Wednesday, January 21, 2015

Keselamatan Kanak-kanak di Pusat Penjagaan Kanak-kanak. Bincangkan.

Ini merupakan esei untuk Pertandingan Hari Pengguna Peringkat Kebangsaan.

Keselamatan Kanak-kanak di Pusat Penjagaan Kanak-kanak. Bincangkan.
“Guru Disiplin Pusat Penjagaan Kanak-kanak Didakwa Cabul Penghuni”, “Kanak-kanak Meninggal Dipercayai Didera di Pusat Jagaan”, “Lagi Maut di Pusat Jagaan Kanak-kanak”, begitulah antara tajuk-tajuk muka depan surat khabar tempatan yang pernah dipaparkan beberapa ketika lalu. Salah siapakah perbuatan yang terkutuk dan kejam ini? Kanak-kanak didefinisikan sebagai individu yang berumur dari tiga hingga 15 tahun. Sudah terang lagi bersuluh bahawa golongan ini adalah golongan yang sedang mengalami proses membesar untuk menjadi seorang remaja. Oleh itu, keganasan yang dilakukan terhadap kanak-kanak di pusat jagaan akan membawa natijah yang negatif malah ada yang menyumbang kepada kematian. Tidak hairanlah jika polemik isu keselamatan kanak-kanak di pusat penjagaan kanak-kanak ini hebat diperkatan dari warung-warung kopi sehingga ke peringkat parlimen kerana isu ini sering menjadi tajuk utama media massa pada masa kini. Jelaslah, sebelum hal ini menjadi barah dan menjadi seperti tanduk di kepada yang tidak dapat digelengkan, punca-puncanya haruslah dikenalpasti dan langkah-langkah yang drastik dan efisien haruslah diambil bagi mengelakkan masalah ini daripada membusung nanah.
Keselamatan kanak-kanak di pusat penjagaan kanak-kanak di negara ini semakin membimbangkan berpunca daripada kealpaan dan kecuaian ibu bapa sendiri. Ramai ibu bapa yang semakin sibuk dengan dunia mencari rezeki sehingga lupa akan tanggungjawab terhadap anak sendiri dan menyerahkan tanggungjawab menjaga anak mereka itu sepenuhnya kepada pengasuh. Oleh sebab itu, tanpa berfikir panjang mereka terus memilih sahaja pusat penjagaan yang berdekatan dengan kediaman mereka tanpa memeriksa terlebih dahulu keselamatan di pusat penjagaan tersebut. Kealpaan dan kecuaian ini akan mengakibatkan anak mereka sendiri yang menjadi mangsa kepada pengasuh di tempat penjagaan itu. Pemilihan tempat penjagaan kanak-kanak sangat penting untuk memastikan keselamatan kanak-kanak terjamin kerana pusat penjagaan mestilah mempunyai lesen yang telah disahkan oleh kementerian sebagai bukti kepercayaan yang telah diberikan kepada mereka. Jelaslah, kealpaan dan kecuaian ibu bapa dalam memilih pusat penjagaan yang betul akan memberi impak yang besar kepada kanak-kanak.
Sementelahan itu, punca yang menyebabkan keselamatan kanak-kanak di pusat penjagaan kanak-kanak tidak selamat ialah sikap pengasuh itu sendiri. Kita harus menerima lumrah kehidupan bahawa keruh di muara pasti bermula dari hulunya. Khazanah kata isu keselamatan ini membawa takrif setiap permasalahan yang berlaku pasti mempunyai punca-puncanya. Sementara itu, kita sedia maklum kebanyakan kes yang berlaku di pusat penjagaan kanak-kanak melibatkan sikap pengasuh itu sendiri. Ramai dalam kalangan pengasuh yang bersikap panas baran dan mudah melenting. Kanak-kanak merupakan insan yang mula membuka langkah untuk membesar dan mereka belajar daripada pelbagai sudut yang mereka lihat di sekeliling mereka. Selain itu, kanak-kanak juga mudah menangis dan karenah itulah yang menyebabkan kebanyakan pengasuh tidak dapat menahan kesabaran mereka. Berbalik kepada sikap mereka itulah yang menyebabkan hal-hal yang tidak diingini berlaku terhadap kanak-kanak. Kesabaran haruslah diutamakan kerana dalam Surah Yusuf:18 yang berbunyi “Maka sifat sabar itu adalah sikap yang baik, dan hanya Allah sajalah tempat meminta pertolongan”. Jelaslah, sudah terang lagi bersuluh bahawa sikap pengasuh di pusat penjagaan kanak-kanak sendiri yang menyebabkan keselamatan di pusat penjagaan tidak selamat untuk kanak-kanak.
