Wednesday, January 21, 2015

Cerpen - Bukan Kerana Nila Setitik

Salam sejahtera semua. Cerpen ni Abhen hasilkan pada tahun 2012 dan telah memenangi tempat kedua dalam Pertandingan Menulis Cerpen 2012 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur. Inilah pertama kali karya Abhen diangkat di peringkat kebangsaan. Terharu sangat sebab hasil karya pertama ini telah menambat hati juri.

Wajah bangunan itu sangat mengerikan dan tidak pernah tergambar dalam lakaran hidupnya. Dia mengimpikan sesuatu yang lebih indah berbanding dengan apa yang ada di depan matanya sekarang ini. Dia acap kali menangis mengenangkan cita-citanya hanya menjadi igauan sahaja dan dimamah oleh masa lalunya. Akibat tidak mahu menjadi Si Tanggang menjadikan dia anak yang menuruti segala apa yang diarahkan oleh orang tuanya. Umpama sia-sia sahaja impian dan usahanya selama ini kerana impiannya terbantut dan tidak pernah akan menjadi mengikut firasatnya setelah dia tahu dia ditempatkan di tempat itu. Mengapakah aku dihantar ke sini? Soalan itu beku dalam perjalan tafsir ingatannya. Mungkin itu menjadikan dia sebenar manusia yang diinginkan oleh ibu bapanya.
Sejak menjejak kaki di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Indera itu seribu gambaran yang telah terlukis difikirannya. Dia telah menemui wajah rakan sebiliknya, wajah rakan sekampusnya, wajah pengawal keselamatan di kampusnya, wajah pensyarah yang belum dia tahu asal usulnya, wajah pekerja yang tidak pernah dia tahu isi hatinya dan pelbagai lagi wajah yang dia akan jumpa di situ. Itulah permulaan cabaran dan dugaannya bergelar seorang guru pelatih iaitu sesuatu yang tidak pernah dia idamkan selama ini. Mampukah dia menanamkan semangat keguruan dalam benak dan kotak hatinya.
Seingatnya ketika masa lalu dia bercita-cita untuk menjadi seorang doktor yang berjaya dan menyambung pengajiannya di negara idamannya iaitu negara New Zealand yang jauh nun di sana. Tetapi, hasrat itu telah lenyap satu demi satu dari kotak fikirannya. Dulu dia bersekolah di dalam kelompok satu kaum sahaja iaitu di sekolah majoritinya orang Cina. Oleh sebab itu, dia boleh bercakap dalam bahasa Cina dengan baik. Sekarang ini dia berdiri di dalam kelompok pelbagai kaum yang ada seperti kaum Kenyah, Kelabit, Kejaman, Kayan, Bidayuh, Murut, Bugis, Kadazan, Bajau, dan banyak lagi kaum yang telah akan dia jumpa. Apa yang penting bagi dirinya ialah masuk ke kandang kambing mengembek, masuk ke kandang harimau mengaum dan masuk ke tempat orang mesti mengikut adat dan budaya orang di situ. Perpaduan kaum sangat penting untuk mengekalkan hubungan yang erat di Malaysia ini.
Yang pasti, dia memulakan hari kuliahnya dengan pelbagai perasaan yang ada. Segala yang bermula merupakan sejarah baharu dalam kamus hidupnya.
“Selamat petang, nama saya Abhen, saya Kumpulan Bahasa Melayu Satu.” Terang Abhen kepada rakan sebiliknya serba ringkas. Dia melihat wajah rakan sebiliknya itu lain semacam saja. Dia terus menjalankan misi untuk mengemas kesemua barangnya agar nampak lebih kemas lagi dan sejuk mata memandang. Dia menunggu rakannya itu membalas sesi perkenalan yang dimulakan olehnya sebentar tadi tetapi rakan sebiliknya itu seperti orang bisu sahaja.
“Bisukah rakan sebilik ku ini? Mengapa dia terpilih untuk mengikuti program ini kalau dia bisu? Mungkin dia malu untuk bertegur dengan ku.” Bisik hati kecil Abhen yang diburu persoalan mengenai rakan sebiliknya itu. Dia membuat sentuhan terakhir terhadap susunan barangannya sebelum dia turun untuk aktiviti yang seterusnya. Dia belum mengenali alam tersebut dengan lebih dekat dan dia masih berasa sedih setelah kedua-dua orang tuanya meninggalkan dia di tempat yang asing baginya itu.
