Salam sejahtera semua. Cerpen ni Abhen hasilkan pada tahun 2012 dan telah memenangi tempat kedua dalam Pertandingan Menulis Cerpen 2012 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur. Inilah pertama kali karya Abhen diangkat di peringkat kebangsaan. Terharu sangat sebab hasil karya pertama ini telah menambat hati juri.
Wajah bangunan itu sangat mengerikan
dan tidak pernah tergambar dalam lakaran hidupnya. Dia mengimpikan sesuatu yang
lebih indah berbanding dengan apa yang ada di depan matanya sekarang ini. Dia
acap kali menangis mengenangkan cita-citanya hanya menjadi igauan sahaja dan
dimamah oleh masa lalunya. Akibat tidak mahu menjadi Si Tanggang menjadikan dia
anak yang menuruti segala apa yang diarahkan oleh orang tuanya. Umpama sia-sia
sahaja impian dan usahanya selama ini kerana impiannya terbantut dan tidak
pernah akan menjadi mengikut firasatnya setelah dia tahu dia ditempatkan di
tempat itu. Mengapakah aku dihantar ke sini? Soalan itu beku dalam perjalan
tafsir ingatannya. Mungkin itu menjadikan dia sebenar manusia yang diinginkan
oleh ibu bapanya.
Sejak menjejak kaki di Institut
Pendidikan Guru (IPG) Kampus Indera itu seribu gambaran yang telah terlukis
difikirannya. Dia telah menemui wajah rakan sebiliknya, wajah rakan
sekampusnya, wajah pengawal keselamatan di kampusnya, wajah pensyarah yang
belum dia tahu asal usulnya, wajah pekerja yang tidak pernah dia tahu isi
hatinya dan pelbagai lagi wajah yang dia akan jumpa di situ. Itulah permulaan
cabaran dan dugaannya bergelar seorang guru pelatih iaitu sesuatu yang tidak
pernah dia idamkan selama ini. Mampukah dia menanamkan semangat keguruan dalam
benak dan kotak hatinya.
Seingatnya ketika masa lalu dia
bercita-cita untuk menjadi seorang doktor yang berjaya dan menyambung
pengajiannya di negara idamannya iaitu negara New Zealand yang jauh nun di
sana. Tetapi, hasrat itu telah lenyap satu demi satu dari kotak fikirannya.
Dulu dia bersekolah di dalam kelompok satu kaum sahaja iaitu di sekolah
majoritinya orang Cina. Oleh sebab itu, dia boleh bercakap dalam bahasa Cina
dengan baik. Sekarang ini dia berdiri di dalam kelompok pelbagai kaum yang ada
seperti kaum Kenyah, Kelabit, Kejaman, Kayan, Bidayuh, Murut, Bugis, Kadazan,
Bajau, dan banyak lagi kaum yang telah akan dia jumpa. Apa yang penting bagi
dirinya ialah masuk ke kandang kambing mengembek, masuk ke kandang harimau
mengaum dan masuk ke tempat orang mesti mengikut adat dan budaya orang di situ.
Perpaduan kaum sangat penting untuk mengekalkan hubungan yang erat di Malaysia
ini.
Yang pasti, dia memulakan hari kuliahnya
dengan pelbagai perasaan yang ada. Segala yang bermula merupakan sejarah baharu
dalam kamus hidupnya.
“Selamat petang, nama saya Abhen,
saya Kumpulan Bahasa Melayu Satu.” Terang Abhen kepada rakan sebiliknya serba
ringkas. Dia melihat wajah rakan sebiliknya itu lain semacam saja. Dia terus
menjalankan misi untuk mengemas kesemua barangnya agar nampak lebih kemas lagi
dan sejuk mata memandang. Dia menunggu rakannya itu membalas sesi perkenalan
yang dimulakan olehnya sebentar tadi tetapi rakan sebiliknya itu seperti orang
bisu sahaja.
“Bisukah rakan sebilik ku ini?
Mengapa dia terpilih untuk mengikuti program ini kalau dia bisu? Mungkin dia
malu untuk bertegur dengan ku.” Bisik hati kecil Abhen yang diburu persoalan
mengenai rakan sebiliknya itu. Dia membuat sentuhan terakhir terhadap susunan
barangannya sebelum dia turun untuk aktiviti yang seterusnya. Dia belum
mengenali alam tersebut dengan lebih dekat dan dia masih berasa sedih setelah
kedua-dua orang tuanya meninggalkan dia di tempat yang asing baginya itu.
