Wednesday, January 21, 2015

Cerpen - Gelaran Untuk Cikgu

Cerpen "Gelaran Untuk Cikgu" mendapat Saguhati dalam Pertandingan Karya Kreatif Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak 2013.

GELARAN UNTUK CIKGU

         Wajah wanita yang sudah dimamah usia itu memang mengerikan dirinya kerana kerap kali dia dimarahi oleh wanita itu dan apa salah dirinya sebenar sehingga wanita itu muak melihat dirinya. Dia fobia untuk pergi ke sekolah kerana tidak mahu berhadapan dengan wanita yang selaku guru kelasnya juga. Tidak pernah sekali pun wanita itu berbuat baik kepada dirinya walaupun dia hanya berdiam di dalam kelas semasa wanita itu menyampaikan isi pembelajaran. Apakah salah dirinya kepada wanita itu? Sampai bila sauh kemarahan wanita itu akan bertaut dan berlabuh di pelabuhan kemaafan? Persoalan itu basi dalam kurungan hatinya.
         Sejak melangkah kaki ke tingkatan empat dia semakin malas untuk meneruskan persekolahannya walaupun dia popular dengan kebijaksanaan yang dimilikinya. Dia mempunyai keseimbangan dalam akademik dan juga kokurikulum di sekolah. Selain itu, dia juga merupakan penanda aras kepada rakan-rakannya yang lain.
         Dia termenung mengenangkan kisah lamanya semasa dia berada di tingkatan satu, dia ditempatkan di dalam kelas yang menempatkan pelajar-pelajar genius daripada pelbagai sekolah yang berdekatan dengan sekolah menengah itu. Dia mendapat keputusan yang agak cemerlang menyebabkan dia dilemparkan di dalam kelas tersebut. Dia berasa rendah diri kerana dia melihat potensi rakan-rakannya yang lain lebih baik daripada dirinya. Kadang-kadang dia rasa ingin keluar sahaja daripada kelas itu kerana dia kerap kali setiap peperiksaan berada di kedudukan kedua terakhir.
         Walau apapun yang terjadi dia tetap meneruskan persekolahannya kerana dia bakal menduduki SPM pada tahun hadapan. Dia mahu berjaya dalam hidupnya dan mampu membuat kedua-dua orang tuanya tersenyum mendengar khabar kejayaannya kelak. Buat apa dia memperdulikan wanita itu kerana bukan dia yang menentukan kejayaan dirinya nanti.
         “Peduli apa aku dengan nenek tu!” Ujaran yang selalu lobos dari  alat artikulasinya.
         “’Singa betina’ itu bukannya Tuhan. Buat apa aku nak sembah dan puja dia? Mungkin itu sebab dia selalu memarahi aku agaknya.” Ramalan hatinya yang tidak pernah diketahui kebenarannya.
          “Kenapa dengan aku sahaja singa betina tu selalu marah? Dia ingat aku ni tempat melepaskan marah ke? Dia silap sebenarnya. Sangat silap!” Keluhan dia berpanjangan.
         “Biasalah tu Haikal,” kata Ezan sambil menepuk bahu kawannya itu dengan perlahan. Ezan memang faham dengan apa yang dialami oleh Haikal selama ini kerana mereka merupakan kawan rapat sejak dari tingkatan satu lagi. Ezan tidak mampu membantu Haikal untuk menentang Cikgu Rubiah kerana singa betina itu memang terlalu garang dan panas baran orangnya. Tetapi Ezan juga kurang senang dengan sikap Cikgu Rubiah yang membabi buta itu.
         Dia benar-benar berasa pelik dan aneh. Mengapa Cikgu Rubiah sangat tidak menyukainya sehingga Cikgu Rubiah tidak pernah menganggap dirinya wujud di dalam kelasnya. Selama tiga tahun sebelum itu dia sangat bahagia diajar oleh guru-guru lain dan tidak pernah dia berjumpa dengan ‘singa betina’ seperti Cikgu Rubiah itu. Segarang-garang Cikgu Caswati juga berbatas dan tidak seperti yang ditunjukkan oleh Cikgu Rubiah yang seperti buaya kelaparan itu.