“Saya pergi keluar dulu nak pergi ke kafeteria, saya nak beli air mineral, awak nak pesan apa-apa ke?” Soalnya kepada rakan sebiliknya itu sambil mencapai dompetnya yang terdampar di atas meja belajarnya. “Tidak. Terima kasih.” Jawab rakannya itu ringkas dan dia belum sempat lagi mengetahui nama rakannya itu walaupun sudah lebih beberapa jam mereka bersua muka.
Dia menyusun langkah kakinya menuju ke kafeteria dan semasa dalam perjalanan dia asyik berselisih dengan senior-senior yang belum lagi dikenalinya. Dia masih kekok untuk bertanya dengan sesiapa kerana dia merasakan dia masih baharu di tempat itu dan apakan daya dia takut dicop sombong kerana tidak mahu bertegur sapa dengan rakan-rakan senior. Dia memulakan hidupnya bergelar seorang guru pelatih dengan tenang walaupun dia belum menerima profesion tersebut dalam hatinya. Tetapi dia berjanji akan berusaha untuk mencintai profesion tersebut demi ibu dan bapanya yang tercinta.
Kehidupan sebagai seorang guru pelatih telah bermula dan dia belajar sesuatu yang lebih mendalam untuk mata pelajaran majornya. Dia baharu sedar bahawa rakan sebiliknya itu merupakan rakan sekelasnya juga. Dia mengetahui nama rakannya itu semasa sesi suai kenal ketika kuliah pertama berlangsung. “Mengapa dia bersikap sedemikian dan mengapa dia suka berdiam?” Bisik hati kecil Abhen yang masih tertanya-tanya sampai saat ini.
Selesai kuliah pada hari tersebut dia cuba untuk meluangkan masa dengan rakan sebiliknya itu dan dia cuba untuk menyelongkar masalah rakannya itu kerana dia tidak sanggup dianggap tidak wujud di depan mata rakannya itu.
“Hai Tinus, awak dah makan ke? Termenung saja awak saya tengok dari tadi. Awak ada masalah ke? Saya sudi membantu awak kalau awak ada masalah yang boleh saya bantu.” Kata Abhen sambil duduk di sebelah Tinus yang murung itu. Tinus seperti ingin membuka mulutnya untuk berbicara tetapi kelihatan berat untuknya meluahkan apa yang terpendam.
Tinus tetap dengan pendiriannya iaitu terus mendiamkan diri walaupun diajukan pelbagai soalan yang memerlukan dia memberi jawapan tetapi dia tetap seperti hari-hari sebelumnya.
“Apakah yang bermain difikiran Tinus sehingga ke hari ini dia tidak mahu menegurku? Apakah sejarah yang menyebabkan dia berlaku sedemikian? Aku hanya mampu bersabar dengan apa yang terjadi ini.” Bisik Abhen sayu di dalam hati kecilnya.
Hari demi hari berlalu usianya di kampus itu dimamah hari-hari yang memilukan hati kerana rakan sebiliknya itu belum pernah lagi cuba mengenalinya dengan lebih dekat walaupun mereka tinggal di dalam bilik yang sama sejak berbulan yang lalu. Dia acap kali menghubungi keluarganya yang jauh dari pandangan matanya menyebabkan hatinya yang keras itu menjadi lembut dan sering kali matanya mengalirkan butir-butir jernih yang menyusuri kelopak matanya itu. Dia merasa dirinya tidak wujud dalam hidup rakannya itu dan dia sering dihantui persoalan kenapa rakannya memperlakukan dirinya sedemikian rupa.
“Apakah yang Tinus renungkan itu? Apakah masalah dia sebenarnya? Aku tidak dapat menjangka apa yang sedang bermain difikirannya itu.” Bisik hati Abhen kecewa. Abhen selalu mencuba untuk mengetahui keadaan sebenar yang telah terjadi kepada Tinus sehingga dia menjadi sebegitu. Dia hanya mampu berdoa kepada Tuhan agar jawapan yang ditunggunya selama ini terjawab dalam masa yang terdekat ini.
“Tuhan, berikan aku kekuatan agar aku mampu berdepan dengan keadaan dan masalah yang menimpa aku saat ini.” Doa Abhen dengan sepenuh hatinya agar Tinus membuka hatinya untuk menceritakan masalahnya yang seperti ulat tersembunyi dalam kepompong yang menunggu masa untuk terbang menjadi rama-rama.
