Wednesday, January 21, 2015

Memperkasakan Peranan Rukun Negara Ke Arah Membina Malaysia Yang Harmoni Dan Progresif

Salam sejahtera semua. Ini merupakan Esei Kenegaraan yang Abhen buat tahun lepas. Esei ini telah diangkat sebagai tempat ketiga membawa wang tunai RM2000. Penyampaian hadiah telah berlangsung di Imperial Hotel, Kuching pada 18 Oktober 2014.

Memperkasakan Peranan Rukun Negara Ke Arah Membina Malaysia Yang Harmoni Dan Progresif
Pendahuluan
Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita telah menyaksikan 57 tahun negara kita sudah merdeka dan merupakan salah sebuah negara sedang membangun dan yang paling pesat membangun. Kesemua usaha ini datangnya dari segenap lapisan rakyat sama ada pemimpin mahu pun rakyat jelata yang menyumbang keringat dalam usaha untuk menjadikan bumi bertuah ini sebagai sebuah negara yang disegani setelah meniti suatu tempoh penjajahan yang cukup lama iaitu selama 446 tahun. Jika ditelusuri alur-alur kemerdekaan negara kita dapat mengimbau kembali peristiwa pahit 13 Mei 1969 yang menggegarkan negara pada ketika itu.
Peristiwa 13 Mei 1969 yang merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara telah menyedarkan kita betapa pentingnya perpaduan dan keharmonian kaum dipupuk dalam kalangan rakyat Malaysia. Oleh itu, kefahaman tentang sejarah negara amat penting untuk membolehkan kita memahami keadaan masa kini bagi menyusun perancangan dimasa hadapan. Bertitik tolak daripada peristiwa itu telah menzahirkan satu ideologi kebangsaan yang dinamakan sebagai Rukun Negara. Rukun Negara diperkenalkan pada 31 Ogos 1970 dan telah digubal oleh Majlis Perundingan Negara. Oleh itu, Rukun Negara disifatkan sebagai ideologi kebangsaan yang difikirkan boleh mengeratkan perpaduan kaum memandangkan masyarakat akan mempunyai fikiran, perasaan dan nilai-nilai yang sama. Kemapanan fikiran membawa kita merungkai dan menginterpretasikan peranan Rukun Negara ke arah membina Malaysia yang harmoni dan progresif. Jelaslah, masyarakat konvensional haruslah membuat anjakan paradigma untuk memperkasakasan peranan Rukun Negara ke arah membina negara Malaysia yang harmoni dan progresif.
Wadah Perpaduan Kaum
Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan budaya. Berdasarkan Buletin Perangkaan Malaysia (terbitan Disember 2009), anggaran jumlah penduduk di Malaysia seramai 28.46 juta orang. Dalam pada itu, kepelbagaian etnik di Malaysia dapat menyaksikan peranan utama Rukun Negara iaitu menjadi wadah dalam mencapai perpaduan kaum. Dalam usaha memperkasakan peranan Rukun Negara, kesedaran untuk mewujudkan perpaduan kaum di negara berbilang kaum di Malaysia ini adalah satu tanggungjawab yang berat. Teras utama untuk mewujudkan perpaduan kaum adalah untuk menyedari bahawa manusia itu dijadikan Allah SWT berbangsa-bangsa, berkaum-kaum, bersuku-suku dan sebagainya. Prinsip Rukun Negara mengajar kita erti sebenar kehidupan agar kita saling mempelajari, saling berinteraksi dan saling bertolak ansur. Namun, manusia akan menggunakan perbezaan untuk mencetuskan konflik kerana perkara kecil diperbesar-besarkan dan dimomok-momokkan bagi menimbulkan pertelagahan. Oleh itu, Rukun Negara yang dibentuk oleh pemimpin Malaysia adalah untuk mengatasi segala perbezaan yang terdapat dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Selain itu, semua rakyat hendaklah mendukung cita-cita untuk membentuk satu bangsa dan negara di mana masyarakatnya menganggap diri mereka sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, keturunan dan kepercayaan masing-masing. Rakyat negara ini terdiri daripada pelbagai kaum, adat resam, budaya yang pelbagai, pasti wujud pandangan yang berbeza daripada segala sudut dan persoalan. Keadaan ini bertambah rumit lagi kerana wujud ketidakseimbangan ekonomi antara kaum. Walaupun wujud unsur-unsur perbezaan ini, Rukun Negara akan dapat membentuk satu bangsa yang bersatu padu di mana semua rakyat tanpa mengira kaum mempunyai semangat kesetiaan dan perasaan cinta terhadap negara. Pengalaman dan penghayatan terhadap prinsrip-prinsip Rukun Negara akan boleh membentuk semangat kecintaan dan patriotik kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama, adat resam, budaya, dan fahaman politik. Rukun Negara adalah doktrin penyatuan untuk semua rakyat Malaysia bagi membentuk sebuah Negara Bangsa yang berdaulat dan bermaruah. Jelaslah, unsur-unsur yang terkandung dalam Rukun Negara bersifat umum sekali gus berperanan mengeratkan hubungan pelbagai kaum di negara ini.