         Memang Haikal masih dalam ketakutan untuk menghadapi hari-hari mendatang untuk bersua dengan Cikgu Rubiah yang mengajar kelas mereka mata pelajaran Bahasa Melayu. Haikal bimbang Cikgu Rubiah akan mengkhianatinya semasa peperiksaan dan penilaian yang lain seperti ujian lisan. Haikal juga risau akan ujian sumatif dan ujian formatif yang bakal dia hadapi selama dua tahun akan datang itu. Haikal jemu menghadapi semua masalah yang tidak diingininya tetapi itu juga yang diberikan Tuhan kepada dirinya. Haikal akan membuktikan pada Cikgu Rubiah yang dia akan berjaya dalam SPM pada tahun hadapan.
         “Kalau latihan karangan tu dah siap nanti cikgu nak ketua kelas hantar ke meja cikgu.” Ucap Cikgu Rubiah tanpa melihat wajah anak muridnya.
         “Fahammmmmmmmmm!!!” Jerit Cikgu Rubiah apabila tiada seorang pun yang menjawab ucapannya sebentar tadi.
         “Faham cikgu!” Jawab Syafika selaku ketua kelas untuk kelas 4A.
         Haikal tidak mahu merenung wajah singa betina di hadapan kelas mereka kerana tidak mahu menerima jelingan tajam daripada Cikgu Rubiah. Gelaran ‘singa betina’ itu memang sesuai untuk Cikgu Rubiah. Cikgu Rubiah belum mengetahui gelaran itu diberikan oleh pelajar kepada dirinya.
         “Ezan! Tak ada ribut dan tak ada angin pun dia nak marah kita. Pelik sangat nenek tua ni! Sebab tu dia tak bersuami. Tak laku agaknya!” Ucap Haikal kepada Ezan yang berada di sebelahnya.
         “Yalah! Tak pernah aku jumpa wanita yang segarang cikgu ni. Dahlah cikgu garang lagitu. Tak padan langsung!” Balas Ezan yang seangkatan dengan Haikal yang tidak menyukai perangai Cikgu Rubiah.
         Haikal dan Ezan meneruskan larian pena di atas buku karangan mereka untuk menyiapkan latihan yang diberikan oleh Cikgu Rubiah. Haikal memang hebat dalam bidang penulisan dan tidak asing lagi namanya di sekolah itu. Percambahan idea dan ledakan isi karangannya memang sangat mantap dan selalu dijadikan contoh kepada rakan-rakannya tetapi dia tidak pernah dipuji oleh Cikgu Rubiah walaupun dengan satu ucapan sahaja.
         Peristiwa itu tidak pernah dialami oleh Haikal sebelum ini kerana dia memang seorang pelajar yang bebas dari kancah masalah disiplin di sekolah. Sejak masuk ke tingkatan empat menyebabkan dia mengubah fikirannya dek kerana Cikgu Rubiah yang selalu mencabar iman dan jiwanya. Cikgu Rubiah memang tidak pernah berubah walaupun pelbagai cara dan mekanisme yang dilakukan oleh Haikal dan rakan sekelasnya. Cikgu Rubiah dikatakan mempunyai hati batu. Sangat degil.
Haikal selalu menceritakan hal itu kepada ibunya tetapi ibunya hanya mengangguk dan tidak berkata apa-apa menyebabkan dia semakin bingung dan rasa ingin berpindah dari sekolah itu walaupun jiwa dan raganya sudah tertanam di sekolah itu. Haikal tidak mahu memikirkan perkara itu tetapi masalah yang dihadapinya itu ibarat tumor kanser yang sudah mereka di dalam kotak kepalanya.
Haikal pernah mengemukakan hal itu kepada guru kaunseling di sekolahnya. Luahan hatinya itu didengar baik oleh Cikgu Lucia yang sangat mengenali Cikgu Rubiah ketika itu. Cikgu Rubiah memang tidak bergaul dengan guru-guru lain kerana guru-guru lain juga tidak menyenangi sikapnya yang panas baran itu termasuk pengetua sekolah sendiri.