“Biar masa yang menentukan segala yang berlaku dan biarlah apa yang terjadi itu menjadi sempadan untuk kamu berhati-hati dalam menjalani kehidupan kamu nanti.” Pesan emaknya yang masih terngiang-ngiang dalam telinganya sehingga ke detik ini. Dia berfikir juga kadang-kadang mengapa dia ditempatkan di tempat itu dan jika dia meneruskan hasratnya dan cita-cita dulu iaitu menyambung pengajian di New Zealand maka dia tidak akan berdepan dengan situasi sedemikian.
Kehidupan sebagai seorang guru pelatih tidak semudah yang disangkakan mereka yang ada di luar sana kerana kalau kita tidak merasa maka kita tidak akan mengalami situasi yang sama dan semua orang boleh mengatakan persepsi masing-masing terhadap profesion ini. Jika ibarat benih yang ditabur kehidupannya kini boleh dikatakan sudah boleh dituai hasilnya kerana dia sudah lama bertapak di tempat itu dan sampai ke hari ini dia masih diburu igauan Tinus yang tidak berkesudahan itu.
“Emak, aku ingin pulang dan tidak mahu tinggal di sini lagi.” Ayat itu acap kali diajukannya kepada ibunya tetapi dia hanya mampu mendengar leteran ibunya yang selalu memberi dorongan dan semangat kepada dia agar bersabar menghadapi dugaan hidup di tempat itu demi bergelar seorang guru suatu hari kelak.
Dia melangkah malas menuju ke blok kelas untuk menghadiri kuliah bagi mata pelajaran yang paling tidak digemarinya iaitu Bahasa Melayu. Sejarah dia memang digeruni dalam mata pelajaran tersebut ketika di bangku sekolah menengah kerana namanya memang popular dengan mata pelajaran tersebut. Tetapi sekarang dia tidak lagi meminati mata pelajaran tersebut kerana cita-cita sebenar ingin menjadi seorang doktor yang berjaya. Cita-cita itu lenyap sekelip mata ditelan harapan dan hasrat kedua-dua orang tuanya. Dia tidak dapat menumpukan perhatian di dalam kelas kerana dia teringat akan rumah dan keluarganya sahaja.
“Kenapa kau lain macam je ni Ben? Ada apa-apa masalah ke?” Tanya Joseph kepada Abhen yang menghadapi masalah kemurungan itu. “Shi wo ma?” Balas Abhen dalam bahasa Cina. “Mengada-ngadalah awak ni Ben. Kalau saya cakap Cina nanti tak tau pula nak jawab.” Sindir Joseph dengan bangganya. Abhen terus mendiamkan diri kerana dengan kawan Cinanya yang satu itu sahajalah yang sering bersama dia dan sejak kebelakangan ini dia selalu berkunjung ke bilik Joseph berbanding menghuni biliknya sendiri. Dia tidak mahu pergi ke bilik tersebut kerana dia menganggap bilik tersebut hanya sebagai bilik persalinan sahaja.
“Abhen, wo men yi qi qu chi?” Tanya Joseph dalam bahasa Cina membuatkan Abhen rasa diperli sahaja walaupun dia dapat memahami apa yang diujarkan oleh Joseph sebentar tadi. “Jomlah pak cik.” Jawab Abhen sambil berlalu meninggalkan Joseph di belakangnya. Abhen lebih rapat  dengan Joseph berbanding dengan rakan sebiliknya yang tidak pernah cuba untuk bertegur sapa dengannya. Abhen sudah biasa berkawan dengan orang Cina kerana dahulu dia pernah bersekolah di dalam kelompok tersebut. Dia sudah mahir berkomunikasi dengan kawannya yang berbangsa Cina menyebabkan persahabatannya semakin erat dan tidak pernah dia didatangi persengketaan. Kesefahaman di antara mereka menyebabkan perpaduan dapat dicapai melalui persahabatan dan juga pendidikan.
