Cerpen "Gelaran Untuk Cikgu" mendapat Saguhati dalam Pertandingan Karya Kreatif Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak 2013.
GELARAN
UNTUK CIKGU
Wajah
wanita yang sudah dimamah usia itu memang mengerikan dirinya kerana kerap kali
dia dimarahi oleh wanita itu dan apa salah dirinya sebenar sehingga wanita itu
muak melihat dirinya. Dia fobia untuk pergi ke sekolah kerana tidak mahu
berhadapan dengan wanita yang selaku guru kelasnya juga. Tidak pernah sekali
pun wanita itu berbuat baik kepada dirinya walaupun dia hanya berdiam di dalam
kelas semasa wanita itu menyampaikan isi pembelajaran. Apakah salah dirinya
kepada wanita itu? Sampai bila sauh kemarahan wanita itu akan bertaut dan
berlabuh di pelabuhan kemaafan? Persoalan itu basi dalam kurungan hatinya.
Sejak
melangkah kaki ke tingkatan empat dia semakin malas untuk meneruskan
persekolahannya walaupun dia popular dengan kebijaksanaan yang dimilikinya. Dia
mempunyai keseimbangan dalam akademik dan juga kokurikulum di sekolah. Selain
itu, dia juga merupakan penanda aras kepada rakan-rakannya yang lain.
Dia
termenung mengenangkan kisah lamanya semasa dia berada di tingkatan satu, dia
ditempatkan di dalam kelas yang menempatkan pelajar-pelajar genius daripada
pelbagai sekolah yang berdekatan dengan sekolah menengah itu. Dia mendapat
keputusan yang agak cemerlang menyebabkan dia dilemparkan di dalam kelas
tersebut. Dia berasa rendah diri kerana dia melihat potensi rakan-rakannya yang
lain lebih baik daripada dirinya. Kadang-kadang dia rasa ingin keluar sahaja
daripada kelas itu kerana dia kerap kali setiap peperiksaan berada di kedudukan
kedua terakhir.
Walau
apapun yang terjadi dia tetap meneruskan persekolahannya kerana dia bakal
menduduki SPM pada tahun hadapan. Dia mahu berjaya dalam hidupnya dan mampu
membuat kedua-dua orang tuanya tersenyum mendengar khabar kejayaannya kelak.
Buat apa dia memperdulikan wanita itu kerana bukan dia yang menentukan kejayaan
dirinya nanti.
“Peduli
apa aku dengan nenek tu!” Ujaran yang selalu lobos dari alat artikulasinya.
“’Singa
betina’ itu bukannya Tuhan. Buat apa aku nak sembah dan puja dia? Mungkin itu
sebab dia selalu memarahi aku agaknya.” Ramalan hatinya yang tidak pernah
diketahui kebenarannya.
“Kenapa dengan aku sahaja singa betina tu
selalu marah? Dia ingat aku ni tempat melepaskan marah ke? Dia silap
sebenarnya. Sangat silap!” Keluhan dia berpanjangan.
“Biasalah
tu Haikal,” kata Ezan sambil menepuk bahu kawannya itu dengan perlahan. Ezan
memang faham dengan apa yang dialami oleh Haikal selama ini kerana mereka
merupakan kawan rapat sejak dari tingkatan satu lagi. Ezan tidak mampu membantu
Haikal untuk menentang Cikgu Rubiah kerana singa betina itu memang terlalu
garang dan panas baran orangnya. Tetapi Ezan juga kurang senang dengan sikap
Cikgu Rubiah yang membabi buta itu.
Dia
benar-benar berasa pelik dan aneh. Mengapa Cikgu Rubiah sangat tidak
menyukainya sehingga Cikgu Rubiah tidak pernah menganggap dirinya wujud di
dalam kelasnya. Selama tiga tahun sebelum itu dia sangat bahagia diajar oleh
guru-guru lain dan tidak pernah dia berjumpa dengan ‘singa betina’ seperti
Cikgu Rubiah itu. Segarang-garang Cikgu Caswati juga berbatas dan tidak seperti
yang ditunjukkan oleh Cikgu Rubiah yang seperti buaya kelaparan itu.
Memang
Haikal masih dalam ketakutan untuk menghadapi hari-hari mendatang untuk bersua dengan
Cikgu Rubiah yang mengajar kelas mereka mata pelajaran Bahasa Melayu. Haikal
bimbang Cikgu Rubiah akan mengkhianatinya semasa peperiksaan dan penilaian yang
lain seperti ujian lisan. Haikal juga risau akan ujian sumatif dan ujian
formatif yang bakal dia hadapi selama dua tahun akan datang itu. Haikal jemu
menghadapi semua masalah yang tidak diingininya tetapi itu juga yang diberikan
Tuhan kepada dirinya. Haikal akan membuktikan pada Cikgu Rubiah yang dia akan
berjaya dalam SPM pada tahun hadapan.
“Kalau
latihan karangan tu dah siap nanti cikgu nak ketua kelas hantar ke meja cikgu.”
Ucap Cikgu Rubiah tanpa melihat wajah anak muridnya.
“Fahammmmmmmmmm!!!”
