Sunday, September 11, 2011

modal insan pemacu pembangunan negara

            Sekalung terima kasih saya hulurkan kepada saudara peneraju acara. Salam seharum kasih buat Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang, Encik Mat Kamal Bin Abdul Majid. Salam penuh ikhlas kepada bakal-bakal guru selaku arkitek yang membina tulang belakang negara suatu hari nanti. Salam penuh penghargaan dan salam penuh ukhuwah buat warga dewan sekalian. Selamat pagi, salam sejahtera dan salam satu Malaysia.
            Perdana Menteri Malaysia pernah berkata, “kekuatan modal insan bermakna kekuatan tenaga kerja yang melibatkan semua lapisan dan semua sektor samada peringkat kepimpinan, pengurusan, kakitangan, dan banyak lagi. Dan cara inilah sahaja kita dapat menjadikan bangsa kita ada keupayaan dan kemampuan untuk bersaing dan sama-sama membina negara maju.” Timbalan Perdana Menteri juga menyatakan bahawa “pembentukan minda kelas pertama merupakan satu punca kekuatan yang boleh menjana kekuatan negara, pertumbuhan ekonomi, tranformasi budaya dan peningkatan tamadun negara.”

Datang hamba datang bermakna,
Berdiri hamba penuh bergaya,
Bukan untuk membuang masa,
Berkongsi ilmu itulah tujuannya.