Kendatipun, punca yang seterusnya menyebabkan keselamatan kanak-kanak di pusat penjagaan kanak-kanak tidak selamat ialah lokasi pusat penjagaan tersebut. Sesuatu yang berlaku itu pasti ada sebab musababnya kerana tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata kerana kalau tiada angin masakan pokok bergoyang. Sementara itu, lokasi pusat penjagaan yang terpencil dan jauh daripada penglihatan orang ramai akan mengundang bahaya kepada kanak-kanak yang dihantar ke situ. Bukan menuduh melulu tetapi bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi kerana banyak pengalaman yang sudah kita saksikan sebelum ini dan semua pihak haruslah membuka mata seluas padang pasir agar lebih berhati-hati dalam meniti hal seperti ini. Perkara ini lebih cenderung mengundang bahaya kepada kanak-kanak di pusat penjagaan kerana ianya sangat strategik untuk pengasuh melakukan jenayah terhadap kanak-kanak. Oleh itu, ibu bapa perlu lebih berhati-hati dalam menghadapi hal seperti ini kerana kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa mendatang kerana mencegah lebih baik daripada merawat.
Pada masa yang sama, keselamatan kanak-kanak di pusat penjagaan kanak-kanak tidak selamat turut dipengaruhi oleh media massa. Jika kita lihat pada masa kini, terutamanya di telivisyen terkemuka yang memaparkan filem-filem barat yang mengandungi adegan atau babak-babak lucah yang keterlaluan dan tidak sesuai untuk tontonan umum. Tontonan yang berulang menyebabkan penontonnya ketagih untuk terus menontonnya sehingga akhirnya mereka mempunyai keinginan untuk melakukan perkara yang sama. Tambahan pula, peranan media masssa sosial seperti internet yang kini popular dengan you tube, blogger, facebook, instagram, twitter dan banyak lagi yang mengundang barah kepada masyarakat pada hari ini jika kemudahan ini salah digunakan. Oleh itu, kanak-kanak akan menjadi mangsa jika pengasuh di tempat penjagaan kanak-kanak itu salah seorang daripada yang terpengaruh dengan media massa dan tidak hairanlah jika berlakunya jenayah terhadap kanak-kanak di pusat penjagaan kanak-kanak.
Seterusnya, kebimbangan terhadap keselamatan kanak-kanak di pusat penjagaan kanak-kanak disebabkan oleh masalah psikologi dalam kalangan pengasuh. Sebagai memperkukuh pernyataan tersebut lagi, punca-punca yang menunjangi masalah ini perlu diperincikan demi kebaikan bersama. Oleh itu, individu yang disahkan mengalami masalah psikologi ini tidak sedar akan apa yang mereka lakukan. Mereka hanya hidup dalam dunia imaginasi dan fantasi mereka sendiri seolah-olah menghidap penyakit autisme juga. Antara masalah psikologi ialah mereka yang menghidap penyakit Paedophilia (fidofilia) iaitu seseorang dewasa suka sangat kepada kanak-kanak. Akibat daripada terlalu obses terhadap kanak-kanak menyebabkan pesakit fidofilia ini bertindak di luar jangkaan sehingga sanggup menculik dan ada yang lebih dasyat lagi sanggup membunuh kanak-kanak. Hukuman tidak boleh dikenakan kepada pesakit ini kerana mereka melakukan perkara tersebut di luar kewarasan pemikiran mereka. Sementara itu, sedar atau tidak bahawa kita harus cakna dengan masalah para pengasuh di pusat penjagaan kanak-kanak agar perkara seperti ini tidak akan berlaku. Oleh sebab yang demikian, individu yang menghidap penyakit psikologi ini haruslah diberi perhatian yang khusus agar tidak membahayakan sesiapa terutamanya golongan kanak-kanak.