Jerit Cikgu Rubiah apabila tiada seorang pun yang menjawab ucapannya sebentar
tadi.
“Faham
cikgu!” Jawab Syafika selaku ketua kelas untuk kelas 4A.
Haikal
tidak mahu merenung wajah singa betina di hadapan kelas mereka kerana tidak
mahu menerima jelingan tajam daripada Cikgu Rubiah. Gelaran ‘singa betina’ itu
memang sesuai untuk Cikgu Rubiah. Cikgu Rubiah belum mengetahui gelaran itu
diberikan oleh pelajar kepada dirinya.
“Ezan!
Tak ada ribut dan tak ada angin pun dia nak marah kita. Pelik sangat nenek tua
ni! Sebab tu dia tak bersuami. Tak laku agaknya!” Ucap Haikal kepada Ezan yang
berada di sebelahnya.
“Yalah!
Tak pernah aku jumpa wanita yang segarang cikgu ni. Dahlah cikgu garang lagitu.
Tak padan langsung!” Balas Ezan yang seangkatan dengan Haikal yang tidak
menyukai perangai Cikgu Rubiah.
Haikal
dan Ezan meneruskan larian pena di atas buku karangan mereka untuk menyiapkan
latihan yang diberikan oleh Cikgu Rubiah. Haikal memang hebat dalam bidang
penulisan dan tidak asing lagi namanya di sekolah itu. Percambahan idea dan
ledakan isi karangannya memang sangat mantap dan selalu dijadikan contoh kepada
rakan-rakannya tetapi dia tidak pernah dipuji oleh Cikgu Rubiah walaupun dengan
satu ucapan sahaja.
Peristiwa
itu tidak pernah dialami oleh Haikal sebelum ini kerana dia memang seorang
pelajar yang bebas dari kancah masalah disiplin di sekolah. Sejak masuk ke
tingkatan empat menyebabkan dia mengubah fikirannya dek kerana Cikgu Rubiah
yang selalu mencabar iman dan jiwanya. Cikgu Rubiah memang tidak pernah berubah
walaupun pelbagai cara dan mekanisme yang dilakukan oleh Haikal dan rakan
sekelasnya. Cikgu Rubiah dikatakan mempunyai hati batu. Sangat degil.
Haikal selalu menceritakan hal itu kepada
ibunya tetapi ibunya hanya mengangguk dan tidak berkata apa-apa menyebabkan dia
semakin bingung dan rasa ingin berpindah dari sekolah itu walaupun jiwa dan
raganya sudah tertanam di sekolah itu. Haikal tidak mahu memikirkan perkara itu
tetapi masalah yang dihadapinya itu ibarat tumor kanser yang sudah mereka di
dalam kotak kepalanya.
Haikal pernah mengemukakan hal itu kepada
guru kaunseling di sekolahnya. Luahan hatinya itu didengar baik oleh Cikgu
Lucia yang sangat mengenali Cikgu Rubiah ketika itu. Cikgu Rubiah memang tidak
bergaul dengan guru-guru lain kerana guru-guru lain juga tidak menyenangi
sikapnya yang panas baran itu termasuk pengetua sekolah sendiri.
“Haikal, cikgu faham apa yang Haikal
alami itu kerana ada juga pelajar lain yang melaporkan hal yang sama kepada
cikgu sebelum ni.” Terang Cikgu Lucia kepada Haikal yang tertunggu-tunggu
jawapan daripada Cikgu Lucia yang merupakan Pakar Kaunseling Pelajar yang
bermasalah.
“Habis tu? Buat macam tu je ke cikgu?
Saya hilang fokus belajar gara-gara dia cikgu.” Getus Haikal sambil mencemikkan
bibirnya tanda kecewa.
“Tak apa. Haikal balik kelas dulu. Nanti
cikgu pandai-pandailah runding dengan Cikgu Rubiah. Cikgu janji tak akan
dedahkan nama Haikal.” Jawab Cikgu Lucia membuatkan Haikal rasa lega walaupun
masalah itu belum berakhir lagi.
“Terima kasih cikgu!” Ucap Haikal sambil
meninggalkan Cikgu Lucia di bilik kaunseling.
“Sama-sama.” Balas Cikgu Lucia selepas
itu.
Haikal tetap berusaha untuk mencari punca
Cikgu Rubiah yang berkelakuan sedemikian terhadap dirinya. Sukar untuk diramal
punca sebenar Cikgu Rubiah berkelakuan sebegitu.
Cikgu Rubiah masih sebegitu. Semakin
menjadi-jadi dan gila-gila. Manusia yang tidak ada perasaan.
Tidak ada guru yang mampu berkawan dengan
Cikgu Rubiah di sekolah itu kerana guru-guru lain juga tidak mampu berdepan
dengannya. Tidak pernah Cikgu Rubiah makan di kantin sekolah bersama dengan
guru-guru lain. Kebiasaannya Cikgu Rubiah makan seorang diri sambil ditemani
wajahnya yang masam dan garang itu. Sepanjang di sekolah itu tidak pernah Cikgu
Rubiah melemparkan senyumannya kepada sesiapa walau sesama rakan sejawatnya.
