Sunday, September 11, 2011

SETANGGI KASIHMU GURU

Setanggi Kasihmu Guru
Oleh:
ABHEN (PPISMP BM 1 JUN 2010)
            Tuhan telah mencipta makhluk yang pelbagai rupa untuk menghuni bumi ciptaanNya ini. Tuhan mencipta  manusia dengan pelbagai rupa dan raut wajah yang berbeza. Ada manusia yang sempurna fizikalnya dan ada juga yang kurang sempurna fizikalnya.
            Bilik darjah yang riuh itu, kini telah menjadi sunyi sepi apabila kami menyedari hentakan kasut tumit tinggi milik “singa betina” yang mengajar subjek Kimia kelas kami semakin menghampiri kelas kami. Aku tidak berani untuk menatap wajah singa itu apatah lagi bertentangan mata dengannya.
            Good morning, class!” ujar Cikgu Saida tanpa sedikitpun senyumannya disedekahkan kepada kami. Masing-masing berdiri untuk mengucapkan selamat pagi, sebelum duduk kembali. Sejurus selepas itu, Cikgu Saida meminta kami mengeluarkan buku latihan dan menunjukkan kepadanya soalan yang diberikan olehnya tempoh hari.
“Ika?” sebaik sahaja namaku diujarkan oleh “mulut longkang” itu, automatik perutku kecut! Sejujurnya aku memang takut akan cikgu yang seorang ini. Sememangnya aku menjadi sasaran dan tempatnya menempiaskan kemarahannya lebih-lebih lagi aku merupakan pelajar yang paling lemah subjek Kimia dalam kelasku.
Do you know what are you write here?” suara Cikgu Saida mula meninggi. Aku memang tidak akan memandang mukanya apatah lagi menjawab soalannya.
“Ya! Tuhanku, tolong hamba-Mu ini. Aku telah membuat apa yang setakat aku mampu. Sesungguhnya aku mengaku aku tidak tahu apa-apa tentang subjek Kimia ini.
“Oi! Awak bisukah?” Awak tidak ada lidah lagi ke nak bersuara? Saya bukan ajar orang yang bisu. Kalau awak bisu saya boleh tolong hantar awak ke sekolah orang bisu. Awak ni memang bodohlah, soalan semudah itupun awak tak erti nak jawab.” Ujar Cikgu Saida sambil memukul kepalaku dengan buku latihan aku sendiri.
Aku terdiam dan tidak terdaya untuk melawan. “Inikah sebenarnya yang dikatakan guru?” Bisik hati kecilku.
“Ika, kalau awak tak berminat dengan subjek Kimia ini lebih baik awak drop saja subjek ini. Cikgu risau awak akan menjatuhkan peratusan subjek Kimia ini nanti. Malu cikgu gara-gara kamu seorang yang gagal. Faham!” Kata Cikgu Saida dengan bongkaknya.
“Baik...cikgu...”. Hanya itu sahaja yang terdaya aku lemparkan dari mulutku. Sejurus selepas itu, Cikgu Saida menulis sesuatu di papan tulis.
Aku hanya mampu memandang sepi 30 soalan yang diberikan oleh Cikgu Saida itu. Bukan aku tak nak buat, tapi...
“Ya! Tuhanku, mengapa aku harus berhadapan dengan subjek yang menyebabkan aku dibenci oleh guruku? Mengapa permohonan aku masuk ke kelas sastera tidak disahkan dahulu? Sekiranya disahkan, tidaklah aku berdepan dengan “singa betina” yang menggetarkan setiap inci hatiku. Tapi, apakan daya nasi sudah menjadi bubur. Aku harus menghadapi subjek ini sehingga SPM.” Getus hati kecilku.
Aku berputus asa untuk menyiapkan latihan itu sehingga aku memesongkan fikiranku mengenangkan hal lain yang lebih menenangkan hatiku.
Terbayang satu persatu wajah rakan sekelasku yang memandangku penuh dengan persoalan. Ika, adakah kau sebodoh yang disangkan? Aku hanya terdiam memikirkan nasib malangku ini.
