Thursday, July 28, 2011

Peranan ibu bapa untuk mengatasi masalah sosial remaja.


Kecanggihan teknologi pada masa kini mencirikan kehidupan menjelang tahun 2020, namun persoalannya apakah impak yang dapat dikecapi kerana dalam masa yang sama kita dapat
menyaksikan masalah sosial dan budaya hedonistik dalam kalangan remaja semakin membimbangkan. “Pelanduk lupa akan jerat, jerat tidak lupa akan pelanduk” begitulah gambaran tentang masalah sosial dalam kalangan remaja yang semakin menjadi polemik yang tidak berkesudahan. Kemelut isu ini semakin parah, adakah membuktikan ibu bapa yang menjadi acuan kepada pewaris mereka gagal mencanai modal insan yang cemerlang justeru anak watan yang jumud dilahirkan. Senario ini hangat diperkatakan dan tidak hairanlah jika polemik isu ini menjadi “buah mulut” dari warung-warung kopi hingga ke peringkat parlimen. Usaha pasti membuahkan hasil kalau pelbagai prakarsa yang drastik dan efisien yang diambil untuk membanteras masalah yang sudah lama bersarang di negara kita. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa untuk mengatasi masalah remaja pada masa kini?
Peranan afdal ibu bapa untuk mengatasi masalah remaja ialah memberi didikan agama kepada anak-anak. Agama merupakan senjata ampuh yang mampu membantu mereka menangkis segala anasir yang bersifat negatif. Oleh hal yang demikian, ibu bapa haruslah memberikan didikan agama kepada anak-anak sejak dari kecil ibarat “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Kendatipun, ibu bapa yang memberi anak-anak dengan cahaya keimanan yang cukup akan melahirkan adiwangsa yang soleh dan solehah. Di samping itu, ada juga keluarga yang makmur dari segi ekonomi tetapi muflis nilai kerohanian. Menurut pakar motivasi, Dato’ Dr. Fadzillah Kamsah mengatakan bahawa ibu bapa haruslah mencurahkan ilmu agama kepada putera puteri mereka kerana itu merupakan benteng untuk mereka menempuh arus modenisasi kini. Tuntasnya, ibu bapa hendaklah membuka fikiran seluas padang pasir dan agar hati seputih salju bahawa agama merupakan senjata ampuh untuk mengelakkan modal insan terjerumus ke dalam kancah masalah sosial pada masa kini.
Pada pendapat saya, ibu bapa juga perlu memberikan pendidikan kepada zuriat mereka. Oleh itu, ibu bapa haruslah memberikan pendidikan kepada anak-anak sejak dari prasekolah sehingga mereka mendapat pHd di Institut Pengajian Tinggi (IPT). Anak-anak yang ada pendidikan sedar akan keburukan dan kebaikan sesuatu perkara yang mereka lakukan. Sabda Rasulullah s.a.w: “Akhlak yang buruk merosakkan amal seperti cuka merosakkan madu”. Polemik dalam kalangan remaja yang semakin membusung nanah ini semakin membimbangkan golongan ibu bapa. Anak watan janganlah membiarkan ayah mengeluarkan air mata egonya selama ini apabila melihat insan kesayangannya berada dalam kepompong dosa. “Benih yang baik kalau jatuh di tengah lauatan pasti akan menjadi pulau” begitulah gambaran tentang peranan ibu bapa kerana mereka yang mencorak anak-anak mereka sendiri. Kata orang, anak-anak ibarat sehelai kain putih yang bebas diwarnakan oleh ibu bapa. Jika diwarnakan hitam, maka hitamlah mereka dan begitu juga sebaliknya. Perkara ini disokong oleh saintis terkemuka India yang mengatakan bahawa pelajar yang cemerlang dalam semua aspek merupakan pelajar yang bebas daripada kepompong masalah sosial. Konklusinya, pendidikan merupakan mekanisme untuk melahirkan modal insan yang syumul dan makruf.