Sementelahan itu, usaha-usaha yang istiqamah, proaktif, pragmatik, dan jitu memerlukan obligasi dan komitmen yang tinggi daripada semua pihak dan mestilah digerakkan dari sekarang kerana perjalanan yang beribu-ribu batu mestilah dimulakan dari langkah yang pertama. Oleh itu, untuk memastikan keselamatan kanak-kanak di pusat penjagaan kanak-kanak terjamin, mekanisme seperti memberi kursus kemahiran fizikal dan mental kepada pengasuh. Pengasuh di setiap pusat penjagaan kanak-kanak haruslah mempunyai kemahiran mengendalikan setiap kanak-kanak yang dijaga dan haruslah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi setiap karenah kanak-kanak yang menjadi penghuni pusat penjagaan tersebut. Kursus yang diberikan haruslah sejajar dengan bidang penjagaan kanak-kanak bagi memastikan amanah yang diberikan oleh ibu bapa kepada pengasuh itu dapat dijalankan dengan baik dan isu seperti penderaan kanak-kanak di pusat penjagaan itu tidak menjadi perkara yang membimbangkan pelbagai pihak. Jelaslah, usaha yang efektif dapat menjamin hasil yang membanggakan maka pemberian kursus kepada setiap pengasuh merupakan mekanisme yang relevan untuk menjamin keselamatan kanak-kanak di pusat penjagaan kanak-kanak.
Seterusnya, usaha pasti akan membuahkan hasil kalau pelbagai langkah yang efektif dan drastik dilakukan segera untuk mengatasi masalah yang sudah bersarang lama di negara kita ini. Langkah afdal yang dapat menjamin keselamatan kanak-kanak di pusat penjagaan kanak-kanak ialah menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja. Oleh itu, langkah seperti ini dapat memudahkan urusan ibu bapa yang sama-sama bekerja dan sekali gus tidak menimbulkan rasa bimbang di hati kerana anak mereka juga berada di bawah bumbung yang sama. Keselamatan kanak-kanak di pusat penjagaan kanak-kanak yang berada di tempat kerja dapat memberikan ketenangan jiwa kepada ibu bapa dan juga majikan kerana pantauan terhadap anak-anak mereka juga dapat dilakukan bila-bila masa sahaja. Jelaslah, penyediaan pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja dapat memudahkan urusan pekerja supaya tidak bersusah payah mencari pusat penjagaan di tempat lain.
Tanpa menyalahkan sesiapa, kita perlu memikirkan secara mendalam untuk memberi formula terbaik bagi mengatasi masalah ini. Hal ini dinyatakan dalam bidalan yang berbunyi, buruk dibuang dengan rundingan, baik ditarik dengan muafakat. Langkah seterusnya ialah memberi didikan agama yang secukupnya. Agama merupakan senjata ampuh yang harus dibekalkan dalam diri untuk menangkis segala anasir buruk yang bakal diduga oleh setiap manusia. Didikan agama seharusnya diterapkan pada usia individu masih muda lagi dan lebih baik lagi jika diterapkan sejak zaman kanak-kanak kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, jika seseorang itu mempunyai pegangan agama maka dia tidak akan melakukan sesuatu yang melanggar suruhan agamanya. Setiap pengasuh di pusat penjagaan kanak-kanak haruslah mempunyai pegangan agama yang kukuh dan teguh agar mereka mempunyai sikap prihatin, tanggungjawab dan amanah terhadap kanak-kanak yang berada di bawah jagaan mereka dan bukanlah menjadikan kanak-kanak itu sebagai mangsa kekejaman mereka. Oleh itu, Albert Einstein pernah berkata bahawa agama tanpa ilmu adalah buta, ilmu tanpa agama adalah lumpuh.