“Haikal, cikgu faham apa yang Haikal alami itu kerana ada juga pelajar lain yang melaporkan hal yang sama kepada cikgu sebelum ni.” Terang Cikgu Lucia kepada Haikal yang tertunggu-tunggu jawapan daripada Cikgu Lucia yang merupakan Pakar Kaunseling Pelajar yang bermasalah.
“Habis tu? Buat macam tu je ke cikgu? Saya hilang fokus belajar gara-gara dia cikgu.” Getus Haikal sambil mencemikkan bibirnya tanda kecewa.
“Tak apa. Haikal balik kelas dulu. Nanti cikgu pandai-pandailah runding dengan Cikgu Rubiah. Cikgu janji tak akan dedahkan nama Haikal.” Jawab Cikgu Lucia membuatkan Haikal rasa lega walaupun masalah itu belum berakhir lagi.
“Terima kasih cikgu!” Ucap Haikal sambil meninggalkan Cikgu Lucia di bilik kaunseling.
“Sama-sama.” Balas Cikgu Lucia selepas itu.
Haikal tetap berusaha untuk mencari punca Cikgu Rubiah yang berkelakuan sedemikian terhadap dirinya. Sukar untuk diramal punca sebenar Cikgu Rubiah berkelakuan sebegitu.
Cikgu Rubiah masih sebegitu. Semakin menjadi-jadi dan gila-gila. Manusia yang tidak ada perasaan.
Tidak ada guru yang mampu berkawan dengan Cikgu Rubiah di sekolah itu kerana guru-guru lain juga tidak mampu berdepan dengannya. Tidak pernah Cikgu Rubiah makan di kantin sekolah bersama dengan guru-guru lain. Kebiasaannya Cikgu Rubiah makan seorang diri sambil ditemani wajahnya yang masam dan garang itu. Sepanjang di sekolah itu tidak pernah Cikgu Rubiah melemparkan senyumannya kepada sesiapa walau sesama rakan sejawatnya.
Mungkin Cikgu Rubiah dilahirkan untuk berkelakuan sedemikian. Mengapa dia memilih profesion perguruan dengan sikap yang tidak elok dimilikinya itu. Cikgu Rubiah seorang yang tidak murah senyuman.
Spekulasi yang ditujukan kepada Cikgu Rubiah tidak sepatutnya dilemparkan begitu sahaja kerana semua orang tidak tahu tentang latar belakang guru yang diberi ‘gelaran singa’ betina itu. Cikgu Rubiah memang sukar untuk didekati apatah lagi untuk diajak berbual bersama.
Haikal merenung jauh. Suasana di luar tingkap kelas mereka agak hening. Dia hanya mampu bersabar dan bertawakal sebelum ‘singa betina’ masuk ke kelas mereka untuk mengambil jumlah kehadiran pelajar kelas 4A pagi itu. Ezan asyik membelek-belek buku rujukan Kimia dan cuba untuk menghafal formula-formula penting. Haikal juga turut membelek-belek buku rujukan yang sama dan melakukan aktiviti yang sama seperti yang dilakukan oleh Ezan sahabat baiknya itu.
Good morning class!” Ujar Cikgu Rubiah berbahasa Inggeris walaupun dia seorang guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu.
“Good morning miss.” Jawab semua pelajar kelas 4A.
Keadaan kelas automatik menjadi senyap selepas itu kerana tiada seorang pun yang berani untuk bersuara kerana tidak mahu mencari masalah dengan Cikgu Rubiah.
“Nak kita panggil dia miss nenek tua ni. Tak sedar diri betul. Dah tua pun masih pangkat miss lagi.” Bisik Ezan ke telinga Haikal yang sedang menyimpan buku-bukunya yang berada di atas meja.
“Kau ni Ezan, tak habis-habislah. Dah namanya belum ada laki. Jadi kita panggil miss sajalah.” Balas Haikal perlahan.
