Sunday, September 11, 2011

SEHIJAU KASIHMU

Sehijau Kasihmu
oleh: Abhen PPISMP BM 1 SEM 3
            Tuhan telah menciptakan pelbagai warna yang indah untuk mewarnai muka bumi ini dan kita sebagai manusia berhak untuk memilih warna yang kita suka. Sebagai umat yang menghuni muka bumi ini kita janganlah mengutuk warna yang kita tidak suka. Selain itu, kehidupan kita juga penuh dengan warna yang mewarnai hidup kita yang hanya sementara ini. Kita akan dijemput oleh-Nya apabila tiba masanya nanti. Oleh itu, hidup kita diwarnai oleh suka dan duka kerana hidup kita ibarat roda yang berputar. Kadang-kadang kita berada di atas dan ada kalanya kita akan berada di bawah. Itulah lumrah hidup manusia yang harus kita terima dengan hati yang terbuka.
            Kisah ini mengisahkan seorang remaja yang bernama Abhen. Abhen merupakan seorang pelajar yang sedang menuntut di sebuah kolej dalam bidang Katering. Abhen merupakan anak kepada seorang usahawan yang b erjaya dan dia juga merupakan satu-satunya anak lelaki dalam keluarganya. Abhen tidak memenuhi keinginan orang tuanya kerana dia telah memilih cita-citanya yang diimpikan olehnya sejak kecil lagi. Abhen merupakan seorang yang menggemari warna hijau. Baginya hijau adalah sebahagian daripada hidupnya dan dia berpandangan bahawa warna hijau juga memahami dirinya walaupun hijau itu bukan benda hidup tetapi sekadar warna sahaja. Apa yang malang dalam diri Abhen kerana majoriti rakan-rakannya tidak menyukai warna kegemarannya itu.
            Namun ada rahsia di sebalik warna hijau itu dalam hidup Abhen. Dia menganggap hijau itu damai, kasih, mesra dan simpati seperti yang terdapat dalam dirinya. Abhen sangat senang untuk bergaul dengan sesiapa yang baharu dikenalinya. Oleh itu, dengan kelebihan yang ada pada dirinya itu menyebabkan dia dikenali ramai oleh rakan sekampusnya. Dalam ramai kawan-kawannya Abhen paling rapat dengan Aidi iaitu rakan sekelasnya. Aidi juga berlatar belakangkan orang yang berada dan hidup mewah. Abhen tidak menghiraukan status Aidi kerana erti persahabatan lebih bernilai lagi baginya.  Aidi sangat memahami Abhen kerana dia  tahu bahawa Abhen  seorang yang sangat manja kerana dari kecil lagi dia dijaga seperti menatang minyak yang penuh oleh kedua-dua ibu bapanya.
            “Hai monyet! Baru sampai ke?” tegur Abhen kepada Aidi. “Eh! Kepala otak kau beruk. Baru sampaila ni.” Balas Aidi. Tanpa membuang masa mereka berdua menyusun langkah kaki menuju ke kelas untuk kuliah masa pertama. Hubungan Abhen dengan Aidi sama seperti pasangan adik-beradik walaupun tidak mempunyai pertalian darah dan usia mereka hanya berbeza setahun sahaja iaitu Aidi lebih tua setahun daripada Abhen menyebabkan Abhen mempunyai rasa hormat kepada Aidi.
            “Abhen, balik kuliah lepas ni kita pergi jalan-jalan kat mall nak ke?” pelawa Aidi. “Tak ada masalah lagipun aku free je hari ni tapi ada satu syarat.” Kata Abhen. “Apa syaratnya?” Tanya Aidi. “Kau belanja aku.” Kata Abhen dengan slumber. “Boleh, tu boleh runding nanti la.” Jawab Aidi sambil menepuk belakang Abhen. Mereka melangkah keluar dari kelas sambil menuju ke arah kafeteria untuk menikmati makan tengah hari.
            Sejak hari itu, Abhen selalu diajak oleh Aidi bermalam di rumahnya memandangkan dia merupakan anak tunggal dan dia sering dihimpit rasa bosan yang melampau dan ibu Aidi juga sangat menyukai kehadiran Abhen di rumah mewah itu. Ibu Aidi telah menganggap Abhen sebagai anaknya sendiri. Abhen baharu mengetahui bahawa Aidi merupakan anak angkat keluarga tersebut dan ibu Aidi telah menceritakan segalanya kepada Abhen. Abhen turut simpati dengan nasib yang menimpa ibu dan bapa tiri Aidi itu.
