Wednesday, January 21, 2015

Cerpen - Sir Abdul Shukor Ahmed

Cerpen ini Abhen tulis khas untuk arwah Encik Abdul Shukor Ahmed. Pensyarah Kursus EDU 3105.

Sir Abdul Shukor Ahmed
Setiap pertemuan antara manusia di dunia ini akan berakhir dengan perpisahan. Perpisahan yang paling memilukan ialah apabila insan yang kita sayang pergi meninggalkan kita. Perpisahan yang disebabkan KEMATIAN. Kita tidak dapat menghalang takdir yang telah Tuhan tentukan kerana Tuhan lebih berkuasa ke atas makhluknya. Setiap yang berlaku kita kena redha.
Kisah ini berkaitan dengan seorang pensyarah saya di Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang, Bintangor. Beliau ialah Encik Abdul Shukor Ahmed. Berasal dari Semenanjung Malaysia dan berhasrat ingin menjadi penduduk tetap di Sarawak. Beliau merupakan pensyarah bagi kursus EDU 3105 iaitu Teknologi Dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Beliau juga pernah mengajar kelas saya pada semester 3. Apa yang membezakan beliau dengan pensyarah lain ialah beliau sentiasa berganding dengan sahabat baik beliau ketika membuat interaksi semasa kuliah iaitu bersama dengan Encik Junaidi.
Subjek EDU 3105 bukanlah satu subjek yang mudah kerana ianya mencakupi semua bidang teknologi. Ia mendedahkan kepada guru pelatih tentang alat yang sesuai digunakan untuk mengajar di sekolah. Kehebatan Encik Abdul Shukor di dalam bidang ini sehingga menjadikan kami teruja untuk mengetahui setiap alat teknologi yang dipelajari. Tugasan projek bagi kursus ini juga menjadikan semua guru pelatih semester 4 bagai tidak tentu arah. Ia tidak sukar tetapi memerlukan perhatian yang rapi.
Pada ketika itu, saya menghadapi masalah untuk menggunakan aplikasi yang ada di dalam laptop saya. Memandangkan saya menggunakan laptop kecil dan ia tidak dapat menyokong beberapa perisian yang digunakan. Saya sangat tertetekan ketika itu. Saya meminta bantuan dari rakan-rakan saya seperti Dorence, Anna John dan Nursafawati. Mereka sangat mahir dalam bidang ini. Mereka membawa saya berjumpa dengan Encik Abdul Shukor untuk meminta penjelasan. Saya sangat sedih. Saya masih ingat apa yang Encik Abdul Shukor katakan kepada saya.
“Jangan risau. Saya bukan kejam sangat. Saya akan bantu kamu nanti.”
Setelah mendengar kata-kata itu menjadikan saya semakin tenang. Pada hari pembentangan itu Dorence berjaya membaiki slaid saya dan saya sangat bersyukur. Walaupun markah agak kurang tetapi saya berasa gembira kerana tugasan itu sudah selesai dan tidak membebankan saya lagi.
Seterusnya, setelah pembentangan selesai kami menjalankan kuliah seperti biasa bersama dengan Encik Abdul Shukor dan Encik Junaidi. Mereka berdua tidak boleh dipisahkan kerana sudah seperti belangkas. Encik Abdul Shukor tidak pernah meninggi suara apatah lagi memarahi kami. Beliau sangat baik dan sentiasa senyum ketika mengajar. Oleh itu, rakan-rakan saya menggelar beliau ‘pensyarah paling baik di dunia’.
Ketika beliau menerangkan berkaitan dengan kamera hanya segelintir sahaja guru pelatih yang berminat dan ada pula yang lain membuat kerja sendiri. Beliau bersungguh-sungguh untuk menerangkan setiap komponen yang ada di dalam sebuah kamera. Saya juga kurang memberi perhatian ketika itu kerana asyik bersembang dengan rakan saya iaitu Claudia Yantie. Saya selalu rasa menyesal bila mengenangkan saat itu. Apa yang saya masih ingat Encik Abdul Shukor ada berkata pada masa itu. Beliau berkata seperti berikut;
“Mungkin kita tidak akan berjumpa lagi minggu hadapan.”
Encik Abdul Shukor memberikan kami tugasan iaitu mengambil gambar mengikut jenis-jenis shot yang dikehendaki oleh beliau. Beliau berkata tugasan itu menambahkan lagi markah tugasan pertama.  Ada yang menurut ada juga yang tidak membuat langsung. Saya dan rakan-rakan saya iaitu Dorence, Anna John, Elizabeth dan Naszerene pula sibuk mengambil gambar untuk menyiapkan tugasan itu. Pelbagai jenis shot yang kami gunakan.