Sebelum kata mengorak langkah,
Sebelum hujah mencorak wajah,
Bersama angin yang menderu,
Bersama nafas yang menghembus,
Bersama hujah yang kukuh,
Hayatilah.
            Sayugianya, berdirinya saya pada pagi ini untuk menyampaikan sebuah pidato yang bertajuk “ Modal Insan Pemacu Pembangunan Negara”. Di samping itu, dalam teras kedua Misi Nasional dalam Rancangan Malaysia kesembilan meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk “minda kelas pertama” dan pemupukan ini memerlukan kekuatan modal insan yang bakal menjadi pemacu negara suatu hari nanti. Namun, sebelum madah bersulam indah, sebelum fakta menyusur kata, izinkan saya mendefinisikan secara literal mahupun konseptual, agar yang kbur dijelaskan yang gelap diterangkan.
            Dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga, modal beerti wang atau harta benda yang dipergunakan sebagai pangkal atau pokok untuk berniaga. Selain itu, insan pula merujuk kepada manusia. Pemacu pula beerti perkakasan atau perisian yang menggerakkan perkakasan yang lain. Di samping itu, frasa pembangunan merujuk kepada perihal membangun, usaha atau kegiatan membangun dan perkataan negara beerti suatu masyarakat yang menduduki kawasan tertentu yang diperintah oleh sesebuah kerajaan. Sudah terang lagi bersuluh bahawa takrif secara konseptualnya adalah modal insan merupakan suatu khazanah yang dimiliki oleh manusia untuk mempertingkatkan nilai diri manakala pemacu pembangunan negara adalah alat untuk mencapai kemajuan. Jelaslah bahawa modal insan menjadi insan menjadi tulang belakang untuk mencapai pembangunan negara. RMK-9 telah meletakkan beberapa fasal yang harus direalisasikan dalam tempoh 2005-2010. Antara cabarannya ialah memperkasakan modal insan. Fasal ke-2 bab yang ke 11, menyatakan pembentukan modal insan amat perlu untuk menjamin kemajuan negara untuk mengharungi wawasan 2020. Bagaimana  untuk membentuk modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang?
            Hujah saya yang pertama ialah pembentukan keperibadian. Modal insan tidak akan menjadi kenyataan dan menjadi angan-angan Mat Jenin sahaja jika peribadi seseorang itu tidah utuh dan sentiasa bersikap jumud. Kemunculan negara industri pada tahun 2020 perlu diiringi dengan kemunculan masyarakat yang memiliki kepribadian tinggi selaras dengan keperluan negara industri iaitu memiliki keyakinan diri, mampu bersaing, dinamis dan mempunyai sifat-sifat untuk mengejar kejayaan. Cabaran wawasan 2020 yang ke-2 ialah mewujudkan masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju dengan keyakinan terhadap diri sendiri, bangga dengan apa yang dicapai serta gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, sedar semua kemampuannya, tidak mengalah kepada sesiapa. Menurut Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya, pendidikan anak-anak Islam, menyatakan berkaitan proses membentuk peribadi, ibu bapa  perlu menekankan beberapa perkara seperti pendidikan keimanan, moral, jasmani, dan nilai-nilai murni. Ciri-ciri yang diwarisi, persekitaran fizikal dan budaya merupakan antara faktor pembentukan keperibadian. Sementelahan itu, dengan berpandukan kepada modal insan, masalah gejala sosial dan keruntuhan akhlak dapat diatasi dan Malaysia akan menjadi negara maju dengan acuan sendiri. Jelaslah pembentukan keperibadian yang unggul membawa kepada pembentukan modal insan dan seterusnya memacu pembangunan negara.
            Kendatipun, hujah saya yang kedua ialah modal insan dapat dibentuk melalui ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan melahirkan manusia yang unggul dan seimbang serta harmonis dalam pelbagai aspek. Bajet 2007 memberi peruntukan besar kepada pembangunan modal insan iaitu sebanyak 21 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan. Mantan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan daripada peruntukan RM33.4 bilion RM12.9 bilion dikhususkan kementerian pelajaran manakala pengajian tinggi sebanyak RM10.4 dan selebihnya untuk program latihan. Jika ilmu pengetahuan sudah mantap sudah pasti ekonomi negara akan mampn. Antara teras RMK-9 ialah meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama. Tun Dr. Mahathir Mohammad pernah menyatakan bahawa Malaysia harus maju bukan hanya dari dimensi ekonomi malah hendaklah menjadi satu bangsa yang maju sepenuhnya dalam dimensi dalam erti keadilan sosial, kestabilan politik, sistem pemerintahan, mutu hidup, kebanggaan nasional dan keyakinan diri. Jelaslah ilmu pengetahuan dapat memantapkan ekonomi, sosial dan politik seterusnya memacu pembangunan negara selaras dengan Wawasan 2020.
            Hujah saya yang ketiga ialah pembentukan modal insan yang berkemahiran tinggi. Kemahiran amat penting dalam proses memajukan negara. Kemahiran berkomunikasi, kemahiran berfikir secara kreatif dan kreatif amat membantu memacu pembangunan negara kepada lebih efisien. Pengetahuan luas dalam pelbagai bahasa membolehkan individu mengetahui lebih banyak ilmu pengetahuan. A.S. Horby dan E.C. Parnwell dalam The progressive English Dictionary mendefinisikan bahasa ialah perkataan atau pertuturan yang diterima da difahami oleh satu bangsa atau negara. Bahasa juga berfungsi sebagai alat penyebaran dan pengabadian ilmu pengetahuan dari semasa ke semasa. Selain itu, bahasa juga adalah medium diplomasi dan perantaraan untuk manusia. Tanpa bahasa, individu tidak akan mampu berfikir secara kreatif dan kritis dan pemupukan minda kelas pertama tidak akan wujud sama sekali. Mantan Perdana Menteri pernah menyatakan bahawa kekreatifan merupakan kekuatan yang mutlak. Jika kita menggunakannya dengan baik kita akan bersedia untuk menghadapi cabaran dari dalam dan luar negara dan jika kita sentiasa sanggup memperbetulkan kesilapan kita, kelemahan dalam menuju matlamat pasti ada. Kemahiran komunikasi dan berfikir secara kreatif dan kritis dapat membina individu yang memiliki minda kelas pertama selaras dengan nilai modal insan yang mampu memacu pembangunan negara.
Hujah saya yang terakhir ialah modal insan yang memiliki akhlak yang terpuji. Jujur, amanah, bersifat kemanusiaan, bekerja sama adalah aset yang penting kepada negara. Akhlak yang unggul melahirkan individu yang progresif dan berperanan positif dalam dimensi pembangunan negara. Kemajuan negara tidak boleh dicapai andai rakyat memiliki akhlak yang buruk seperti rasuah, pecah amanah, zalim dan seerti dengannya. Keutuhan akhlak akan mewujudkan tamadun manusia yang komprehensif dan inovatif. Cabaran wawasan 2020 yang keempat ialah mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika tinggi, yang mana kukuh dalam nilai agama dan kejiwaan dan didorong oleh tahap etika paling tinggi. Isu utama Perdana Menteri ialah sifar rasuah. Beliau menyatakan bahawa rasuah adalah bakteria dlam negara. Oleh itu, ia akan menghapuskan negara secara sedikit demi sedikit. Jika tidak diubati ia akan menjadi barah dalam masyarakat. Akhlak yang unggul amat memberi kesan kepada proses pembangunan negara. Menjadi negara maju dengan acuan sendiri amat sukar andai rakyat tidak memiliki akhlak yang baik. Ternyatalah bahawa akhlak yang unggul merupakan antara cabang modal insan sebagai pemacu pembangunan negara.
Khulasahnya, dengan segala hujah yang kukuh, saya dapat merumuskan bahawa dengan berpandukan keperibadian yang unggul, maka modal insan mampu dilahirkan dan pasti wujud masyarakat yang bersedia untuk mentadbir negara. Selain itu, ilmu pengetahuan dalam bidang ekonomi, pendidikan dan segala cabangnya, pasti akan membawa Malaysia duduk sama rendah berdiri lebih tinggi dengan negara yang lain. Kemahiran berkomunikasi dan berfikir perlu dipertingkatkan supaya Malaysia akan mencapai negara maju pada tahun 2020. Seterusnya akhlak yang unggul sebagai aset kepada negara dalam pembangunan modal insan. Jelaslah bahawa modal insan amat memberi kesan yang mendalam dalam proses pembangunan negara. Sekian, terima kasih.  

No comments:

Post a Comment