            “Mak cik, Abhen suka sangat dengan keadaan rumah mak cik ni. Dinding-dinding berwarna hijau muda yang mendamaikan. Kawasan luar rumah yang dipenuhi taman yang bewarna hijau dan inilah keadaan yang saya impikan selama ini mak cik.” Terang Abhen dengan nada yang mendayu-dayu. “Abhen, mak cik pun suka dengan warna hijau kerana mak cik dulu asalnya dari kampung dan mak cik bertemu dengan pak cik kamu tu pun semasa pak cik kamu ada buat kerja kat kampung mak cik dulu. Teringat pula mak cik dengan kisah silam mak cik.” Jawab ibu Aidi sambil menceritakan kisah lampaunya kepada Abhen. “Aidi tak suka warna hijaukan mak cik?” Tanya Abhen. “Macam mana Abhen tahu?” Tanya Ibu Aidi tanpa menjawab soalan aku. “Aidi pernah cakap kat saya mak cik. Dia tak suka saya pakai barang yang berwarna hijau.” Balasku dengan nada kecewa. “Ooo, memanglah Abhen. Aidi memang tak berkenan dengan warna hijau. Tapi Abhen jangan ambil hati bila Aidi cakap macam tu dengan Abhen.” Jawab Ibu Aidi sambil memujukku.
            Dalam menempuh arus persahabatan antara Aidi dan Abhen, mereka telah diuji dan ternyata mereka tidak mampu untuk menghadapi dugaan tersebut. Mungkin ada pihak ketiga yang membatasi persahabatan mereka sehingga hubungan mereka menjadi renggang dan hampir tidak bertegur sapa lagi dengan antara satu sama lain. Abhen tidak tahu mengapa tiba-tiba sahaja Aidi berubah dan setiap kali dia cuba menghampiri Aidi tetapi gagal kerana Aidi akan menjauhkan diri. Abhen ingin mencari kepastian tetapi dia tidak tahu caranya bagaimana.
            Jika sebelum ini, Aidi akan mengajaknya jalan-jalan setelah kuliah tamat tetapi sejak peristiwa misteri yang menyebabkan Aidi berubah sehingga balik pun Aidi tak memberitahunya.
            “Tuhan, di manakah silapku? Apakah yang telah aku lakukan sehingga menyebabkan sahabatku menjauhkan diri daripadaku?” Bisik hati kecil Abhen.
            “Ke mana aku hendak melangkahkan kaki ini Ya Tuhan? Aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan untuk mengembalikan keadaan seperti dulu.” Bisik Abhen dengan kesal.
            Abhen termenung memanjang dan pandangannya bertukar ke arah sudut dinding di dalam biliknya yang ada tergantungnya kalender menunjukkan bahawa pada hari itu merupakan hari jadi Aidi. Abhen terfikir apa yang harus dia lakukan. Abhen mencapai telefon bimbitnya yang terletak di atas meja bersebelahan dengan katilnya. Dia mendail nombor telefon Aidi dan hasilnya Aidi tidak menjawab panggilan daripadanya.
            “Aidi, apalah salah saya sehingga awak tidak sanggup lagi untuk berdepan dengan saya? Jika saya bersalah awak bagi tau apa salah saya tu.”  Desis hati kecil Abhen.
            Happy Birthday Aidi. Semoga panjang umur. Please forgive me.” Sistem mesej singkat (SMS) yang Abhen hantar kepada Aidi.
            Ternyata SMS itu tidak mendapat tindak balas daripada Aidi menyebabkan Abhen bertambah risau dan bimbang dengan apa yang sedang berlaku di antara mereka berdua.
            Keesokan paginya, Abhen turun kuliah dengan muka yang sangat menakutkan mungkin kerana terlalu sedih dan kecewa dengan sikap Aidi yang secara tiba-tiba membencinya dengan tanpa sebab yang dikenalpasti olehnya. Setelah sampai di dalam bilik kuliah Abhen menyedari bahawa Aidi belum lagi berada di dalam kelas sehingga masa kuliah tamatpun kelibat Aidi tiada kelihatan.
            “Aku mesti jumpa Aidi dan bertanya kepadanya mengapa dia berubah sejak akhir ini?” Tanya Abhen pada dirinya. Abhen meneruskan langkahnya sehingga tiba di tempat yang ditujunya.
            Sahabat terbaik adalah dia yang dapat duduk berayun-ayun di beranda bersamamu, tanpa mengucapkan sepatah katapun, dan kemudian kamu meninggalkannya dengan perasaan telah bercakap-cakap lama dengannya.” Antara kata-kata yang pernah Aidi bisikan di telingaku. Tetapi kini tiada lagi kata-kata pujangga keluar dari mulutnya sebagai santapan aku setiap hari.