Mungkin Cikgu Rubiah dilahirkan untuk
berkelakuan sedemikian. Mengapa dia memilih profesion perguruan dengan sikap
yang tidak elok dimilikinya itu. Cikgu Rubiah seorang yang tidak murah
senyuman.
Spekulasi yang ditujukan kepada Cikgu
Rubiah tidak sepatutnya dilemparkan begitu sahaja kerana semua orang tidak tahu
tentang latar belakang guru yang diberi ‘gelaran singa’ betina itu. Cikgu
Rubiah memang sukar untuk didekati apatah lagi untuk diajak berbual bersama.
Haikal merenung jauh. Suasana di luar
tingkap kelas mereka agak hening. Dia hanya mampu bersabar dan bertawakal sebelum
‘singa betina’ masuk ke kelas mereka untuk mengambil jumlah kehadiran pelajar
kelas 4A pagi itu. Ezan asyik membelek-belek buku rujukan Kimia dan cuba untuk
menghafal formula-formula penting. Haikal juga turut membelek-belek buku
rujukan yang sama dan melakukan aktiviti yang sama seperti yang dilakukan oleh
Ezan sahabat baiknya itu.
“Good
morning class!” Ujar Cikgu Rubiah berbahasa Inggeris walaupun dia seorang
guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu.
“Good morning miss.” Jawab semua pelajar
kelas 4A.
Keadaan kelas automatik menjadi senyap
selepas itu kerana tiada seorang pun yang berani untuk bersuara kerana tidak
mahu mencari masalah dengan Cikgu Rubiah.
“Nak kita panggil dia miss nenek tua ni. Tak sedar diri betul.
Dah tua pun masih pangkat miss lagi.”
Bisik Ezan ke telinga Haikal yang sedang menyimpan buku-bukunya yang berada di
atas meja.
“Kau ni Ezan, tak habis-habislah. Dah
namanya belum ada laki. Jadi kita panggil miss
sajalah.” Balas Haikal perlahan.
“Lelaki mana yang nakkan ‘singa betina’
ni? Orang gila pun fikir dua tiga kali nak terima lamaran dia.” Kata Ezan
memperli Cikgu Rubiah.
“Dah tu. Cukup-cukup. Nanti dia dengar
habis kita dua dimakannya.” Balas Haikal yang tidak mahu Ezan berterusan
mengutuk Cikgu Rubiah yang sangat dibenci oleh mereka.
Haikal tidak mahu lagi melayan perasaan
bencinya terhadap Cikgu Rubiah kerana itu akan menjahanamkan dirinya sendiri.
Lebih baik lagi perasaan itu dikebumikan di dalam perkuburan hatinya yang masih
kosong itu. Cikgu Rubiah hanya menambahkan dosa-dosanya sahaja. Membenci sesama
umat-Nya adalah dilarang keras oleh agama.
“Astaghfirullalazimmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmm!”
istighfar Haikal memanjang.
Cikgu Rubiah menyampaikan isi
pelajarannya seolah-olah tidak ada masalah yang terjadi di antara dirinya
dengan pelajar kelas tersebut. Cikgu Rubiah seorang yang sangat profesional
dalam menyembunyikan masalahnya dan dia juga sangat pandai bermuka-muka dengan
pelajar apabila ada penyeliaan terhadap pengajarannya pengetua ataupun nazir
dari luar.
Tangan Haikal menggigil apabila Cikgu
Rubiah menghampiri meja di mana dia sedang berada ketika itu. Hatinya kecut
apabila melihat wajah suram gurunya itu. Tiada satu bunyi pun yang dihasilkan
ketika ‘singa betina’ itu bertapa di dalam kelas mereka berbanding guru-guru
mata pelajaran yang lain.
“Menyampah betul aku tengok muka ‘singa
betina’ tu. Buat apa dia ronda-ronda sampai belakang sini. Nak jual muka masam
dia tu?” rungut Ezan tak sudah-sudah.
“Emotional
betul kau sejak kebelakangan ni Ezan. Boleh naik gila kita dibuatnya.” Jawab
Haikal menyokong pendapat Ezan.
“Mana tidak! Tengok kita pun muka macam
sampah. Rasa berdosa je aku bila dia masuk kelas. At least senyumlah sikit untuk menceriakan keadaan. Ini tidak!
Monyok memanjang dari dulu lagi. Buat aku penat, semakin kepak dengan benda ni.” Keluhan Ezan mengenangkan nasib mereka
apabila dianugerahkan guru seperti Cikgu Rubiah itu.
“Yalah Zan! Aku pun malas nak fikir lagi.
Kepak dah ni. Berserah kepada Allah
biar Allah dengar doa kita.” Balas Haikal pasrah.
Loceng berbunyi menandakan masa mata
pelajaran yang diajar oleh Cikgu Rubiah sudah berakhir pada hari tersebut.
Cikgu Rubiah tidak mengharapkan ucapan terima kasih daripada anak muridnya
kerana dia terus berlalu meninggalkan kelas tanpa sepatah kata pun. Sudah
menjadi perangainya sejak menjadi guru kelas 4A.