Mewujudkan Identiti Yang Sama
Sementelahan itu,  dalam usaha menggembleng tenaga memperkasakan peranan Rukun Negara ke arah membina Malaysia yang harmoni dan progresif dengan berusaha mewujudkan identiti yang sama dalam kalangan rakyat. YAB Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Abd. Razak menjelaskan bahawa rakyat pelbagai kaum dan agama di Malaysia harus berfikir melepasi sempadan kaum masing-masing dan bukan bertindak atas kepentingan sendiri. Dalam mewujudkan identiti yang sama dalam kalangan rakyat, bangsa Malaysia yang hendak dilahirkan ialah satu bangsa yang bersatu padu, mempunyai masa depan yang sama dan dikongsi bersama, sejahtera dan bersatu padu antara wilayah atau kumpulan etnik, hidup dalam keadaan harmoni dan berkongsi dengan cara yang adil. Sementara itu, untuk mewujudkan identiti yang sama dalam kalangan rakyat kita haruslah menghapuskan perasaan kedaerahan (parochialisme) dan perkauman (raisme), sebaliknya digantikan dengan semangat perpaduan. Rakyat Malaysia mempunyai unsur etniksiti yang merujuk kepada rasa kekitaan yang kuat dalam sesuatu kumpulan etnik. Selain itu, unsur etnosentrisme dan diskriminasi juga haruslah dilupuskan agar bangsa Malaysia yang diidamkan oleh pemimpin negara bukanlah angan-angan Mat Jenin semata-mata. Oleh itu, jika seluruh rakyat Malaysia menyingkirkan unsur perkauman, etniksiti, etnosentrisme dan diskriminasi yang ibarat virus HIV yang boleh mengancam nyawa itu berhabis-habisan sehingga ke akar umbi maka status bangsa Malaysia akan terlakar dalam sejarah baharu dunia. Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, insyallah perkara ini akan menjadi kenyataan dan identiti yang sama dalam kalangan rakyat dapat dicapai dengan jayanya.
Memelihara dan Mengekalkan Prinsip Demokrasi
Dalam pada itu, Rukun Negara juga berperanan untuk memelihara dan mengekalkan prinsip demokrasi dalam kalangan rakyat dan juga kerajaan iaitu rakyat dan kerajaan hendaklah menghormati prinsip demokrasi dan melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab. Sudah terang lagi bersuluh bahawa negara Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan sistem beraja juga diamalkan di setiap negeri, dan Yang di-Pertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja. Oleh itu, dalam memperkasakan peranan Rukun Negara ke arah menjadikan negara Malaysia sebagai sebuah negara yang harmoni dan progresif seantero dunia sedia maklum bahawa Seri Paduka Baginda, Raja-Raja dan Yang di-Pertua Negeri adalah lambang perpaduan rakyat. Maka setiap warganegara Malaysia hendaklah menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Kendatipun, di peringkat negeri pula rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.
            Di samping itu, prinsip demokrasi yang diamalkan di negara ini merupakan satu prakarsa yang relevan dengan kehendak zaman dan diterima oleh masyarakat konvensional pada masa kini. Dalam usaha memperkasakan peranan Rukun Negara untuk memelihara dan mengekalkan prinsip demokasi untuk mewujudkan negara Malaysia sebagai sebuah negara yang harmoni dan progresif seperti yang diimpikan oleh setiap lapisan masyarakat. Dalam konteks perhubungan rakyat dan Raja, rakyat harus mencurahkan kesetiaan kepada Raja manakala Raja atau pemerintah harus menyediakan perlindungan kepada negara dan seluruh rakyat jelata. Hubungan timbal balas ini meletakkan asas kesetiaan tidak berbelah bahagi dalam kalangan rakyat lantas membentuk semangat kebangsaan yang dapat menyatupadukan semua rakyat. Sebagai contoh, jika seseorang rakyat Malaysia yang berada di luar negara mengalami kesusahan, maka kedutaan negara kita sebagai wakil Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab untuk membantunya. Peribahasa Melayu berbunyi, “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung” seharusnya menjadi amalan rakyat Malaysia. Justeru, setiap rakyat Malaysia sewajarnya mengetahui asal usul masing-masing supaya tidak akan lupa kedudukannya di mata pihak lain. Jelaslah, sikap rendah diri dan memahami akan kepentingan orang lain dapat membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat kita.