Di samping itu, peribahasa “air di tulang bumbungan ke cucur atap akhirnya” menggambarkan bahawa ibu bapa perlu menjadi “role-model” kepada anak-anak. Ibu bapa merupakan orang yang paling dekat dengan anak-anak nescaya anak-anak akan mencontohi sikap ibu bapa mereka. Begitu juga, jika ibu bapa menunjukkan contoh yang baik, maka anak-anak juga akan menurut sesuatu yang baik. Sebagai contoh, seorang bapa yang bekerja sebagai doktor tidak mungkin anaknya ingin menjadi petani nescaya anaknya juga ingin menjadi doktor yang lebih hebat daripada ayahnya. Menurut Y.B. Dato’ Seri Utama Rais Yatim mengatakan bahawa “bapak borek anak rintik” semasa berucap dalam majlis makan malam di Kuala Lumpur baru-baru ini. Tuntasnya, ibu bapa perlu menjadi suri teladan bagi anak-anak mereka agar terhasillah masyarakat madani yang kamil dan sakinah menjelang wawasan 2020.
Sementelahan itu, ibu bapa juga perlu meluangkan masa bersama dengan anak-anak. Anak-anak yang hidup tanpa kasih sayang daripada kedua-dua ibu bapa mereka ibarat rumah usang yang belah menanti retak. Menurut John davey Schwartz, apa yang ingin kita lakukan akan menjadi jika adanya seseorang yang selalu memberi dorongan kepada kita. Ibu bapa mestilah meluangkan masa dengan anak-anak di rumah agar merasa diri mereka dihargai. Oleh itu, ada segelintir ibu bapa hanyut dalam arus kekayaan kerana hanya membanting  tulang untuk mencari nafkah hidup tetapi dalam masa yang sama mereka tidak cakna dengan nasib anak-anak mereka. Bertitik tolak daripada itu, anak-anak mula tergelincir daripada landasan yang betul dan terjerumus ke alam fantasi yang menggetarkan setiap inci hati mereka. Menurut Y.B. Senator Dato’ Sri Sharizat Binti Abdul Jalil semasa ditemubual dalam rancangan “Wanita Hari Ini” di TV3 mengatakan bahawa ibu bapa perlu meluangkan masa bersama anak-anak waima sibuk dengansegala tugas yang dipikul agar anak-anak mendapat kasih sayang dan perhatian yang secukupnya. Bagi anak-anak mereka wang bukan segala-galanya dalam kehidupan. Jelaslah, ibu bapa harus meluangkan masa walaupun hanya seketika bersama anak-anak kerana dengan cara ini masalah sosial dalam kalangan remaja dapat diatasi.
Sudah terang lagi bersuluh, ibu bapa perlu mengikuti perkembangan anak-anak. Ibu bapa haruslah mengajar anak-anak merangkak sebelum mereka pandai berlari. Ibu bapa harus berhubung dengan pihak sekolah untuk mengetahui tentang pekembangan anak-anak mereka. Oleh itu, ada segelintir ibu bapa bersikap “seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing” kerana sudah hilang tanggungjawab terhadap adiwangsa dalam diri mereka. Perkara ini disokong oleh pakar motivasi terkemuka negara kita mengatakan anak-anak yang bebas dalam dunia tanpa sempadan ini akan menjahanamkan keturunan kita oleh sebab ibu bapa yang gagal membentuk modal insan yang cemerlang justeru melahirkan generasi yang diibaratkan “menconteng arang ke muka sendiri”. Konklusifnya, ibu bapa yang cakna waima sibuk dengan pekerjaan akan mengikuti perkembangan anaknya untuk melahirkan generasi yang berketerampilan.
Tuntasnya, peranan ibu bapa untuk mengatasi masalah sosial dalam kalangan remaja ialah memberi didikan agama kepada anak-anak, memberi pendidikan, menjadi “role model” kepada anak-anak, meluangkan masa bersama dengan anak-anak dan mengikuti perkembangan anak-anak. Ibu bapa hendaklah mengambil langkah yang drastik dan efisien untuk membanteras masalah dalam kalangan remaja ini sehingga ke akar umbi. Hasrat negara untuk mencapai wawasan 2020 hanya angan-angan Mat Jenin sahaja seandainya generasi yang akan datangmasih berada dalam kepompong nista. Usaha pasti membuahkan hasil dan negara pasti mencapai misi kudsi negara kerana ibu bapa berjaya melahirkan cerucuk pembangunan yang berkualiti. “Ibu Bapa Mencipta, Anak-anak Berguna” haruslah dijadikan panduan untuk menuju ke garisan Wawasan 2020. Sekian terima kasih.  

No comments:

Post a Comment