“Saya pergi keluar dulu nak pergi ke
kafeteria, saya nak beli air mineral, awak nak pesan apa-apa ke?” Soalnya
kepada rakan sebiliknya itu sambil mencapai dompetnya yang terdampar di atas
meja belajarnya. “Tidak. Terima kasih.” Jawab rakannya itu ringkas dan dia
belum sempat lagi mengetahui nama rakannya itu walaupun sudah lebih beberapa
jam mereka bersua muka.
Dia menyusun langkah kakinya menuju
ke kafeteria dan semasa dalam perjalanan dia asyik berselisih dengan senior-senior
yang belum lagi dikenalinya. Dia masih kekok untuk bertanya dengan sesiapa
kerana dia merasakan dia masih baharu di tempat itu dan apakan daya dia takut
dicop sombong kerana tidak mahu bertegur sapa dengan rakan-rakan senior. Dia
memulakan hidupnya bergelar seorang guru pelatih dengan tenang walaupun dia
belum menerima profesion tersebut dalam hatinya. Tetapi dia berjanji akan
berusaha untuk mencintai profesion tersebut demi ibu dan bapanya yang tercinta.
Kehidupan sebagai seorang guru
pelatih telah bermula dan dia belajar sesuatu yang lebih mendalam untuk mata
pelajaran majornya. Dia baharu sedar bahawa rakan sebiliknya itu merupakan
rakan sekelasnya juga. Dia mengetahui nama rakannya itu semasa sesi suai kenal
ketika kuliah pertama berlangsung. “Mengapa dia bersikap sedemikian dan mengapa
dia suka berdiam?” Bisik hati kecil Abhen yang masih tertanya-tanya sampai saat
ini.
Selesai kuliah pada hari tersebut
dia cuba untuk meluangkan masa dengan rakan sebiliknya itu dan dia cuba untuk
menyelongkar masalah rakannya itu kerana dia tidak sanggup dianggap tidak wujud
di depan mata rakannya itu.
“Hai Tinus, awak dah makan ke?
Termenung saja awak saya tengok dari tadi. Awak ada masalah ke? Saya sudi
membantu awak kalau awak ada masalah yang boleh saya bantu.” Kata Abhen sambil
duduk di sebelah Tinus yang murung itu. Tinus seperti ingin membuka mulutnya
untuk berbicara tetapi kelihatan berat untuknya meluahkan apa yang terpendam.
Tinus tetap dengan pendiriannya
iaitu terus mendiamkan diri walaupun diajukan pelbagai soalan yang memerlukan
dia memberi jawapan tetapi dia tetap seperti hari-hari sebelumnya.
“Apakah yang bermain difikiran Tinus
sehingga ke hari ini dia tidak mahu menegurku? Apakah sejarah yang menyebabkan
dia berlaku sedemikian? Aku hanya mampu bersabar dengan apa yang terjadi ini.”
Bisik Abhen sayu di dalam hati kecilnya.
Hari demi hari berlalu usianya di
kampus itu dimamah hari-hari yang memilukan hati kerana rakan sebiliknya itu
belum pernah lagi cuba mengenalinya dengan lebih dekat walaupun mereka tinggal
di dalam bilik yang sama sejak berbulan yang lalu. Dia acap kali menghubungi
keluarganya yang jauh dari pandangan matanya menyebabkan hatinya yang keras itu
menjadi lembut dan sering kali matanya mengalirkan butir-butir jernih yang
menyusuri kelopak matanya itu. Dia merasa dirinya tidak wujud dalam hidup
rakannya itu dan dia sering dihantui persoalan kenapa rakannya memperlakukan
dirinya sedemikian rupa.
“Apakah yang Tinus renungkan itu?
Apakah masalah dia sebenarnya? Aku tidak dapat menjangka apa yang sedang
bermain difikirannya itu.” Bisik hati Abhen kecewa. Abhen selalu mencuba untuk
mengetahui keadaan sebenar yang telah terjadi kepada Tinus sehingga dia menjadi
sebegitu. Dia hanya mampu berdoa kepada Tuhan agar jawapan yang ditunggunya selama
ini terjawab dalam masa yang terdekat ini.
“Tuhan, berikan aku kekuatan agar
aku mampu berdepan dengan keadaan dan masalah yang menimpa aku saat ini.” Doa
Abhen dengan sepenuh hatinya agar Tinus membuka hatinya untuk menceritakan
masalahnya yang seperti ulat tersembunyi dalam kepompong yang menunggu masa
untuk terbang menjadi rama-rama.
