Cikgu Aziah pernah mengajar satu
sekolah dengan Ibu Khalidah di Kuching suatu ketika dahulu. (h.55)
Dia menjadi Penolong Kanan Hal Ehwal Murid manakala
Ibu Khalidah pada waktu itu menjadi Penolong
Kanan Ko-kurikulum. (h. 55)
5.20
Bahasa Sindiran
Dalam SNK Abang Median ada
menggunakan bahasa sindiran untuk menghuraikan cerita SNK. Abang Median menggunakan unsur sinis yang kurang jelas
memandangkan watak yang diketengahahkan dalam SNK iaitu Ibu Khalidah merupakan seorang wanita yang sangat tulus
dan tinggi nilai agamanya. Bahasa sindiran yang bebentuk sinis yang digunakan
oleh Abang Median memang diucapkan secara jelas di dalam SNK. Bahasa sindirian jelas pada petikan-petikan di bawah:
“Jika ada sesiapa yang
tidak sukakan kita, jangan layan mereka seperti musuh. Mungkin mereka belum
ditunjukkan jalan untuk melihat kebaikan kita. Jadi, kita perlu menjadikan
mereka sahabat.” (h. 56)
“Masdia...tak baik menuduh
tanpa usul periksa. Tuhan benci. Dosa fitnah itu begitu dahsyat. Lagipun, itu
bukan cara menyelesaikan masalah, malahan akan memecah-belahkan kesepakatan.
Tanpa bukti, kita hanya seperti mengalihkan bukit. Si pelaku tak akan mengaku.
Dan tuduhan pasti akan semakin menegangkan suasana dan merenggangkan
kemenangan. (h. 58)
“Tidak rugi jika kita
mengakui kesalahan. Kita hanya manusia. Pasti ada banyak silap. Yang penting
kita ikhlas. Jujur dengan apa yang kita lakukan...” (h. 59)
5.21
Epitet
Sementelahan itu, Abang Median telah menggunakan unsur epitet di dalam SNK. Abang Median menggunakan unsur
epitet untuk menghasilkan gubahan ayat yang lebih kreatif daripada ayat asal
yang agak kurang sesuai. Antara petikan-petikan yang mengandungi unsur epitet
di dalam cerpen SNK ialah:
Pasti ada lompang untuk sesiapa sahaja mencari
salah dan silap kita. (h.52) – perkataan lompang
merujuk kepada senjata atau cara untuk mencari kesalahan orang lain.
Aku kikis-gosokkan segala daki negatif yang menguasai persepsiku
sebelum hadir ke daerah ini. (h.53) – perkataan daki
digunakan untuk menggantikan perkataan yang sebenar iaitu pandangan atau
anggapan.
Guru-guru berkenaan
memasukkan jarum hasutan di sebalik lipatan kain mesra. (h. 55) – perkataan jarum hasutan yang digunakan oleh Abang
Median bagi menggantikan perasaan dengki manakala lipatan kain mesra pula merujuk kepada kepura-puraan yang digunakan
untuk menyembunyikan kejahatan.
Keperihatinan dan
keikhlasannya telah dituba. (h. 58) – perkataan dituba yang digunakan
oleh Abang Median merujuk kepada maksud seperti dimusnahkan, dihancurkan dan dinodai.
Dia meregat arus masalah
tanpa tulang belakang. (h. 59) – perkataan tulang belakang
merujuk kepada maksud orang yang memberi
sokongan.
Dengan suara yang halus
tetapi menjentik rasa. (h. 63) – perkataan menjentik
merujuk kepada perkataan menyentuh.
5.22
Slanga
Tidak ketinggalan juga Abang Median menggunakan unsur slanga di dalam
penghasilan SNK. Abang Median
menggunakan unsur ini untuk menyesuaikan penyebutan ayat yang dibina. Di dalam SNK Abang Median hanya menggunakan
perkataan slanga ‘lelucon’ yang bermaksud jenaka. Petikan yang mengandungi
perkataan slanga ini ialah:
Sempat aku berlelucon dengannya dengan mengatakan
bahawa dia mungkin kian dimamah usia hingga lupa dengan kata laluan berkenaan.