Pada hari Khamis, saya masih teringat ketika itu saya dan Dorence pergi ke pejabat dan berjumpa dengan Encik Abdul Shukor di tangga. Beliau mengajak kami berbual. Sangat lama kami berbual ketika itu. Apabila kami meminta kebenaran untuk kembali ke kelas tetapi beliau masih juga ingin menyambung ceritanya. Kami tidak faham apa yang berlaku sebenarnya. Pelbagai nasihat yang beliau berikan ketika itu.
Jumaat itu kelihatan Encik Abdul Shukor gembira dengan kameranya. Beliau mengambil video guru pelatih. Pada hari itu juga beliau berjumpa dengan kami dan mengangkat telunjuk jari ibu tanda bagus. Senyuman yang terpampang pada wajahnya masih lagi dalam ingatan. Semuanya menunjukkan tanda tanya kepada kami.
Pada hari Jumaat itu pula saya pulang ke kampung dan dikejutkan dengan berita ibu saya masuk hospital kerana tekanan darah tinggi. Saya bersedih dengan khabar yang diberikan. Dua hari selepas itu ibu saya beransur pulih dan boleh balik ke rumah. Semasa saya di hospital, saya mendapat panggilan dari seorang kawan saya iaiatu Elizabeth. Elizabeth menyampaikan satu berita buruk yang membuatkan saya tidak percaya apa yang telah berlaku. Saya dalam dilema. Sukar untuk saya menerima berita yang Elizabeth sampaikan itu.
Encik Abdul Shukor telah menghembuskan nafas yang terakhir. Beliau telah disengat tebuan tanah. Saya yang tidak percaya dengan berita itu akhirnya bertanya kepada sahabat saya iaitu Dorence. Dorence juga turut mengatakan hal yang sama. Akhirnya, saya bertanya terus kepada salah seorang pensyarah di IPG saya iaitu Puan Vitcsy. Saya telah mendapat penjelasan yang betul dan benar Encik Abdul Shukor telah meninggal dunia. Akhirnya air mata lelaki saya mengalir tanpa diduga - SEDIH.
Beliau menghembus nafas terakhir sebelum Hari Raya Korban. Sangat sedih bila terkenangkan peristiwa itu. Mengapa Tuhan mengambil beliau terlalu cepat. Beliau meninggalkan seorang isteri dan beberapa orang anak yang masih kecil. Beliau dikebumikan di tanah perkuburan Islam di kampung isterinya di Roban.
Selepas peristiwa itu semua orang merindukan beliau lebih-lebih lagi Encik Junaidi iaitu sahabat karibnya. Guru-guru pelatih yang rapat dengannya juga sentiasa berlinang air mata apabila terkenang akan beliau. Saya sendiri sampai sekarang masih belum menerima pemergian beliau kerana apabila saya berjalan di blok pentadbiran saya masih dapat merasa yang beliau masih hidup. Kata-kata yang beliau ungkapkan masih lagi segar dalam ingatan. Hasrat beliau untuk mengajar junior kami juga tidak kesampaian.
Interaksi untuk kursus EDU 3105 tidak dijalankan lagi. Kami hanya disuruh untuk membuat ulangkaji sendiri. Sedih rasanya apabila membelek buku apabila terkenang akan Encik Abdul Shukor. Alangkah besarnya jasa beliau kepada kami sehingga banyak perkara yang telah dikongsikan berkaitan dengan teknologi. Perkara yang rumit menjadi senang dan perkara yang senang menjadi lebih mudah.
Apabila saya membuka laman sosial facebook dan instagram saya, saya mendapati ramai rakan-rakan saya yang memuat naik gambar beliau tanda kesedihan kehilangan beliau. Seperti yang ibu saya pernah katakan ‘sebagai pendidik kita jangan berlaku kejam ke atas pelajar kita. Jadikan mereka seperti anak kita sendiri nescaya mereka akan menghormati dan menyayangi kita.’ Begitulah sikap Encik Abdul Shukor terhadap kami. Beliau sangat baik dan penyayang. Beliau juga memahami setiap masalah yang dikongsikan dan beliau sentiasa bersedia untuk membantu. Itulah guru sebenar guru yang lahir dengan falsafah pendidikan kebangsaan.
Encik Abdul Shukor sentiasa dalam ingatan. Semoga beliau ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Kredibiliti beliau akan dijadikan contoh dalam bidang pendidikan. Ingatlah, hidup itu singkat, mati itu dekat. Rest In Peace Mr. Abdul Shukor Ahmed.




No comments:

Post a Comment