“Biar masa yang menentukan segala
yang berlaku dan biarlah apa yang terjadi itu menjadi sempadan untuk kamu
berhati-hati dalam menjalani kehidupan kamu nanti.” Pesan emaknya yang masih
terngiang-ngiang dalam telinganya sehingga ke detik ini. Dia berfikir juga
kadang-kadang mengapa dia ditempatkan di tempat itu dan jika dia meneruskan
hasratnya dan cita-cita dulu iaitu menyambung pengajian di New Zealand maka dia
tidak akan berdepan dengan situasi sedemikian.
Kehidupan sebagai seorang guru
pelatih tidak semudah yang disangkakan mereka yang ada di luar sana kerana
kalau kita tidak merasa maka kita tidak akan mengalami situasi yang sama dan
semua orang boleh mengatakan persepsi masing-masing terhadap profesion ini. Jika
ibarat benih yang ditabur kehidupannya kini boleh dikatakan sudah boleh dituai
hasilnya kerana dia sudah lama bertapak di tempat itu dan sampai ke hari ini
dia masih diburu igauan Tinus yang tidak berkesudahan itu.
“Emak, aku ingin pulang dan tidak
mahu tinggal di sini lagi.” Ayat itu acap kali diajukannya kepada ibunya tetapi
dia hanya mampu mendengar leteran ibunya yang selalu memberi dorongan dan
semangat kepada dia agar bersabar menghadapi dugaan hidup di tempat itu demi
bergelar seorang guru suatu hari kelak.
Dia melangkah malas menuju ke blok
kelas untuk menghadiri kuliah bagi mata pelajaran yang paling tidak digemarinya
iaitu Bahasa Melayu. Sejarah dia memang digeruni dalam mata pelajaran tersebut ketika
di bangku sekolah menengah kerana namanya memang popular dengan mata pelajaran
tersebut. Tetapi sekarang dia tidak lagi meminati mata pelajaran tersebut
kerana cita-cita sebenar ingin menjadi seorang doktor yang berjaya. Cita-cita
itu lenyap sekelip mata ditelan harapan dan hasrat kedua-dua orang tuanya. Dia
tidak dapat menumpukan perhatian di dalam kelas kerana dia teringat akan rumah
dan keluarganya sahaja.
“Kenapa kau lain macam je ni Ben?
Ada apa-apa masalah ke?” Tanya Joseph kepada Abhen yang menghadapi masalah
kemurungan itu. “Shi wo ma?” Balas
Abhen dalam bahasa Cina. “Mengada-ngadalah awak ni Ben. Kalau saya cakap Cina
nanti tak tau pula nak jawab.” Sindir Joseph dengan bangganya. Abhen terus
mendiamkan diri kerana dengan kawan Cinanya yang satu itu sahajalah yang sering
bersama dia dan sejak kebelakangan ini dia selalu berkunjung ke bilik Joseph
berbanding menghuni biliknya sendiri. Dia tidak mahu pergi ke bilik tersebut
kerana dia menganggap bilik tersebut hanya sebagai bilik persalinan sahaja.
“Abhen, wo men yi qi qu chi?” Tanya Joseph dalam bahasa Cina membuatkan
Abhen rasa diperli sahaja walaupun dia dapat memahami apa yang diujarkan oleh
Joseph sebentar tadi. “Jomlah pak cik.” Jawab Abhen sambil berlalu meninggalkan
Joseph di belakangnya. Abhen lebih rapat
dengan Joseph berbanding dengan rakan sebiliknya yang tidak pernah cuba
untuk bertegur sapa dengannya. Abhen sudah biasa berkawan dengan orang Cina
kerana dahulu dia pernah bersekolah di dalam kelompok tersebut. Dia sudah mahir
berkomunikasi dengan kawannya yang berbangsa Cina menyebabkan persahabatannya
semakin erat dan tidak pernah dia didatangi persengketaan. Kesefahaman di
antara mereka menyebabkan perpaduan dapat dicapai melalui persahabatan dan juga
pendidikan.
“Awak nak order apa? Saya tolong awak order.”
Tanya Joseph kepada Abhen. “I want to
order fried rice and apple juice, please.” Jawab Abhen meninggi diri.