Membentuk Masyarakat Liberal
Dalam pada itu, penggubalan Rukun Negara juga dapat membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang liberal dalam pengertian bebas mengamalkan cara hidup dan bebas menyuarakan pendapat serta membuat pilihan. Malaysia sebuah negara yang unik kerana mempunyai pelbagai kaum dan kebanyakan daripada agama utama di dunia dianuti oleh penduduknya yang berbilang kaum. Usaha memperkasakan peranan Rukun Negara dalam membentuk masyarakat liberal sangat relevan dilakukan untuk mewujudkan bangsa Malaysia yang bersifat terbuka dan sanggup menerima. Sikap liberal itu jelas dilihat daripada penerimaan masyarakat Malaysia sendiri terhadap dasar yang telah dilaksanakan di negara ini waima negara ini terdiri daripada masyarakat majmuk. Oleh itu, Malaysia telah diasaskan sebagai sebuah negara yang telah mencapai kemerdekaan dan agama Islam telah dijadikan sebagai agama rasmi negara tetapi kebebasan beragama masih wujud dan penganut agama lain dibenarkan menganut kepercayaan masing-masing. Di samping itu, ciri-ciri masyarakat yang bersifat liberal adalah seperti sanggup bertolak ansur, bebas mengamalkan adat dan kebudayaan tersendiri dan mementingkan kesetiaan kepada negara. Sebagai contoh, program ‘Citrawarna’ yang diadakan setiap tahun menonjolkan kebudayaan negeri-negeri berbeza, selain daripada meningkatkan sektor perlancongan negara. Jelaslah, masyarakat liberal yang dibentuk daripada usaha memperkasakan peranan Rukun Negara dapat melahirkan sebuah negara maju setanding dengan negara-negara maju ketika ini yang harmoni dan progresif.
Melahirkan Masyarakat Progresif
Di samping itu, peranan Rukun Negara mampu melahirkan masyarakat yang progresif dalam pengertian menggalakkan masyarakat mencari ilmu tanpa mengira sumber untuk membangunkan negara selaras dengan perkembangan sains dan teknologi. Bijak pandai pernah berkata ‘menuntut ilmu biar sampai ke negara China’. Pepatah itu sendiri menyatakan bahawa betapa pentingnya ilmu pengetahuan dalam menghadapi dunia globalisasi pada masa kini kerana ledakan maklumat yang hanya berada di hujung jari. Masyarakat yang berilmu pengetahuan yang tinggi akan menjadi kepada tunggak kejayaan sesebuah negara dalam mencipta sesuatu kejayaan yang diimpikan oleh negara dan mencapai status sifar golongan buta huruf.
            Selain itu, dalam arus perkembangan dunia yang semakin canggih, sains dan teknologi memainkan peranan yang penting dalam membawa kemajuan ekonomi dan material ke dalam sesuatu masyarakat. Oleh itu, amat jelas peranan Rukun Negara dalam melahirkan masyarakat Malaysia yang progresif dan berdaya saing. Malaysia juga dalam usaha untuk menjadi sebuah negara industri yang benar-benar maju mesti membentuk sebuah masyarakat sains yang progresif. Kecanggihan ciptaan teknologi pada masa kini haruslah diaplikasi dengan baik di negara ini agar negara Malaysia berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah bersama-sama mengorak langkah sederap dengan negara lain. Jelaslah, untuk menjadi negara industri yang benar-benar maju rakyat Malaysia tidak boleh berpuas hati apabila dapat memanfaatkan teknologi yang sedia ada sahaja, tetapi mesti terus maju satu langkah lagi sebagai penyumbang kepada pembentukan peradaban sains dan teknologi pada masa hadapan. Oleh itu, inilah wawasan mantan Perdana Menteri Malaysia yang keempat Tun Dr. Mahathir Mohamed apabila membicarakan tentang pembentukan masyarakat sains yang progresif.