Wajah Juliana, Emma, Roslind...mereka yang sememangnya pelajar genius di kelasku. Mereka memang menjadi kegemaran Cikgu Saida.
“Ika, makan sayang!” Ujar mak sambil memeluk aku dari belakang.
“Ika...tak sihat?” Soal mak bimbang.
“Tak!”, tiba-tiba kepalaku terasa berat. Sakit sangat.
“Kenapa dengan anak mak ni? Ika bagitau mak. Ika sakit ke?” Soal mak dengan cemas.
“Ika tak apa-apa mak. Mak makanlah dulu...” kataku.
Sejak dua tiga hari ini, sakit kepalaku semakin menjadi-jadi. Aku terpaksa menahan sakit yang tidak kepalang.
Sebelum SPM menjelma, aku telahpun siapkan diri aku dengan ilmu yang penuh didada untuk menjawab soalan-soalan yang bakal diajukan nanti. Aku tidak menampakkan diri aku ada mengulangkaji pelajaran tetapi aku belajar tanpa pengetahuan orang lain. Aku mengambil 10 subjek dalam SPM ini. Aku berharap subjek Kimia tidak akan mengganggu subjek yang lain.
Kini, aku tidak perlu ke sekolah kerana cuti hujung tahun sudah menjelma. SPM pun akan melabuhkan tirainya. Disaat aku menahan kesakitan kepalaku, disaat itulah aku cuba mengingati segala yang telah aku pelajari selama ini.
Aku bertekad untuk berjaya dalam SPM ini dan aku ingin menggembirakan kedua-dua orang tuaku dan aku ingin membuka mata Cikgu Saida seluas-luasnya bahawa akupun akan mendapat keputusan yang cemerlang nanti.
Semua subjek yang aku ambil telahpun aku duduki dan dapat aku jawab dengan sebaik-baiknya termasuk subjek Kimia yang sukar bagiku atas dorongan ibu bapa, sanak saudara, guru-guru dan rakan-rakan yang menyayangi diri ini. Sekarang, aku hanya menunggu keputusan diumumkan sahaja lagi.
“Ika, lepas SPM keluar nanti Ika nak sambung study kat mana?” ujar ibu dengan nada rendah. “Ika tak tau lagi mak.” Jawabku bersahaja.
Aku mempunyai cita-cita sejak dari kecil lagi dan ibu telah menghalang aku untuk meneruskan cita-cita itu kerana ibu ingin aku menjadi seorang guru dan tidak pernah terlintas difikiranku untuk menjadi seorang guru.
Pada pagi itu, aku ke sekolah untuk mengambil keputusan SPM yang diumumkan pada pagi tersebut. Aku terkejut beruk kerana aku telah dinobatkan sebagai pelajar cemerlang SPM 2009. Aku telah mendapat 10A+ dalam semua subjek. Aku tidak dapat berkata apa-apa lagi. Aku termenung melihat ke arah keputusan dan gred subjek Kimia aku juga mendapat A+.
“Dapatlah aku pergi oversea ni.” Bisik hati kecilku gembira.
Aku bersyukur sangat-sangat kepada Tuhan kerana usahaku selama ini tidak sia-sia. Sememangnya, usaha tangga kejayaan.
“Tahniah!” Itulah ucapan yang aku dengar sepanjang aku berada di sekolah.
Aku tercari-cari Cikgu Saida tetapi gagal. Aku bertanya kepada rakan-rakan yang masih menuntut di sekolah mengatakan Cikgu Saida mengikuti program luar sekolah.
Aku terus berlalu dari situ dan pulang ke rumah dalam kadar yang segera. Aku tidak sabar untuk memberitahu ibu keputusan yang aku perolehi.
Ibu gembira tidak terhingga sehingga kelua air matanya sambil memelukku.
“Tahniah! Pintar sungguh anak mak ni.” Kata mak.