“Baiklah kalau begitu, saya pergi order
dulu.” Balas Joseph tanpa menghiraukan kelakuan Abhen yang seperti kena renjatan
elektrik itu. Dia selalu terfikir kenapa dia tidak ditempatkan sebilik dengan
Joseph kerana dia lebih selesa berkawan dengan Joseph walaupun mereka tidak
sama kaum tetapi hubungan mereka bagai isi dengan kuku. Beberapa minit selepas
itu, makanan yang dipesan oleh mereka berdua sudahpun siap dimasak dan semua
harga makanan tersebut dibayar oleh Joseph.
“Mari kita doa dulu sebelum makan
Ben.” Kata Joseph sambil berdoa dan terus menjamu selera.
Putaran hidup ibarat roda yang
berputar dan tidak semestinya kita berada di atas dan adakalanya kita akan
berada di bawah juga. Abhen masih dihantui bayang-bayang masalahnya dengan
Tinus walaupun dia tidak tahu apa masalah yang berlaku sebenarnya diantara
mereka berdua. Tinus masih membuat muka dengannya walaupun pelbagai prakarsa
telah dilakukan olehnya sebelum ini. Dia selalu berdoa agar permasalahan itu
berakhir dan tamat dengan baik. Dia selalu bertanya kepada rakan-rakannya yang
selalu mendampingi Tinus, tetapi Tinus tidak pernah menceritakan hal tersebut
kepada rakan-rakannya itu.
“Abhen, saya ada cadangan nak
bincang dengan awak. Kalau awak ada masa saya nak bincang sekarang.” Tanya
Joseph seperti merayu-rayu. “What that?
Ada-ada saja awak ni.” Balas Abhen lesu. “Saya serius ni nak tolong awak
selesaikan masalah awak dengan roomate
awak. Sampai bila awak nak berdiam macam ni?” Ujar Joseph bertegas melihat
sikap Abhen yang hati batu itu. “Maaflah, Joseph. Saya malas nak fikir pasal
benda tu lagi. Dah bosan saya fikir langkah untuk selesaikan masalah ni.” Jawab
Abhen sayu. “Saya boleh bantu awak kalau awak nak selesaikan masalah ni.” Balas
Joseph berputus asa. Abhen terus mendiamkan diri dan tidak mampu berkata-kata
lagi kerana dia tidak mampu lagi mengendong masalah itu sendiri.
Hari demi hari Abhen diburu rasa bersalah
walaupun dia tidak tahu dia bersalah atau tidak. Mengapa Tinus memperlakukan
dia sedemikian dan sampai bila lagi fenomena itu akan berakhir? Bila dia cuba
untuk mendekati Tinus, Tinus terus melarikan diri walaupun kelihatan pelik
tindakan yang dilakukannya itu. Joseph cuba untuk membantu Abhen tetapi apakann
daya yang Joseph cuba lakukan tidak diterangkannya kepada Abhen terlebih dahulu
menyebabkan Abhen rasa ragu-ragu untuk menerima bantuannya itu.
“Abhen, hari ini kau kena jumpa
Tinus juga walaupun apa yang akan terjadi. I
will stand behind your back. We are friend.” Kata Joseph memberi semangat
kepada Abhen agar dia mahu berjumpa dan bertanya dengan Tinus apakah yang telah
terjadi sebenarnya. “Baiklah Joseph. Saya akan jumpa dengan dia dan awak perlu
ikut saya kerana saya bimbang apa-apa akan terjadi.” Balas Abhen resah dan
bimbang apa yang akan terjadi. “Jangan bimbang. Saya sentiasa membantu kamu
Ben.” Terang Joseph penuh semangat.
“Abhen, yang paling kita perlukan
dalam kehidupan ialah adanya seseorang yang selalu memberi semangat untuk
melaksanakan hal-hal yang dapat kita kerjakan bak kata ahli Falsafah Davey John
Schwartz.” Ujar Joseph membuat Abhen mampu tersenyum lebar. Dia tidak menyangka
sahabat Cinanya itu mampu menyusun kata-kata yang sangat membakar semangatnya.
“Joseph, yang dikatakan kawan bukanlah orang yang sentiasa memuji-muji kamu,
tetapi orang yang dapat menunjukkan kesalahan kamu.” Balas Abhen berpujangga
membalas kata-kata daripada Joseph sebentar tadi.
Abhen dan Joseph melangkah kaki
untuk menuju ke tempat di mana Tinus sedang berada. Abhen kelihatan takut dan
gementar kerana dia bimbang dia berada di pihak yang salah. Dengan adanya
Joseph di sisinya membuatkan dia rasa selamat kerana dia tidak pergi seorang
diri. Abhen berharap dia mampu menghadapi apa yang akan berlaku sebentar nanti.