“Lelaki mana yang nakkan ‘singa betina’ ni? Orang gila pun fikir dua tiga kali nak terima lamaran dia.” Kata Ezan memperli Cikgu Rubiah.
“Dah tu. Cukup-cukup. Nanti dia dengar habis kita dua dimakannya.” Balas Haikal yang tidak mahu Ezan berterusan mengutuk Cikgu Rubiah yang sangat dibenci oleh mereka.
Haikal tidak mahu lagi melayan perasaan bencinya terhadap Cikgu Rubiah kerana itu akan menjahanamkan dirinya sendiri. Lebih baik lagi perasaan itu dikebumikan di dalam perkuburan hatinya yang masih kosong itu. Cikgu Rubiah hanya menambahkan dosa-dosanya sahaja. Membenci sesama umat-Nya adalah dilarang keras oleh agama.
“Astaghfirullalazimmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmmm!” istighfar Haikal memanjang.
Cikgu Rubiah menyampaikan isi pelajarannya seolah-olah tidak ada masalah yang terjadi di antara dirinya dengan pelajar kelas tersebut. Cikgu Rubiah seorang yang sangat profesional dalam menyembunyikan masalahnya dan dia juga sangat pandai bermuka-muka dengan pelajar apabila ada penyeliaan terhadap pengajarannya pengetua ataupun nazir dari luar.
Tangan Haikal menggigil apabila Cikgu Rubiah menghampiri meja di mana dia sedang berada ketika itu. Hatinya kecut apabila melihat wajah suram gurunya itu. Tiada satu bunyi pun yang dihasilkan ketika ‘singa betina’ itu bertapa di dalam kelas mereka berbanding guru-guru mata pelajaran yang lain.
 “Menyampah betul aku tengok muka ‘singa betina’ tu. Buat apa dia ronda-ronda sampai belakang sini. Nak jual muka masam dia tu?” rungut Ezan tak sudah-sudah.
Emotional betul kau sejak kebelakangan ni Ezan. Boleh naik gila kita dibuatnya.” Jawab Haikal menyokong pendapat Ezan.
“Mana tidak! Tengok kita pun muka macam sampah. Rasa berdosa je aku bila dia masuk kelas. At least senyumlah sikit untuk menceriakan keadaan. Ini tidak! Monyok memanjang dari dulu lagi. Buat aku penat, semakin kepak dengan benda ni.” Keluhan Ezan mengenangkan nasib mereka apabila dianugerahkan guru seperti Cikgu Rubiah itu.
“Yalah Zan! Aku pun malas nak fikir lagi. Kepak dah ni. Berserah kepada Allah biar Allah dengar doa kita.” Balas Haikal pasrah.
Loceng berbunyi menandakan masa mata pelajaran yang diajar oleh Cikgu Rubiah sudah berakhir pada hari tersebut. Cikgu Rubiah tidak mengharapkan ucapan terima kasih daripada anak muridnya kerana dia terus berlalu meninggalkan kelas tanpa sepatah kata pun. Sudah menjadi perangainya sejak menjadi guru kelas 4A.
Haikal termenung di ruang tamu rumahnya. Dia teringat akan perangai Cikgu Rubiah yang tidak pernah terhakis dari laman ingatannya. Cikgu Rubiah memang mencabar kesabaran dan keimanannya sejak dari dulu lagi.
“Mengapa Allah menghadirkan Cikgu Rubiah kepada kami sekelas?” Soalan itu berlegar di ruang tempurung kepala Haikal.