Aku pitam. Aku melihat sesuatu berputar-putar dikelopak mataku. Aku rasa kepalaku berat sangat dan aku tidak dapat berfikir lagi. Aku hanya mampu melihat ada satu cahaya turun ke arah aku dan ada tangan menjemput aku.
Disaat rakan-rakanku mendapat khidmat nasihat daripada guru-guru untuk menghadiri temu duga kerjaya tetapi aku sudah kembali ke pangkuanNya.
“Juliana, mana Ika?” Tanya Cikgu Saida.
“Cikgu, Ika sudah meninggal. Tumor kanser yang bersarang dalam kepalanya tidak dapat diubat lagi. jenazah Ika telah selamat dikebumikan awal pagi tadi.” Ujar Juliana dengan genangan air mata.
“Cikgu, arwah ada surat buat cikgu.” Kata Juliana sambil menyerahkan sekeping sampul surat kepada Cikgu Saida. Cikgu Saida menerima surat itu dengan linangan air mata yang berguguran bak manik-manik jernih atuh menimpa bumi.
“Cikgu nak keluar sekejap. Nanti kita sambung perbincangan tadi.” Ujar Cikgu Saida sambil keluar dari pejabatnya. Cikgu Saida membuka surat itu dengan pelahan-lahan dan menyelami isinya.
Kepangkuan cikgu yang aku segani,
        Salam sejahtera cikgu, disaat cikgu membaca surat ini, Ika sudah damai di alam barzakh dan pergi buat selama-lamanya. Ika mencoret warkah ini bukan untuk meminta simpati daripada cikgu atas pemergian Ika. Tuhan lebih menyayangi Ika. Cikgu, Ika mencoretkan warkah ini bukan juga untuk meminta pujian daripada cikgu kerana Ika berjaya mendapat A+ dalam subjek yang cikgu ajar. Ika tidak berniat sama sekali untuk meminta semua itu. Ika ingin memohon seribu kemaafan daripada cikgu kerana Ika telah membuat cikgu susah semasa mengajar. Sebenarnya cikgu, Ika bukan lemah subjek tersebut tetapi otak Ika terganggu oleh ketumbuhan dikepala Ika. Ika memang merahsia hal ini sehingga Ika menghembus nafas yang terakhir. Cikgu usahlah bersedih kerana Ika tak pernah menyimpan dendam terhadap cikgu. Cikgu janganlah terlalu memandang rendah terhadap kelemahan orang. Cikgu, kejayaan Ika hanya sia-sia kerana Ika tak kemana-mana. Terima kasih atas perbuatan cikgu selama ini membuatkan Ika lebih bersemangat untuk belajar. Ika doakan cikgu bahagia dan dimurahkan rezeki. Jadilah peminpin yang disukai dek kerana kehebatan ilmunya bukan kerana kebusukan hatinya. Ika sayang cikgu. Jujur Ika katakan. Perjuanganmu cikgu, ibarat setanggi kasih untuk anak muridmu ini. Selamat tinggal Cikgu Saida.
                                                                        Yang ikhlas,
                                                                                Ika
              Manik-manik jernih mengalir dari kelopak mata Cikgu Saida kerana seorang pelajar yang sentiasa dimaki-hamunnya telah pergi buat selama-lamanya. Dia berasa sangat bangga kerana seorang pelajar yang tercorot dan dianggapnya bodoh telah dinobatkan sebagai pelajar cemerlang SPM dan mendapat 10A+. Dihatinya timbul seribu penyesalan dan kesedaran yang menebal. Tetapi Ika telah meninggalkan alam ini dan kembali ke pangkuanNya.
            “Ajal dan maut di tangan Tuhan, kita sebagai manusia hanya mampu merancang tetapi Tuhan menentukan segalanya.” Getus Cikgu Saida sambil meneruskan langkahnya.
            Sesungguhnya, Tuhan itu maha mengetahui. Setanggi kasihmu guru adalah untuk setiap anak bangsa yang kau bentuk menjadi manusia yang berguna dari zaman ke zaman.

No comments:

Post a Comment