“Selamat petang Tinus.” Sapa Joseph
dengan tenang untuk memulakan perbicaraan mereka. “Hai Tinus.” Sapa Abhen tanpa
rasa segan. “Selamat petang Joe, Ben. Maaf kerana mengganggu petang kalian berdua.”
Kata Tinus seolah-olah dia yang bercadang untuk membuat perbincangan tersebut.
“It ok Tinus. Thank you sebab kamu sudi datang.” Jawab Joseph bersemangat. Abhen
rasa tenang kerana pertama kali dia melihat Tinus tersenyum dan tarikh itu akan
dijadikannya sejarah dalam hidup.
“Tinus.....” Tanya Abhen kepada
Tinus tidak sempat dihabiskan tetapi Tinus sudah mencela. “Abhen, saya nak
minta maaf atas segala apa yang dah saya lakukan selama ini terhadap kamu. Saya
tahu kamu tidak bersalah dalam hal ini.” Terang Tinus membuatkan Abhen tenang
seketika. Tinus cuba untuk menyambung kata-katanya.
“Abhen, sebenarnya saya telah
kehilangan ibu dan bapa sehari sebelum saya masuk ke IPG ini. Mereka meninggal
akibat kekhilafan sahabat kepada bapa saya iaitu Pak Cik Asun. Kedua-dua orang
tua saya menumpang keretanya untuk balik ke kampung dan dalam perjalanan mereka
telah ditimpa kemalangan yang meragut nyawa kedua-dua orang tua saya tetapi Pak
Cik Asun sahaja yang hidup. Pak Cik Asun leka semasa memandu kereta menyebabkan
saya kehilangan ibu dan bapa saya yang tersayang. Saya masih tak boleh terima
kenyataan sampai hari ini.” Terang Tinus panjang menyebabkan Abhen bersedih.
“Tinus, awak tak boleh menyalahkan
takdir. Mungkin sudah tiba ajal mereka dan mereka terpaksa pergi. Tuhan lebih
menyayangi mereka. Apakah kaitan masalah ini dengan sayalah?” Terang Abhen
sambil bertanya akan masalah Tinus dengannya. “Pak Cik Asun. Pak Cik Asun tu
orang Iban. Abhen orang Ibankan?” Tanya Tinus geram. “Ya. Saya orang Iban dan
apa kaitan dia dengan saya pula?” Jawab Abhen ingin tahu. Tinus diam seketika.
“Saya tak boleh terima orang Iban
dalam hidup saya. Mereka pembunuh. Pak Cik Asun pembunuh. Dia bunuh ibu bapa
saya. Saya benci dia.” Teriak Tinus sambil menangis. “Tinussssssss, kenapa cakap
macam tu? Awak tak boleh salahkan pak cik tu. Awak silap sebenarnya. Awak ingat
bangsa kami pembunuhlah? Awak telah melakukan silap yang besar Tinus.” Balas
Abhen membela dirinya. “Tinus, awak tak boleh cakap macam tu Tinus, kita jangan
membuat persepsi sendiri terhadap seseorang mengikut pengalaman yang kita
pernah alami.” Balas Joseph membela sahabatnya itu.
Tinus terdiam dan tidak mampu
berkata-kata lagi.
“Tinus, jangan kerana nila setitik
rosak terus susu sebelanga. Bukan kerana nila setitik awak terus nak menganggap
semua orang sama. Awak kena ingat kerana pulut santan binasa dan kerana mulut
badan binasa.” Jelas Abhen dengan nada marah. “Abhen, maafkan saya. Saya
terlalu mengikut emosi dan perasaan saya. I’m
so sorry Abhen.” Pinta Tinus daripada Abhen.
Mereka berdamai dan Abhen berasa
lega setelah dia dapat menyelesaikan masalah yang menghantuinya selama ini.
Akhirnya mereka bertiga menjadi sahabat baik walaupun mereka tidak sama bangsa.
Bagi mereka bangsa bukan jadi sempadan dalam persahabatan.
“Tinus, Joseph dan saya Abhen, bukan
kerana nila setitik jangan sampai rosak susu sebelanga.” Pesan Abhen kepada
rakan-rakannya.
Biar berbeza kaum asal jangan serong
terhadap setiap kaum yang ada di depan mata.
No comments:
Post a Comment