Mencipta Satu Masyarakat yang Adil
Lain daripada itu, semua rakyat tanpa mengira kaum, agama, keturunan dan ideologi mempunyai peluang sama menikmati kekayaan negara. Masyarakat yang adil akan wujud di negara ini sekiranya kekayaan negara dibahagikan dengan adil dan saksama. Bagi mencapai tujuan ini pihak-pihak yang kurang berkemampuan akan dibantu supaya mereka mempunyai peluang yang sama untuk bersaing dengan lebih maju. Masyarakat adil yang dicita-citakan akan bebas daripada penindasan terhadap individu ataupun penindasan sesuatu golongan terhadap yang lain. Peluang dan kesamarataan kepada setiap rakyat Malaysia terbuka luas tanpa mengira kaum, agama dan sempadan geografi.
Dalam memperkasakan peranan Rukun Negara untuk membina negara Malaysia ke arah yang lebih harmoni dan progresif kita harus memandang kepada sudut masyarakat yang adil dan saksama. Masyarakat yang adil bukan sahaja dari bidang sosial dalam lapisan masyarakat sahaja tetapi mencakupi bidang politik, pendidikan, ekonomi dan kebudayaan. Dari aspek ekonomi pula, pertumbuhan ekonomi yang pesat tanpa pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama bukanlah ciri maysarakat dan negara yang benar-benar maju. Sesebuah negara yang telah mencapai status negara industri yang kaya tidak boleh dianggap negara maju selagi masih wujud kelompok-kelompok miskin yang hidup melarat. Oleh itu pengagihan kekayaan secara adil dan saksama dalam kalangan rakyat perlu diteruskan. Dalam membangunkan ekonomi negara jangan ada golongan masyarakat yang ditindas dan diboikot daripada mengecapi kekayaan yang semestinya perlu dikongsi bersama.
            Dalam bidang pendidikan pula ketaksamaan peluang pendidikan merupakan isu yang hangat diperbincangkan ketika ini akibat impak status ekonomi terhadap pencapaian dan ketaksamaan ras serta etnik dalam pencapaian akademik. Unsur-unsur yang menggalakakan ketaksamaan dan ketidakadilan dalam bidang pendidikan disebabkan oleh kelas sosial dalam lapisan masyarakat yang berbeza. Selain itu, faktor jantina juga merupakan faktor ketaksamaan dalam bidang pendidikan. Kumpulan minoriti dan kumpulan berkeperluan khas juga sering kali menjadi topik khas dalam membincangkan ketaksamaan dalam pendidikan yang terjadi di negara ini. Oleh itu, kerajaan janganlah memandang enteng terhadap masalah ini kerana nila setitik akan rosak susu sebelanga. Pelbagai prakarsa haruslah diambil dan usaha memperkasakan peranan Rukun Negara juga dapat membendung isu ketaksamaan dalam pelbagai bidang ini kerana masyarakat yang berpegang kepada prinsip Rukun Negara akan mempunyai sifat adil dan saksama dalam diri mereka.
Memperkukuhkan Ketahanan Nasional
Seterusnya, usaha memperkasakan peranan Rukun Negara juga menyumbang kepada memperkukuhkan ketahan nasional bagi menjaga nama baik negara daripada tercemar dek kerana isu-isu yang tidak diingini berlaku. Oleh itu, untuk memperkukuhkan ketahanan nasional dalam kalangan rakyat Malaysia, pihak kerajaan bertanggungjawab telah menubuhkan antaranya Majlis Perpaduan Negara dan juga telah memasukkan unsur-unsur Rukun Negara di dalam agensi kerajaan dan juga badan-badan pertubuhan bukan kerajaan seperti yang kita dapat lihat pada ketika ini. Di samping itu, unsur-unsur Rukun Negara ini juga telah dimasukkan di dalam kurikulum sekolah untuk mendedahkan kepada pelajar sejak dari peringkat prasekolah di negara ini.
            Dalam usaha kita memperkasakan peranan Rukun Negara ke arah membina Malaysia yang harmoni dan progresif kita harus cakna bahawa semangat yang terkandung di dalam kelima-lima prinsip Rukun Negara seolah-olah semakin dilupakan oleh generasi muda pada masa kini. Oleh itu, agak tidak keterlaluan sekiranya boleh dikatakan ramai yang tidak mengingati kesemua prinsip Rukun Negara sekiranya ditanya kepada mereka. Mereka tidak begitu menghayati roh sebenarnya kewujudan Rukun Negara ini seperti mana yang diinginkan oleh pucuk kepimpinan negara. Keadaan sebegini amat berbahaya kepada negara yang dihuni oleh penduduk pelbagai kaum. Beberapa peristiwa yang berlaku memberikan gambaran bahawa prinsip Rukun Negara seolah-olah sudah dilupakan serta tidak relevan dalam kehidupan pada hari ini. Justeru itu rakyat Malaysia haruslah menghidupkan kembali semangat yang digaris oleh prinsip Rukun Negara bagi memperkukuhkan lagi keharmonian yang terbina dalam kalangan kaum agar tidak tergelincir kerana sekiranya ikatan perpaduan tidak kukuh dan teguh kerana bila-bila masa sahaja peristiwa seperti 13 Mei 1969 berulang kembali seperti pisang yang berbuah dua kali.