Haikal termenung di ruang tamu rumahnya.
Dia teringat akan perangai Cikgu Rubiah yang tidak pernah terhakis dari laman
ingatannya. Cikgu Rubiah memang mencabar kesabaran dan keimanannya sejak dari
dulu lagi.
“Mengapa Allah menghadirkan Cikgu Rubiah
kepada kami sekelas?” Soalan itu berlegar di ruang tempurung kepala Haikal.
Bayang-bayang Cikgu Rubiah memang
menghantui Haikal sejak beberapa bulan lalu. Kemana sahaja dia memang selalu
ada bebayang itu mengekorinya sehingga dia mengistiharkan dirinya diganggu
masalah stress yang melampau. Mungkinkah
Cikgu Rubiah putus cinta? Mungkin juga Cikgu Rubiah dipaksa oleh keluarganya
untuk menjadi seorang guru? Mungkin juga cintanya ditolak oleh teruna idaman
Malaya? Atau Cikgu Rubiah mengalami gangguan bakteria-bakteria yang
mencederakan sistem kognitifnya? Tidak mungkin Cikgu Rubiah ada masalah otak.
Kalau tidak, mesti dia tidak diterima bekerja dengan kerajaan. Tapi tidak ada
yang mustahil kerana tidak ada siapa yang tahu apa yang sedang dialami oleh
Cikgu Rubiah sekarang ini. Haikal akan berusaha untuk merungkai masalah Cikgu
Rubiah itu ibarat menyiasat mayat yang telah berulat dan sukar dicam tuan
empunya badan. Haikal tidak putus asa.
Macam mana nak merungkai semua itu andai
tuan empunya badan sendiri sukar untuk didekati dan payah untuk diajak berbual.
Macam mana kalau bertanya sendiri dengan ibu dan bapanya. Di mana rumahnya?
Sampai bila tanggapan itu akan bersarang di dalam fikiran manusia yang belum
dapat mentafsir siapa diri Cikgu Rubiah sebenarnya.
Kalaulah Cikgu Rubiah tidak dipindahkan
ke sekolah itu pada awal tahun dulu. Mungkin masalah itu tidak akan timbul.
Mengapa Cikgu Rubiah dipindahkan kesini? Mungkin dia bermasalah di sekolah
lamanya? Kalau Cikgu Rubiah tidak muncul mungkin keadaan lebih bagus lagi.
Jangankan pelajar, guru-guru juga hairan dengan keunikan perangai yang dimiliki
oleh Cikgu Rubiah. Pengetua sendiri sudah face
to face dengan Cikgu Rubiah tetapi hanya mencurah air ke daun keladi
kerana Cikgu Rubiah menganggap pengetua tidak wujud ketika itu.
Mungkin Cikgu Rubiah seorang guru yang
kurang siuman tetapi Cikgu Rubiah masih lagi waras dan dapat menyebut nahu
Bahasa Melayu! Setandan pukulan perasaan mencederakan emosi Haikal menerjah
ganas dihatinya. Haikal cuba melawan perasaan bencinya itu terhadap Cikgu
Rubiah. Haikal bergegas ke bilik mandi untuk menyejukan badannya. Dia berendam dalam
tub berisi air sabun.
“Sampai bila Cikgu Rubiah bersikap macam
tu?” Jerit Haikal dalam hatinya yang kian remuk mengenangkan sikap Cikgu Rubiah
terhadapnya.
Haikal mengajak Ezan mengelilingi kawasan
sekolah sebelum kelas tambahan yang diberikan oleh guru Matematik Tambahan
kelas mereka pada petang itu. Haikal dapat meneka soalan yang akan diaju oleh
Ezan kepada dirinya sebentar nanti kerana dia sudah masak dengan perangai kawan
baiknya itu.
“Haikal, cuba kau tengok miss world
kat depan tu. Cantikkan!” Jelas Ezan sampai menunjukkan jari-jemarinya ke arah
Cikgu Rubiah yang baharu sahaja keluar dari pejabat guru.
“Balik kerja pun muka monyok! Entah
ikhlas ke tidak dia mengajar kitakan? Harap-harap PK 1 tukar guru Bahasa Melayu
kita masa kita form 5 nanti. Risau
aku!” Keluhan Haikal.
“Tu la! Kalau tidak kita minta pengetua
tukarkan dengan Cikgu Latifah yang mengajar kelas 4B tu. Cikgu Latifahkan mesra
pelajar berbanding nenek kau Cikgu Rubiah tu.” Terang Ezan memberi cadangan
kepada Haikal.
“Aku setuju! Kalau tidak pun Cikgu Salmi.
Cikgu Salmikan pernah ajar kita dulu masa form 3. Cikgu Salmi pun boleh ajar
menengah atas.” Balas Haikal turut memberi cadangan.
“Aku betul-betul tak faham dengan Cikgu
Rubiah ni. Isi pengajarannya okey tetapi sahsiah dia yang lemah.” Ucap Ezan
membuat penilaian terhadap Cikgu Rubiah.