            Abhen meminta ibunya untuk menghantar dia ke rumah Aidi bagi menanyakan hal sebenar mengapa Aidi berubah dan tidak seperti dahulu. Setelah sampai di hadapan rumah mewah itu, Abhen terus keluar dari perut kereta ibunya lalu menuju ke dalam rumah itu. “Mak, tunggu sekejap Abhen nak masuk kejap.” Kata Abhen kepada ibunya.
            “Hai mak cik! Aidi mana?” Tanya Abhen tanpa ada rasa sega silu. “Aidi ada hal sikit nak. Sebab tu dia tak hadir kuliah.” Jawab ibu Aidi bagaikan menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan Abhen. “Betul ke ni mak cik?” Tanya Abhen lagi. “Betul Abhen. Buat apa mak cik nak bohong dengan Abhen.” Jawab ibu Aidi membuatkan aku bertambah tertanya-tanya. Tanpa berkata apa-apa Abhen terus melangkah keluar dari perut rumah mewah itu dengan perasaan yang sangat menghampakan.
            “Tuhan, di manakah Aidi berada sekarang ini? Tunjukkanlah aku jalan untuk mencari di mana dia sekarang.” Bisik hati kecewa Abhen.           
            Persahabatan sememangnya indah bagi setiap manusia kerana sahabat yang sejati bukanlah sahabat yang selalu memuji kita tetapi yang dapat mencari kesilapan kita bagi membentuk kita agar menjadi sahabat yang lebih baik. Abhen menggariskan ayat tersebut sebagai kata-kata yang melambangkan persahabatannya dengan Aidi selama ini.
            Kringggggggg...........!!!!! Telefon rumah Abhen berdering menandakan ada orang yang sedang membuat panggilan. Abhen bergegas menuju ke arah telefon tersebut dengan pelbagai persoalan di dalam benak fikirannya.
            “Halo ! Abhen bercakap di sini.” Kata Abhen kepada orang yang membuat panggilan tersebut. “Abhen, boleh datang ke hospital sekarang ini?” Tanya orang yang membuat panggilan telefon tersebut yang tidak dapat dicam oleh Abhen suaranya.  
            Abhen terus bergegas mendapatkan bantuan ibunya untuk menghantar dia ke hospital yang berdekatan dengan rumahnya kerana dia tahu itulah satu-satunya hospital yang berada di kawasan itu. Abhen dirasuk oleh pelbagai perasaan yang berunsur negatif dan dia tahu bahawa panggilan itu berkait rapat dengan Aidi.
            Setelah sampai di hospital Abhen terus bertanya kepada salah seorang jururawat yang berada di kaunter pertanyaan di hospital itu. Abhen diburu oleh perasaan risau dan panik mengenangkan apa yang telah terjadi walaupun dia tidak tahu apa yang sebenarnya yang telah berlaku. Abhen meneruskan langkah dengan sederap untuk mengetahui apa yang sebenarnya telah terjadi.
            “Tenang Abhen!” Bisik hati kecilnya.
            Abhen cuba mencari di mana ibu Aidi kerana firasat dia mengatakan bahawa ibu Aidilah yang menelefonnya sejam yang lalu. Apabila dia menghubungi ibu Aidi menggunakan telefon bimbit tetapi tidak berjaya. Abhen terfikir ada sesuatu yang disembunyikan oleh keluarga Aidi daripada pengetahuannya.
            “Mengapa mereka perlu menyembunyikan perkara yang perlu aku tahu?” Bisik Abhen kecewa.
            “Mengapa juga aku perlu mengambil berat sangat terhadap keluarga Aidi?” Kata Abhen kepada dirinya.
            Setelah berputar dan berpusing di dalam hospital itu akhirnya Abhen berjaya bertemu dengan ibu Aidi yang kelihatan dalam keadaan yang bimbang.  Abhen terus melangkah mendapatkan ibu Aidi.
            “Mak cik, what going on?” Tanya Abhen. “Aidi, Aidi Abhen.” Jawab ibu Aidi tersedu-sedu.
            Abhen berfikir mengenangkan apa yang telah menimpa Aidi sehinggakan ibunya tidak mampu untuk bersuara. Abhen tidak tahu apa lagi yang hendak dia lakukan.
            “Kamu Abhen ke?” Sapa seorang lelaki yang sudah berusia dan   mempunyai raut wajah yang menakutkan. “Ya! Saya Abhen pak cik. Saya kawan baik Aidi. Pak cik ni ayah dia ke?” Balasku tergagap-gagap. “Ya! Saya bapa Aidi. Aidi tunggu kamu datang tu Abhen.” Kata bapa Aidi dengan nada sayu.