(h. 62-63)
5.23
Pleonasme
Selain itu, dalam SNK Abang
Median juga ada menggunakan unsur pleonasme untuk mempelbagaikan lagi gaya
bahasa yang digunakan. Antara petikan yang mengandungi unsur pleonasme dalam SNK ialah:
Aku kikis-gosokkan segala daki negatif yang menguasai persepsiku
sebelum hadir ke daerah ini. (h. 53)
Lagipun, itu bukan cara
menyelesaikan masalah, malahan akan memecah-belahkan
kesepakatan. (h.58)
5.24
Asonansi
Abang Median menggunakan unsur asonansi di dalam SNK kerana unsur ini memang kerap digunakan di dalam penghuraian
ayat. Asonansi yang digunakan oleh Abang Median fokus kepada pengulangan huruf
vokal. Antara petikan dalam SNK yang
mengandungi unsur asonansi seperti di bawah:
Penampilannya serba sederhana dengan baju
kurung yang bewarna lembut – bukan
warna garang menyerlah atau berbunga-bunga. (h. 51)
Memang dia tidak menyangka
bahawa amanat suaminya sewaktu mereka menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang kedua puluh lima adalah amanat
terakhir. (h. 52)
“Mungkin Allah hantar Masdia mengajar di sini untuk ibu mengubati kerinduan tersebut.” (h. 53)
Baginya, keputusan dan keinginan mereka perlu selari dan sekata untuk menggapai kejayaan.
(h.54)
Mereka boleh duduk di kantin sampai berjam-jam
lamanya hingga Cikgu Roha – teman
serumahku – menggelar golongan tersebut sebagai AJK kantin sekolah. (h.55)
5.25
Aliterasi
Tambahan pula, Abang Median juga menggunakan unsur aliterasi iaitu
pengulangan huruf konsonan di dalam ayat. Abang Median sangat bijak
menyesuaikan unsur ini di dalam ayat. Antara ayat yang mengandungi unsur
aliterasi dalam SNK ialah:
Lagipun, itu bukan cara
menyelesaikan masalah, malahan akan memecah-belahkan kesepakatan. (h.58)
Rupa-rupanya perjumpaan
kami di lapangan terbang sewaktu menghantarnya adalah perjumpaan yang terakhir. (h. 64)
5.26
Anafora
Tambahan lagi, Abang Median juga menggunakan unsur anafora di dalam
menghuraikan SNK. Antara petikan yang
mengandungi unsur anafora ialah:
Dalam kelembutan ada ketegasan. Dalam ketegasan ada sindiran. (h. 51)
Dia berlagak seperti biasa. Dia melayan Cikgu Aziah dengan baik. Dia tidak melenting dengan
khabar-khabar berita yang berhembus kuat di belakangnya. (h. 56)
Aku kasihan apabila mendapati
segelintir pelajar di tingkatan 5 tidak tahu membaca. Aku tidak pasti, apakah yang mereka pelajari sepanjang sesi
persekolahan. (h. 56)
“Ibu dah letih. Ibu mahu
menangis di hadapan Kaabah. Ibu
ingin mengadu dengan sahabat ibu.” (h. 64)
6.0
Keberkesanan Stilistik
Dalam Cerpen SNK
Sudah terang lagi bersuluh
bahawa penggunaan unsur stilistik dalam penghasilan karya memang dapat dilihat
dengan jelas keberkesanannya. Penulis yang bijak akan menggunakan unsur ini
dengan sewenang-wenangnya untuk menjadikan karya mereka lebih kreatif. Oleh
yang demikian, keberkesanan stilistik dalam cerpen SNK boleh diperhatikan melalui kepelbagaian gaya bahasa yang
digunakan oleh Abang Median dari mula sehingga akhir ceritanya. Selain itu,
melalui karya sastera pula, aspek gaya bahasa adalah amat penting untuk
menjadikan sesuatu karya lebih menarik dengan penggunaan gaya yang pelbagai.
Penggunaan gaya bahasa yang pelbagai ini secara tidak langsung turut
mempengaruhi penggunaan bahasa lisan dan penulisan seseorang. Hal ini
disebabkan oleh, kebiasaan menggunakan ciri-ciri stilistik pastinya dapat
meningkatkan penggunaan bahasa lisan penulisan dalam pelbagai wacana.
Sementelahan itu, keberkesanan
stilistik dalam cerpen SNK secara
holistik telah menggarap hampir keseluruhan gaya bahasa yang dikaji. Dalam
kritikan terhadap karya SNK terdapat
27 jenis gaya bahasa yang telah dikaji dan diperolehi dalam karya SNK. Abang Median hebat dalam
menghuraikan gaya bahasa yang digunakan olehnya di dalam SNK. Pelbagai gaya bahasa yang digunakan itu telah menjadikan SNK sebagai salah satu karya kreatif
yang memenangi hadiah dalam Peraduan Penulisan Karya Kreatif Hari Guru 2013.