“Amboi! Ezan, kau ni dah macam nazir nak nilai-nilai
Cikgu Rubiah segala. Tapi memang betul apa yang kau cakap tu. Aku setuju
sangat!” Balas Haikal.
Perbualan mereka terhenti apabila jam
ditangan Haikal menunjukkan sudah cukup masa untuk kelas tambahan itu mereka
akan bermula. Mereka berdua bergegas menuju ke kelas kerana bimbang Cikgu Wong
sudah masuk kelas. Cikgu Wong sangat tegas dan suka memberi hukuman kepada
pelajar yang lewat masuk ke dalam kelasnya walaupun dengan sejuta alasan yang
diberikan.
“Rajin betul orang tua ni mengajar. Tak
cukup ke kelas waktu pagi untuk dia ajar subjek yang buat aku tak tidur malam
ni.” Rungut Quziana yang tidak menggemari mata pelajaran Matematik Tambahan
itu.
“Kenapa kau nak datang kalau tak nak?
Bukan Mr. Wong ambil kehadiran pun.
Sedih aku tengok kau ni. Perempuan-perempuan pun malas masuk kelas.” Sindir
Ezan yang bengang dengan sikap Quziana yang selalu mengantuk semasa kelas
Matematik Tambahan.
“Okey boss!” Balas Quziana ringkas dan
tidak mahu Ezan terus berucap mengutuk dirinya.
Suasana kelas pada petang itu menjadi
riuh-rendah apabila Cikgu Wong membuat lawak yang membuatkan semua pelajar geli
hati. Pelajar lebih seronok bila bersama dengan guru-guru mata pelajaran lain
berbanding mata pelajaran yang diajar oleh Cikgu Rubiah.
Haikal kian terpenjara dalam jerat
permasalahannya dengan Cikgu Rubiah. Dia dilanda perasaan bersalah kerana
membenci pendidiknya sendiri sedangkan perbuatannya itu sangat ditegah dalam
agama. Guru merupakan penyuluh ilmu kepada pelajarnya.
“Layakkah Cikgu Rubiah dihormati? Dia
sendiri tidak menghormati dirinya sendiri. Geram! Sedih! Benci! Semua bercampur
dalam tempurung kepalaku ini.” Keluhan Haikal dalam nada marah.
Cikgu Rubiah tidak pernah mengharapkan
apa-apa daripada pelajar. Salam yang diberikan kepadanya juga seperti diucapkan
kepada tiang-tiang jalan berbumbung sahaja. Tidak pernah dibalasnya.
Suasana kelas 4A pada mulanya seperti
keadaan di pasar minggu. Bising sangat! Mereka masih menunggu singa betina
masuk ke kelas mereka untuk mengambil kehadiran. Cikgu Rubiah juga akan meneruskan
sesi pengajaran pada pagi itu kerana selepas masa guru tingkatan merupakan masa
mata pelajaran Bahasa Melayu. Suasana pasar minggu berubah menjadi suasana yang
persis hari peperiksaan. Tiada satu suara yang mampu memecahkan hening. Sunyi!
“Seingat saya pelajar kelas ni seramai 20
orang! Tapi yang menghantar hanya 18 orang sahaja. Siapa yang tidak
menghantarrrrrrrrrrrrr?” Jerit Cikgu Rubiah dengan nada yang sangat marah.
“Kenapa diammmmmmmmmmmmm? Saya mengajar
kelas bisu ke?” Teriak Cikgu Rubiah sekali lagi apabila tiada pelajar yang
menjawab soalan yang diajukan olehnya sebentar tadi.
“Mohamad Adam Haikal Bin Mohamad Azam
Harris!!! Mohamad Ezan Ezanni Bin Mohamad Shukor Hafizi!!!” Panggilan pertama
Cikgu Rubiah.
Haikal dan Ezan hanya buat-buat muka tak
tahu apabila Cikgu Rubiah memanggil mereka kerana mereka tahu mereka akan
dibelasah perasaan oleh Cikgu Rubiah sebentar lagi.
“Awak berdua pekak ke? Nak saya guna
pembesar suara panggil dan biar semua warga sekolah tahu yang kamu berdua tak
hantar kerja sekolah?” ugut Cikgu Rubiah kepada Haikal dan Ezan.
Papppppppppppp!!! Bunyi tamparan yang
dilemparkan oleh Cikgu Rubiah di atas meja yang berada di hadapannya. Setiap
inci hati pelajar di dalam kelas itu sudah seperti di dalam mulut buaya.
“Kenapa tak hantar latihan yang saya
berikan hari tu? Malas nak buat? Atau pun tak tau nak tulis? Dah jadi bodoh?”
hina Cikgu Rubiah tanpa beralas.
“Hantar pun tak da gunakan? Bukan awak
semak pun! Nak menyemak meja awak kat pejabat guru sana. Bagus tak payah!” ujar
Ezan yang berani bersuara.
“Betul apa yang Ezan cakap tu. Buku
latihan saya dah separuh ditulis tetapi satu pun tidak ada tanda semakan dalam
tu. Bagus tak payah hantar. Beres!” kata Haikal membantu Ezan.