            Abhen terdiam sejenak mengenangkan perkara yang telah menimpa Aidi. Abhen berfikir bahawa dia tidak mahu kehilangan sahabat sejati dalam hidupnya.
            “Abhen, masuk sekejap. Aidi panggil awak.” Panggil ibu Aidi. “Betul ke ni mak cik?” balasku gembira. “Betul. Cepatlah.” Jawab ibu Aidi.
            Abhen melangkah masuk ke dalam bilik di mana Aidi sedang berada ketika itu dengan beraneka perasaan yang memburu dirinya. Abhen melihat Aidi sedang telantar di atas katil dengan keadaan yang memilukan. Abhen terus menghampiri Aidi untuk bertanyakan hal yang sebenarnya telah terjadi.
            “Aidi, kenapa awak berubah sejak akhir-akhir ini?” Tanya Abhen kepada Aidi. “Abhen, saya minta maaf dengan awak kerana saya telah membuat awak tertanya-tanya mengapa saya menjauhkan diri daripada awak. Saya tak sanggup nak berdepan dengan awak tambahan pula keadaan saya sekarang ni semakin kritikal.” Terang Aidi dengan panjang.
            Abhen melihat ke arah Aidi dengan sepenuh jiwa dan raganya. Abhen melihat banyak tompok-tompok bewarna hijau yang menjijikan melekat di kulit Aidi yang putih melepak itu.
            “Tuhan,  Apakah benda itu? Mengapa benda itu bewarna hijau dan menjijikan mata yang memandang? Kesian Aidi.” Bisik hati kecil Abhen.
            “Abhen, doktor kata aku ada menghidap sejenis penyakit yang berbahaya dan benda yang kau lihat ini adalah nanah yang menunggu masa sahaja untuk pecah dan keluar dari tubuh aku.” Terang Aidi kesedihan. “Kenapa kau tak pernah cakap dengan aku selama ini? Mengapa harus kau sembunyikan daripada aku?” Kata Abhen dengan kecewa.
            “Tuhan, jangan kau jemput Aidi terlalu awal. Dia sahabat yang terbaik aku di dunia ini. Kalau kau jemput dia, jemputlah aku sekali untuk menjaga dia nanti?” Pinta Abhen di dalam hatinya.
            “Abhen, sebelum aku menghembus nafas aku yang terakhir, aku ingin kau tahu bahawa aku memang bersyukur kerana dapat sahabat yang sangat baik seperti kau. Aku sayang kau Abhen. Hijau yang kau minat itu tidak sejijik warna penyakit aku ini. Kasihmu Abhen sehijau warna itu. Hijau merupakan tanda persahabatan kita. Abhen, jangan lupakan aku bila aku sudah tiada lagi menghuni muka bumi ini.” Kata Aidi pada Abhen. “Aidi, aku pun sayang dengan kau yang telah aku anggap macam abang kandung aku sendiri. Aidi jangan kau tinggalkan aku.” Rayu Abhen sambil air matanya mengalir ibarat manik-manik jernih jatuh ke atas lantai.
            Aidi memejamkan matanya selepas mencapai tangan kanan Abhen dan kelihatan Aidi tersenyum meninggalkan dunia yang malang ini. Abhen menangis sambil memeluk Aidi walaupun keadaan Aidi yang menjijikan itu tidak menjadi penghalang bagi dirinya.
            “Bersabar ya pak cik dan mak cik. Hidup mati di tangan Tuhan.” Kata Abhen kepada kedua-dua ibu bapa Aidi. “Ya Abhen. Kau pun anak mak cik.” Kata ibu Aidi.
            “Tuhan, mengapa kau jemput Aidi terlalu awal sedangkan aku masih mengharap teman sejati seperti dia untuk menemani aku sepanjang hidup?” Bisik Abhen dalam hatinya.
            Sesungguhnya warna juga dapat melambangkan kasih sayang antara kita dan sahabat sejati dalam hidup kita. Warna juga melambangkan ketulusan dan keikhlasan dalam menjaga hubungan persahabatan sehingga ke akhir hayat.
            “Aku sayang sahabat aku. Aidi, dialah sahabat sejati dalam hidupku. Semoga Aidi di tempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.” Bisik Abhen kesedihan.
            Abhen memulakan hidup yang baharu dan kini dia menjalani hidupnya tanpa sahabat yang memahaminya tetapi nama Aidi tetap bersemadi dalam kotak hatinya.   



No comments:

Post a Comment