“Awak nak order apa? Saya tolong awak order.” Tanya Joseph kepada Abhen. “I want to order fried rice and apple juice, please.” Jawab Abhen meninggi diri. “Baiklah kalau begitu, saya pergi order dulu.” Balas Joseph tanpa menghiraukan kelakuan Abhen yang seperti kena renjatan elektrik itu. Dia selalu terfikir kenapa dia tidak ditempatkan sebilik dengan Joseph kerana dia lebih selesa berkawan dengan Joseph walaupun mereka tidak sama kaum tetapi hubungan mereka bagai isi dengan kuku. Beberapa minit selepas itu, makanan yang dipesan oleh mereka berdua sudahpun siap dimasak dan semua harga makanan tersebut dibayar oleh Joseph.
“Mari kita doa dulu sebelum makan Ben.” Kata Joseph sambil berdoa dan terus menjamu selera.
Putaran hidup ibarat roda yang berputar dan tidak semestinya kita berada di atas dan adakalanya kita akan berada di bawah juga. Abhen masih dihantui bayang-bayang masalahnya dengan Tinus walaupun dia tidak tahu apa masalah yang berlaku sebenarnya diantara mereka berdua. Tinus masih membuat muka dengannya walaupun pelbagai prakarsa telah dilakukan olehnya sebelum ini. Dia selalu berdoa agar permasalahan itu berakhir dan tamat dengan baik. Dia selalu bertanya kepada rakan-rakannya yang selalu mendampingi Tinus, tetapi Tinus tidak pernah menceritakan hal tersebut kepada rakan-rakannya itu.
“Abhen, saya ada cadangan nak bincang dengan awak. Kalau awak ada masa saya nak bincang sekarang.” Tanya Joseph seperti merayu-rayu. “What that? Ada-ada saja awak ni.” Balas Abhen lesu. “Saya serius ni nak tolong awak selesaikan masalah awak dengan roomate awak. Sampai bila awak nak berdiam macam ni?” Ujar Joseph bertegas melihat sikap Abhen yang hati batu itu. “Maaflah, Joseph. Saya malas nak fikir pasal benda tu lagi. Dah bosan saya fikir langkah untuk selesaikan masalah ni.” Jawab Abhen sayu. “Saya boleh bantu awak kalau awak nak selesaikan masalah ni.” Balas Joseph berputus asa. Abhen terus mendiamkan diri dan tidak mampu berkata-kata lagi kerana dia tidak mampu lagi mengendong masalah itu sendiri.
Hari demi hari Abhen diburu rasa bersalah walaupun dia tidak tahu dia bersalah atau tidak. Mengapa Tinus memperlakukan dia sedemikian dan sampai bila lagi fenomena itu akan berakhir? Bila dia cuba untuk mendekati Tinus, Tinus terus melarikan diri walaupun kelihatan pelik tindakan yang dilakukannya itu. Joseph cuba untuk membantu Abhen tetapi apakann daya yang Joseph cuba lakukan tidak diterangkannya kepada Abhen terlebih dahulu menyebabkan Abhen rasa ragu-ragu untuk menerima bantuannya itu.
“Abhen, hari ini kau kena jumpa Tinus juga walaupun apa yang akan terjadi. I will stand behind your back. We are friend.” Kata Joseph memberi semangat kepada Abhen agar dia mahu berjumpa dan bertanya dengan Tinus apakah yang telah terjadi sebenarnya. “Baiklah Joseph. Saya akan jumpa dengan dia dan awak perlu ikut saya kerana saya bimbang apa-apa akan terjadi.” Balas Abhen resah dan bimbang apa yang akan terjadi. “Jangan bimbang. Saya sentiasa membantu kamu Ben.” Terang Joseph penuh semangat.
“Abhen, yang paling kita perlukan dalam kehidupan ialah adanya seseorang yang selalu memberi semangat untuk melaksanakan hal-hal yang dapat kita kerjakan bak kata ahli Falsafah Davey John Schwartz.” Ujar Joseph membuat Abhen mampu tersenyum lebar. Dia tidak menyangka sahabat Cinanya itu mampu menyusun kata-kata yang sangat membakar semangatnya. “Joseph, yang dikatakan kawan bukanlah orang yang sentiasa memuji-muji kamu, tetapi orang yang dapat menunjukkan kesalahan kamu.” Balas Abhen berpujangga membalas kata-kata daripada Joseph sebentar tadi.
Abhen dan Joseph melangkah kaki untuk menuju ke tempat di mana Tinus sedang berada. Abhen kelihatan takut dan gementar kerana dia bimbang dia berada di pihak yang salah. Dengan adanya Joseph di sisinya membuatkan dia rasa selamat kerana dia tidak pergi seorang diri. Abhen berharap dia mampu menghadapi apa yang akan berlaku sebentar nanti.