“Tak guna! Hal sayalah nak semak ke
tidak! Yang penting saya tak puas hati sekarang ni sebab awak dua tak hantar
buku.” Jerit Cikgu Rubiah mula tercabar dan perasaan marahnya membuak-buak.
“Saya pun tak puas hati bila awak tak
semak buku kami. Dahlah macam ‘singa betina’. Patutlah lelaki tidak ada yang
tersangkut.” Sahut Haikal semula.
“Awak kata saya ‘singa betina’? Kurang
ajar punya budak! Aku lempang muka kau nanti!” amaran Cikgu Rubiah kepada
Haikal yang masih menjawab apa yang diucapkannya.
“Seluruh sekolah ni dah tahu gelaran
‘singa betina’ tu. Nak sembunyi apa lagi! Gelaran cikgu kurang sesuai atau pun
tak padan untuk awak. Selayaknya gelaran ‘singa betina’.” Kata Haikal
membuatkan Cikgu Rubiah hilang sabar dan baling duster menuju ke arah mereka
berdua dibaling oleh Cikgu Rubiah.
Suasana seperti keadaan perang di Gaza.
Bunyi pemadam papan tulis itu agak bising apabila terkena cermin tingkap yang
berada di sebelah kiri Haikal. Haikal dapat mengelak balingan itu dengan
pantas. Kalau tidak mesti dahinya yang ditutupi rambutnya itu akan mengalirkan
titisan merah. Titisan yang bermaksud darah!
“Saya nak awak berdua keluar dari kelas
ni! Keluarrrrrr!!!” arah Cikgu Rubiah menghalau Haikal dan juga Ezan yang sudah
kelu berdebat dengan Cikgu Rubiah.
“Okey! Bye bye ‘singa betina’.”
Lambai Haikal sambil berlalu dari kelas melalui pintu belakang.
“Jahanam punya budak!” ucap Cikgu Rubiah
sakit hati.
Haikal dan Ezan memang sudah hilang dari
pandangan Cikgu Rubiah. Lima minit selepas itu, Cikgu Rubiah bergegas
meninggalkan kelas kerana tidak mampu menahan kemarahannya. Tadahan air matanya
mula pecah dan linangan air mata mengalir dipipinya. Tidak pernah dia menangis
seperti itu.
Mungkin Cikgu Rubiah akan melaporkan hal
itu kepada pengetua. Tidak juga kepada guru kaunseling sekolah. Jangan-jangan
terus kepada polis. Polis! Tak mungkin sampai ke tahap itu. Kepada siapa Cikgu
Rubiah hendak mengadu sedangkan tiada seorang guru pun yang akrab dengannya
kerana sudah masak dengan perangainya.
Haikal dan Ezan kembali semula ke kelas
setelah loceng dan berbunyi. Tidak ada seketul pun perasaan takut yang
bersarang dalam hati mereka. Apakah tindakan yang akan diambil oleh Cikgu
Rubiah?
“Wow! Kamu dua memang beranilah! Saya
ingat kamu dua berdiam saja tadi. Ezan! Kenapa kau diam saja lepas tu?” sampuk
Syafika yang turut anti dengan Cikgu Rubiah.
“Aku speechless
tadi. Tak tau nak tembak singa betina tu lagi.” Balas Ezan yang bersemangat
bercerita sambil mengumpat Cikgu Rubiah.
“Amboi! Haikal! Bukan main lagi kau ya!
Hebat sangat!” ucap Syafika yang memuji tindakan Haikal yang berdebat dengan
Cikgu Rubiah sebentar tadi.
“Sampai bila kita nak dijajah oleh
senario ini? Saya dah tak tahan lagi dengan benda ni. Kita macam dijajah oleh
perasaan Cikgu Rubiah.” Kata Haikal mengeluh.
“Aku setuju sangat Haikal!” sambung
Syafika yang tidak jenuh duduk untuk mendengar cerita daripada Haikal dan Ezan.
“Stop!!!
Tak mengutuk cikgu sendiri!” kata Ezan menamatkan ceritanya dan tidak mahu
berkata apa-apa lagi.
Haikal dihantui perasaan bersalah yang
menebal. Bayang-bayang Cikgu Rubiah mengganggu dirinya sehingga dia rasa
menyesal atas apa yang telah terjadi di antara dia, Ezan dan Cikgu Rubiah.
Tetapi Cikgu Rubiah tidak akan berubah seandainya tidak ada seorang pun yang
mencegah perangai buruknya itu.
Haikal cuba untuk melelapkan matanya.
Tetapi gagal. Dia masih disaluti perasaan beralah yang kian bernanah dihatinya.
Apakah Ezan juga mengalami hal yang serupa? Mungkin agaknya!
Pagi yang hening dipecahkan dengan suara
tawa. Suara jeritan yang menggoncang gegendang telinga. Sangat menyakitkan!
Haikal dan Ezan duduk jenuh menunggu kehadiran guru tingkatan mereka untuk
mengambil kehadiran dan kebetulan pada hari itu tidak ada waktu Bahasa Melayu.
Cikgu Rubiah datang untuk mengambil kehadiran sahaja.