Penutup
Intihanya, dalam memperkasakan peranan Rukun Negara ke arah membina Malaysia yang harmoni dan progresif kita harus membuka fikiran seluas padang pasir dan membuka hati agar seputih salju dalam menggembleng tenaga bagi mencapai misi kudsi negara itu. Kebijaksanaan kerajaan dan masyarakat memanifestasikan fikiran untuk meluaskan horizon pemikiran dalam menyusun strategi yang proaktif dalam usaha memperkasakan peranan Rukun Negara agar ia menjadi realiti dan bukanlah hanya fantasi belaka. Kemajuan negara meniti arus pemodenan yang berteraskan gagasan Satu Malaysia mutakhir ini haruslah menggabungjalinkan elemen yang akan membuahkan hasil kepada negara. Kita jangan sesekali mendabik dada atas kejayaan yang dikecapi tetapi harus membuka mata dan belajar daripada pengalaman agar Wawasan 2020 yang diimpikan dapat dicapai setiap cabarannya dan bukanlah hanya melepasi tahun 2020 itu semata-mata. Peranan Rukun Negara dalam membina negara Malaysia ke arah yang harmoni dan progresif bukanlah sesuatu yang mustahil jika seluruh masyarakat berganding bahu memperkasakan peranan Rukun Negara seperti yang telah diuar-uarkan selama ini. Oleh itu, memetik kata-kata Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, 1969 yang berbunyi ‘13 Mei merupakan satu pengalaman dan pengajaran yang tidak dapat kita semua lupakan buat selama-lamanya, kerana kejadian itu dapat menunjukkan kepada kita semua tentang bahaya-bahaya yang boleh timbul sekiranya kita terlampau lalai atau cuai.’
    (2,403 patah perkataan)




Bibligrafi
Buku:
1.    Abd Rahim Abd Rashid (2004), Patriotisme Agenda Pembinaan Bangsa. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd,
2.    Asnarulkhadi Abu Samah dan Jayum A.Jawan (1997). Kenegaraan Malaysia. Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.
3.    Hasnah Hussin dan Mardiana Nordin (2007). Pengajian Malaysia. Kuala Lumpur: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
4.    Ishak Saat (2009). Malaysia 1945-2000. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd,
5.    Koleksi Esei Pemenang Peraduan Mengarang Esei Kenegaraan 2013. Sarawak: Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia, Sarawak. 2013.
6.    Meniti Catatan Sejarah Koleksi Artikel 2002-2003. Arkib Negara Malaysia, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia 2005.
7.    Mohd. Syahrul Hanafi (2007). Menghormati Lambang Kebangsaan. Kuala Lumpur: Percetakan Tatt Sdn. Bhd.
8.    Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying, Sharifah Syed Ahmad dan Zuraidah A. Majid (2014). Budaya dan Pembelajaran. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
9.    Ruslan Zainuddin, Mohd. Mahadee Ismail dan Zaini Othman (2005). Kenegaraan Malaysia. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
10.  Tunku Abdul Rahman (2007). 13 MEI Sebelum dan Selepas. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Laman Web:
1.    Hayati Rukun Negara Mampu Elak Pertikaian. Diakses daripada www.bharian.com.my.
2.    Kepentingan Rukun Negara dan Wawasan 2020. Diakses daripada www.kemayangambai.blogspot.com
3.    Kempen Perkasakan Rukun Negara Dilancar Oktober. Diakses daripada www.utusan.com.my
4.    Memperkasa Rukun Negara. Diakses daripada www.zulzaidi.blogspot.com
5.    Perpaduan Kaum Amanat Negara Perlu Dikekal. Diakses daripada www.utusansarawakonline.com
6.    Pendapat Tokoh Yang Boleh Digunakan Untuk Mengindahkan Lagi Penulisan Karangan. Diakses daripada www.farihinzul.blogspot.com.
7.    Rukun Negara Melahirkan Bangsa Nasional. Diakses daripada www.anggunsabah.blogspot.com
8.    Rukun Negara Pemangkin Perpaduan Rakyat. Diakses daripada www.utusan.com.my
9.    Rukun Negara. Diakses daripada www.suaragamb.blogspot.com


No comments:

Post a Comment