Kendatipun, keberkesanan
stilistik dalam SNK dapat dilihat
melalui penggunaan bahasa dan pemilihan diksi oleh Abang Median. Abang Median
tidak asing lagi namanya di dalam bidang penulisan dan bahasa yang digunakan
oleh Abang Median bahasa yang ringkas dan mudah difahami oleh pembaca.
Penggunaan bahasa yang ringkas dapat membantu kelancaran cerita seperti yang
telah dihasilkan oleh Abang Median dalam karya SNK. Selain itu, pemilihan perkataan atau diksi yang dilakukan oleh
Abang Median juga sangat baik kerana perkataan yang dipilih oleh Abang Median
merupakanan perkataan yang difahami dan ada juga perkataan yang memerlukan
rujukan Kamus Dewan seperti perkataan ‘berpendar-pendar’, ‘oknum’ dan
‘lompang’. Jelaslah, kehebatan dan keberkesanan stilistik yang dihasilkan oleh
Abang Median sangat mudah difahami dan relevan dengan penghuraian ayat yang
dihasilkan dalam SNK.
Seterusnya, keberkesanan
stilistik dalam karya SNK dapat
dilihat dari segi penggunaan unsur penerapan bahasa asing. Abang Median banyak
menyelitkan unsur bahasa asing seperti penggunaan bahasa Inggeris, bahasa Arab
dan bahasa Indonesia. Pemilihan perkataan asing dalam cerpen SNK relevan dengan
tema cerpen tersebut. Penggunaan bahasa asing dapat digarap dengan baik oleh
Abang Median dalam SNK kerana ayat
yang mengandungi bahasa asing dibina dengan gramatis dan dapat difahami dengan
mudah. Jelaslah, penerapan bahasa asing dalam SNK ternyata dapat dilihat keberkesanannya.
Selain itu, keberkesanan
stilistik dalam karya SNK juga dapat
dilihat melalu penggunaan ayat oleh Abang Median. Abang Median menggunakan ayat
pendek, ayat sepera panjang dan ayat panjang di dalam penghasilan SNK. Abang Median kerap menggunakana
ayat pendek dan kurang menggunakan ayat panjang. Selain itu, Abang Median juga
banyak menggunakan unsur kata ganda.
Terdapat tiga jenis kata ganda yang digunakan oleh Abang Median dalam SNK iatu penggandaan penuh, penggandaan
separa dan penggandaan berentak. Kehebatan Abang Median menyelitkan unsur kata
ganda juga dapat dilihat dengan jelas apabila banyak kata ganda yang digunakan
serta penggunaan perkataan kata ganda berentak yang kreatif telah diselitkan
dalam SNK.
Tambahan lagi, keberkesanan
stilistik dalam cerpen SNK juga dapat
dilihat apabila Abang Median telah memasukan unsur dialog, simpulan bahasa dan
bahasa sindiran dalam SNK. Dialog
yang digunakan oleh Abang Median merupakan dialog yang ringkas dan
kebanyakkannya monolog. Abang Median juga kurang menggunakan dialog dalam SNK. Seterusnya, Abang Median memasukkan
unsur simpulan bahasa walaupun hanya sedikit. Untuk menghasilkan karya yang
lebih kreatif Abang Median memasukkan unsur bahasa sindiran di dalam SNK untuk membuatkan pembaca lebih
memahami apa yang cuba disampaikan oleh Median dalam SNK.
Keberkesanan stilistik
dalam cerpen SNK juga dapat dilihat
melalui penggunaan unsur gaya bahasa yang popular dalam kalangan penulis
seperti unsur personifikasi, simile, metafora, hiperbola, paradoks dan simbolik
atau pembandingan. Ternyata Abang Median sangat hebat dalam bermain dengan
kata-kata kerana dapat dilihat dengan jelas dalam SNK unsur-unsur yang di atas telah dihasilkan dalam pelbagai bentuk
ayat. Kekuatan cerpen SNK juga kerana
unsur di atas yang dihasilkan oleh Abang Median ternyata sangat kukuh dan kuat
mempertahankan tema dan kronologi cerpen ini.
Tambahan lagi, keberkesanan
stilistik dalam SNK dapat dilihat
melalui unsur-unsur yang diselitkan oleh Abang Median dalam karyanya seperti
unsur sinkope, akronim, unsur pemajmukan, antonomasia, slanga dann pleonasme.