“Morning
class!” ucap Cikgu Leong yang
merupakan penolong guru tingkatan kelas 4A.
Cikgu Leong merupakan guru mata pelajaran
Fizik. Beliau sangat tegas dan seorang pakar dalam memberi motivasi. Kenapa
Cikgu Leong yang mengambil kehadiran untuk hari ini? Mengapa tidak ‘singa
betina’?
“Morning
sir!” laungan ucapan selamat pagi
diberikan kepada Cikgu Leong.
Cikgu Leong tanpa memberi mukadimahnya
terus mengambil kehadiran dan tidak menerangkan kenapa beliau menggantikan
Cikgu Rubiah pada pagi itu. Cikgu Leong juga tidak ngam sangat dengan Cikgu
Rubiah kerana mereka juga selalu bertekak kecil berkaitan hal kelas 4A.
“Cikgu, mana Cikgu Rubiah?” tanya Ezan
tidak berpuas hati apabila ‘singa betina’ itu tidak muncul pada pagi itu.
“Cikgu Rubiah tidak datang hari ini. Dia
minta cuti sakit. Dia sekarang dekat hospital. Hospital!” jelas Cikgu Leong
kembali.
“Hospital!!! Apa dah jadi dengan Cikgu
Rubiah?” tiba-tiba panggilan cikgu diujarkan oleh Haikal apabila mendapati guru
kelas mereka itu sedang berada di hospital.
“Semalam Cikgu Rubiah kemalangan. Remuk
habis kereta dia. Nasib baik Tuhan masih beri dia kesempatan. Dia cedera teruk!
Dia sekarang dekat wad ICU.” Jelas Cikgu Leong menerangkan keadaan sebenar.
Semua pelajar kelas 4A tidak mampu
bersuara lagi. Semua menjadi kelu dan tidak mahu bertanya lagi tentang Cikgu
Rubiah. Haikal berasa sangat takut kerana dia bersalah terhadap Cikgu Rubiah.
“Ya Allah, apa yang aku lakukan ke atas
Cikgu Rubiah sangat berdosa. Izinkan aku berjumpa dan memohon maaf
daripadanya.” Haikal meminta petunjuk agar Cikgu Rubiah membuka pintu hatinya
untuk memaafkan Haikal.
Haikal tanpa berfikir panjang. Dia
mengajak Ezan untuk melawat Cikgu Rubiah di hospital. Ezan menurut sahaja
kerana diburu perasaan yang sama. Haikal meminta ibunya menghantar mereka
berdua ke hospital di mana Cikgu Rubiah sedang berada.
Tiba di hospital, Haikal melihat seorang
wanita yang sudah berusia menangis teresak-esak. Wanita itu mirip wajah Cikgu
Rubiah. Kenapa dia menangis? Jangan-jangan wanita itu ibu kepada Cikgu Rubiah?
Haikal, Ezan dan ibu Haikal menghampiri wanita itu untuk meminta penjelasan.
“Assalamualaikum...” ucap Haikal kepada
wanita yang disangkanya ibu kepada Cikgu Rubiahh.
“Waalaikumussalam nak. Ada apa yang boleh
mak cik bantu?” tanya wanita itu semula.
“Mak cik ni tunggu siapa? Mak cik nampak
macam sedang menangis!” kata Haikal simpati.
“Mak cik tunggu anak mak cik. Anak mak
cik kemalangan teruk semalam. Nasib masih menyebelahi dia sebab dia masih mampu
melihat dunia ciptaan Allah ini. Anak ni buat apa kemari? Nak melawat saudara
ke?” jelas wanita itu dalam nada yang memilukan.
“Anak mak cik! Cikgu Rubiah ke?” teka
Haikal lagi.
“Ya. Anak mak cik la tu. Anak ni murid
Cikgu Rubiah ke?” balas wanita itu berteka-teki dengan Haikal.
“Ya mak cik. Cikgu Rubiah tu guru kelas
saya. Saya nak jumpa dia mak cik. Boleh ke?” pinta Haikal merayu.
“Masuklah nak. Dia ada dalam bilik tu.
Bilik 301.” Tunjuk wanita itu ke arah bilik yang menempatkan Cikgu Rubiah.
Haikal berterima kasih kepada wanita yang
merupakan ibu kepada Cikgu Rubiah. Mereka bergegeas ke bilik 301 untuk berjumpa
dengan Cikgu Rubiah. Kenapa ibunya sendiri tidak mahu menemani dia di dalam
bilik? Nampak gaya Cikgu Rubiah tidak ada banyak rakan dan taulan. Tidak ada
satu orang pun yang melawatnya. Mungkin kerana perangainya menyebabkan dia
dicaci dan tidak dipedulikan. Kasihan Cikgu Rubiah.
Haikal menguak daun pintu dan sepasang
matanya melihat Cikgu Rubiah sedang terbaring menahan kesakitan. Haikal, Ezan
dan ibu Haikal menghampiri Cikgu Rubiah dengan penuh harapan Cikgu Rubiah
menerima kehadiran mereka.
“Assalamualaikum cikgu...” ucap Haikal dan
Ezan serentak.