“Selamat petang Tinus.” Sapa Joseph dengan tenang untuk memulakan perbicaraan mereka. “Hai Tinus.” Sapa Abhen tanpa rasa segan. “Selamat petang Joe, Ben. Maaf kerana mengganggu petang kalian berdua.” Kata Tinus seolah-olah dia yang bercadang untuk membuat perbincangan tersebut. “It ok Tinus. Thank you sebab kamu sudi datang.” Jawab Joseph bersemangat. Abhen rasa tenang kerana pertama kali dia melihat Tinus tersenyum dan tarikh itu akan dijadikannya sejarah dalam hidup.
“Tinus.....” Tanya Abhen kepada Tinus tidak sempat dihabiskan tetapi Tinus sudah mencela. “Abhen, saya nak minta maaf atas segala apa yang dah saya lakukan selama ini terhadap kamu. Saya tahu kamu tidak bersalah dalam hal ini.” Terang Tinus membuatkan Abhen tenang seketika. Tinus cuba untuk menyambung kata-katanya.
“Abhen, sebenarnya saya telah kehilangan ibu dan bapa sehari sebelum saya masuk ke IPG ini. Mereka meninggal akibat kekhilafan sahabat kepada bapa saya iaitu Pak Cik Asun. Kedua-dua orang tua saya menumpang keretanya untuk balik ke kampung dan dalam perjalanan mereka telah ditimpa kemalangan yang meragut nyawa kedua-dua orang tua saya tetapi Pak Cik Asun sahaja yang hidup. Pak Cik Asun leka semasa memandu kereta menyebabkan saya kehilangan ibu dan bapa saya yang tersayang. Saya masih tak boleh terima kenyataan sampai hari ini.” Terang Tinus panjang menyebabkan Abhen bersedih.
“Tinus, awak tak boleh menyalahkan takdir. Mungkin sudah tiba ajal mereka dan mereka terpaksa pergi. Tuhan lebih menyayangi mereka. Apakah kaitan masalah ini dengan sayalah?” Terang Abhen sambil bertanya akan masalah Tinus dengannya. “Pak Cik Asun. Pak Cik Asun tu orang Iban. Abhen orang Ibankan?” Tanya Tinus geram. “Ya. Saya orang Iban dan apa kaitan dia dengan saya pula?” Jawab Abhen ingin tahu. Tinus diam seketika.
“Saya tak boleh terima orang Iban dalam hidup saya. Mereka pembunuh. Pak Cik Asun pembunuh. Dia bunuh ibu bapa saya. Saya benci dia.” Teriak Tinus sambil menangis. “Tinussssssss, kenapa cakap macam tu? Awak tak boleh salahkan pak cik tu. Awak silap sebenarnya. Awak ingat bangsa kami pembunuhlah? Awak telah melakukan silap yang besar Tinus.” Balas Abhen membela dirinya. “Tinus, awak tak boleh cakap macam tu Tinus, kita jangan membuat persepsi sendiri terhadap seseorang mengikut pengalaman yang kita pernah alami.” Balas Joseph membela sahabatnya itu.
Tinus terdiam dan tidak mampu berkata-kata lagi.
“Tinus, jangan kerana nila setitik rosak terus susu sebelanga. Bukan kerana nila setitik awak terus nak menganggap semua orang sama. Awak kena ingat kerana pulut santan binasa dan kerana mulut badan binasa.” Jelas Abhen dengan nada marah. “Abhen, maafkan saya. Saya terlalu mengikut emosi dan perasaan saya. I’m so sorry Abhen.” Pinta Tinus daripada Abhen.
Mereka berdamai dan Abhen berasa lega setelah dia dapat menyelesaikan masalah yang menghantuinya selama ini. Akhirnya mereka bertiga menjadi sahabat baik walaupun mereka tidak sama bangsa. Bagi mereka bangsa bukan jadi sempadan dalam persahabatan.
“Tinus, Joseph dan saya Abhen, bukan kerana nila setitik jangan sampai rosak susu sebelanga.” Pesan Abhen kepada rakan-rakannya.
Biar berbeza kaum asal jangan serong terhadap setiap kaum yang ada di depan mata.


No comments:

Post a Comment