Kendatipun, yang lebih afdal lagi adalah dengan mencari perencah yang terbaik bagi mengekang gejala ini. Langkah yang lain adalah peranan daripada pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM). Kanak-kanak merupakan permata negara yang harus dijaga agar dapat menjadi pelapis kepada pucuk pimpinan suatu masa akan datang. Seluruh buana sedia maklum bahawa kanak-kanak juga mempunyai hak mereka seperti yang tersenarai dalam kandungan SUHAKAM. Pencabulan ke atas hak asasi kanak-kanak akan membawa kesan yang negatif dan tidak dapat dirungkaikan kesan pencabulan hak asasi kanak-kanak akan memberi impak postif kerana semuanya adalah bersifat negatif. Selain itu, SUHAKAM haruslah memperjuangkan nasib kanak-kanak di pusat penjagaan kanak-kanak agar nasib mereka terbela. Oleh itu, kanak-kanak hendaklah dilindungi kerana mereka masih memerlukan pemimpin untuk memimpin mereka ke jalan yang benar agar masa depan mereka terjamin dan sempurna.
Seterusnya, konsep “Bandar Selamat” juga merupakan langkah yang sesuai untuk menjamin keselamatan kanak-kanak di pusat penjagaan kanak-kanak yang kian meruncing pada masa kini.  Konsep “Bandar Selamat” merupakan mekanisme yang dilaksanakan bagi memastikan sesebuah bandar itu bebas daripada sebarang perlakuan jenayah dan yang berkaitan dengannya. Oleh itu, konsep “Bandar Selamat” ini sangat relevan jika diaplikasikan di pusat penjagaan kanak-kanak agar keselamatan kanak-kanak di pusat penjagaan lebih terjamin. Konsep “Bandar Selamat” tidak akan mudah untuk memberi peluang kepada penjenayah melakukan kesalahan dengan adanya aspek seperti pemasangan kamera litar, cctv dan didikan kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mendedahkan diri mereka kepada bahaya perlakuan jenayah. Ciri-ciri utama konsep “Bandar Selamat” ialah pewujudan sebuah bandar yang bebas daripada semua ancaman fizikal, sosial dan mental. Persekitaran yang sentiasa dalam keadaan terpelihara, tidak menimbulkan suasana yang boleh menggalakkan kejadian mengganggu-gugat kesejahteraan setempat dan menjanjikan supaya penghuni sentiasa berada dalam keadaan yang paling selamat, sejahtera, sihat dan ceria. Oleh itu, konsep “Bandar Selamat” yang diaplikasikan di kawasan pusat penjagaan kanak-kanak dapat memastikan keselamatan kanak-kanak di pusat penjagaan tersebut dijamin sejahtera dan jauh daripada menerima ancaman yang boleh memberi tekanan kepada mereka.

Tuntasnya, keselamatan kanak-kanak di pusat penjagaan kanak-kanak semakin terancam pada hari ini. Sinergi daripada semua pihak perlu dipupuk umpama sakit sama mengaduh dan luka sama menyiuk bagi membentuk suatu anjakan paradigma yang menjamin kelangsungan hidup bermasyarakat yang bebas daripada masalah ancaman terhadap kanak-kanak di pusat penjagaan kanak-kanak. Setiap anggota masyarakat hendaklah menggembleng tenaga bagai aur dengan tebing dan janganlah sekali-kali bernafsi-nafsi bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing dalam mengatasi masalah keselamatan kanak-kanak di pusat penjagaan kanak-kanak. Oleh itu, tindakan yang tegas hendaklah diambil bagi membendung masalah ini. Kanak-kanak perlu disayangi kerana merekalah bakal pemimpin negara suatu hari nanti. Bertindaklah secara glokal dan berfikirlah secara global.

No comments:

Post a Comment