Unsur di atas agak kurang digunakan oleh Abang Median tetapi hasilnya di dalam
cerpen SNK sangat jelas. Abang Median
dapat bermain dengan kata-kata menggunakan unsur-unsur ini. Jelaslah, hasil
pena Abang Median bukan sahaja kukuh dari segi jalan cerita, tema, watak bahkan
lebih kukuh melalui unsur stilistik yang digunakan dalam cerpen.
Seterusnya, keberkesanan
stilistik dalam karya SNK oleh Abang
Median juga berjaya dibantu oleh unsur asonansi, aliterasi dan anafora. Abang
Median kurang mementingkan aspek ini waima unsur ini dapat dilihat dalam setiap
baris ayat yang dikarang oleh Abang Median. Unsur ini juga kerap digunakan
dalam penulisan puisi oleh para penulis. Jelaslah, Abang Median dapat
menggunakan unsur ini dengan baik dan unsur stilistik yang digunakan ternyata
berkesan dan menjadi.
Kesimpulan
Secara deduksinya cerpen SNK merupakan cerpen yang kukuh dan kuat
dari aspek stilistik yang telah digarap oleh penulisnya sendiri. Abang Median
bijak memilih unsur gaya bahasa yang sesuai dalam menjadikan cerpen SNK sebagai pilihan pembaca. Penghuraian
yang hebat oleh Abang Median telah menjadikan cerpen SNK ini lebih menonjol dan keberkesanannya dalam pelbagai aspek
lebih-lebih lagi dari aspek stilistik yang digunakan.
Selain itu, cerpen SNK yang kaya dengan unsur stilistik ini
bukan sahaja hebat dalam penghuraian unsur-unsur stilistik tetapi Abang Median
banyak menerapkan unsur-unsur nilai moral dalam cerpen kerana keberhasilan
nilai itu diterapkan ke dalam minda pembaca. Abang Median bijak memberi
kesedaran kepada diri pembaca sehingga penyesalan wujud di hati jika sesiapa
yang pernah melalui peristiwa yang sama seperti yang digarap di dalam cerpen SNK.
Kajian kepada aspek
stilistik dalam cerpen ini, penulis berjaya mengkaji 27 jenis gaya bahasa yang
digunakan oleh Abang Median untuk mengindahkan lagi cerpen SNK. Penghuraian unsur stilistik telah berjaya dilakukan oleh Abang
Median sehingga cerpen SNK mempunyai
nilai-nilai komersialnya yang tersendiri. Tambahan lagi, watak yang ditonjolkan
dalam SNK sangat bagus iaitu watak
protagonis yang ditonjolkan oleh Ibu Khalidah yang sangat tulus dan watak Cikgu
Aziah yang merupakan watak antagonis. Kisah cerpen ini mempunyai unsur yang
sangat baik dan sesuai dibaca oleh seluruh lapisan masyarakat.
Kesimpulannya, cerpen SNK mempunyai nilai estetika yang
tersendiri dan mempunyai keutuhan, kekuatan, pengajaran, nilai, gaya bahasa dan
kesan yang positif kepada pembaca. Cerpen SNK juga berjaya diangkat sebagai
karya kreatif yang mempunyai kualiti yang tersendiri.
Bibliografi
Abang Median Abang Said
(2013). ‘Setulus NiatKhalidah’ dalam
Antologi Karya Kreatif Hari Guru 2012/2013. Kuching:JPN
Dayang Azizah Mohd. Salleh
(2009). Di Sebalik Sirat Makna: Satu
Tinjauan dari Aspek Stilistika. Antologi Karya Kreatif Hari Guru 2008/2009.
Kuching:JPN
Faridah Nazir dan Tuan Jah
Tuan Yusof (2013). Pengantar Linguistik
Bahasa Melayu. Puchong: PENERBITAN MULTIMEDIA SDN. BHD.
Mana Sikana (1989). Kritikan Sastera Masalah dan Peningkatan.
Ampang: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rahman Shaari (1988). Kritikan Sastera Melayu Pendekatan dan
Pemikiran. Ampang: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ruzaini Yahya (2003). Ulasan & Soal Jawab Kesusasteraan Melayu
Elektif Novel Restu. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Umar Junus (1989). Stilistik Satu Pengantar. Ampang: Dewan
Bahasa dan Pustaka.