“Waalaikumussalam. Haikal! Ezan! Apa awak
berdua buat kat sini? Cikgu dah nak mati ni pun korang masih nak jumpa cikgu.”
Kata Cikgu Rubiah sambil air mata egonya selama ini dikeluarkannya.
“Cikgu, jangan cakap macam tu. Kami
datang nak minta maaf dengan cikgu pasal hari tu. Maafkan kami cikgu!” pohon
Haikal sambil menangis melihat keadaan Cikgu Rubiah.
“Cikgu dah maafkan kalian. Bukan salah
kalian. Cikgu yang patut dipersalahkan. Cikgu sepatutnya mati dan kenapa Tuhan
tidak ambil terus nyawa cikgu yang jahat dan hina ni?” ucap Cikgu Rubiah yang
berputus asa untuk meneruskan hidupnya.
“Astaghfirullahalazimmmmm cikgu! Kenapa
cikgu cakap macam ni? Tuhan beri masa untuk cikgu memaafkan kami. Cikgu
banyakkan berdoa dan mendekatkan diri dengan Allah agar hidayah akan diberikan
kepada cikgu.” Balas Ezan yang turut menangis melihat keadaan Cikgu Rubiah.
“Haikal, Ezan, maafkan salah cikgu! Cikgu
dah buat kamu semua tak menentu. Cikgu ada masalah dalaman sebenarnya yang buat
cikgu cepat marah. Cikgu tak mampu nak senyum. Sukar cikgu nak bagi tau ni.”
Jelas Cikgu Rubiah sambil mengusap kepala Haikal tanda memohon maaf.
Haikal dan Ezan menangis tidak
henti-henti mendengar penjelasan yang diberikan oleh Cikgu Rubiah. Cikgu Rubiah
sangat berbesar hati dengan Haikal dan Ezan kerana mereka berdua sahaja warga
sekolah yang datang melawatnya di hospital. Sanak-saudara Cikgu Rubiah sendiri
tidak ada melawatnya ketika dia sedang tenat dan mengerang kesakitan itu.
Cikgu Rubiah mengalami masalah kanser
sarang anak. Pendarahan selalu berlaku pada bahagian sarang anaknya menyebabkan
dia derita menanggung kesakitan. Oleh sebab itu Cikgu Rubiah tidak mahu melamar
atau menerima lamaran dari mana-mana lelaki kerana Cikgu Rubiah tidak mahu
mengecewakan bakal suaminya itu. Tidak ada satu orang pun yang mengetahui
masalah itu kecuali doktor pakar yang merawat Cikgu Rubiah sahaja yang
mengetahui hal sebenar.
“Kenapa cikgu tak cakap dengan kita
orang?” tanya Haikal sambil mengesat air matanya yang masih mengalir laju.
“Cikgu tak sanggup nak berkongsi derita
dengan sesiapa pun. Cukuplah cikgu sendiri yang menanggung. Sampai sekarang pun
pendarahan itu belum berhenti. Sakit sangat Haikal.” Kata Cikgu Rubiah pasrah.
Haikal dan Ezan masih menatap wajah Cikgu
Rubiah yang sudah pucat dan ketulan darah masih ada di dahinya. Derita yang
ditanggung oleh Cikgu Rubiah tiada orang pun yang dapat merasa betapa sakitnya.
“Apa gelaran untuk cikgu tu? Lupa dah
cikgu.” Tanya Cikgu Rubiah berkaitan dengan panggilan yang diberikan oleh
pelajar kepada dirinya.
“’Singa betina’ cikgu!” balas Haikal dan
Ezan serentak.
Cikgu Rubiah tersenyum mendengar gelaran
yang diberikan kepadanya. Memang patut gelaran itu diberikan kepada guru-guru
yang sangat garang seperti dirinya. Singa betina!
Cikgu Rubiah cuba menarik nafasnya. Darah
semakin banyak keluar akibat pendarahan di pangkal rahimnya menyebabkan Cikgu
Rubiah tercungap-cungap bernafas. Cikgu Rubiah semakin lemah dan wanita yang
mengaku ibu kepada Cikgu Rubiah menenangkan Cikgu Rubiah dan membelai Cikgu
Rubiah seperti anak kecil.
Laungan azan berkumandang dari masjid
yang berdekatan. Solat Asar telahpun tiba dan Cikgu Rubiah menutup mata dan
menghembus nafasnya yang terakhir setelah suara azan menulusuri gegendang
telinganya. Cikgu Rubiah hanya sempat mengatakan yang dia akan pergi untuk
selama-lamanya.
Suara tangis memecahkan suasana senyap.
Jenazah Cikgu Rubiah diuruskan oleh pihak hospital dan Haikal berasa lega
kerana sudah mendapatkan kemaafan daripada Cikgu Rubiah walaupun dia kehilangan
guru yang banyak mengajarnya erti kesabaran.
Haikal, Ezan dan ibu Haikal meninggalkan
hospital sebelum waktu Maghrib tiba. Semoga roh Cikgu Rubiah ditempat dalam
kalangan orang-orang yang beriman.
No comments:
Post a Comment