Bayang-bayang Cikgu Rubiah memang menghantui Haikal sejak beberapa bulan lalu. Kemana sahaja dia memang selalu ada bebayang itu mengekorinya sehingga dia mengistiharkan dirinya diganggu masalah stress yang melampau. Mungkinkah Cikgu Rubiah putus cinta? Mungkin juga Cikgu Rubiah dipaksa oleh keluarganya untuk menjadi seorang guru? Mungkin juga cintanya ditolak oleh teruna idaman Malaya? Atau Cikgu Rubiah mengalami gangguan bakteria-bakteria yang mencederakan sistem kognitifnya? Tidak mungkin Cikgu Rubiah ada masalah otak. Kalau tidak, mesti dia tidak diterima bekerja dengan kerajaan. Tapi tidak ada yang mustahil kerana tidak ada siapa yang tahu apa yang sedang dialami oleh Cikgu Rubiah sekarang ini. Haikal akan berusaha untuk merungkai masalah Cikgu Rubiah itu ibarat menyiasat mayat yang telah berulat dan sukar dicam tuan empunya badan. Haikal tidak putus asa.
Macam mana nak merungkai semua itu andai tuan empunya badan sendiri sukar untuk didekati dan payah untuk diajak berbual. Macam mana kalau bertanya sendiri dengan ibu dan bapanya. Di mana rumahnya? Sampai bila tanggapan itu akan bersarang di dalam fikiran manusia yang belum dapat mentafsir siapa diri Cikgu Rubiah sebenarnya.
Kalaulah Cikgu Rubiah tidak dipindahkan ke sekolah itu pada awal tahun dulu. Mungkin masalah itu tidak akan timbul. Mengapa Cikgu Rubiah dipindahkan kesini? Mungkin dia bermasalah di sekolah lamanya? Kalau Cikgu Rubiah tidak muncul mungkin keadaan lebih bagus lagi. Jangankan pelajar, guru-guru juga hairan dengan keunikan perangai yang dimiliki oleh Cikgu Rubiah. Pengetua sendiri sudah face to face dengan Cikgu Rubiah tetapi hanya mencurah air ke daun keladi kerana Cikgu Rubiah menganggap pengetua tidak wujud ketika itu.
Mungkin Cikgu Rubiah seorang guru yang kurang siuman tetapi Cikgu Rubiah masih lagi waras dan dapat menyebut nahu Bahasa Melayu! Setandan pukulan perasaan mencederakan emosi Haikal menerjah ganas dihatinya. Haikal cuba melawan perasaan bencinya itu terhadap Cikgu Rubiah. Haikal bergegas ke bilik mandi untuk menyejukan badannya. Dia berendam dalam tub berisi air sabun.
“Sampai bila Cikgu Rubiah bersikap macam tu?” Jerit Haikal dalam hatinya yang kian remuk mengenangkan sikap Cikgu Rubiah terhadapnya.
Haikal mengajak Ezan mengelilingi kawasan sekolah sebelum kelas tambahan yang diberikan oleh guru Matematik Tambahan kelas mereka pada petang itu. Haikal dapat meneka soalan yang akan diaju oleh Ezan kepada dirinya sebentar nanti kerana dia sudah masak dengan perangai kawan baiknya itu.
“Haikal, cuba kau tengok miss world kat depan tu. Cantikkan!” Jelas Ezan sampai menunjukkan jari-jemarinya ke arah Cikgu Rubiah yang baharu sahaja keluar dari pejabat guru.
“Balik kerja pun muka monyok! Entah ikhlas ke tidak dia mengajar kitakan? Harap-harap PK 1 tukar guru Bahasa Melayu kita masa kita form 5 nanti. Risau aku!” Keluhan Haikal.
“Tu la! Kalau tidak kita minta pengetua tukarkan dengan Cikgu Latifah yang mengajar kelas 4B tu. Cikgu Latifahkan mesra pelajar berbanding nenek kau Cikgu Rubiah tu.” Terang Ezan memberi cadangan kepada Haikal.
“Aku setuju! Kalau tidak pun Cikgu Salmi. Cikgu Salmikan pernah ajar kita dulu masa form 3. Cikgu Salmi pun boleh ajar menengah atas.” Balas Haikal turut memberi cadangan.
“Aku betul-betul tak faham dengan Cikgu Rubiah ni. Isi pengajarannya okey tetapi sahsiah dia yang lemah.” Ucap Ezan membuat penilaian terhadap Cikgu Rubiah.
“Amboi! Ezan, kau ni dah macam nazir nak nilai-nilai Cikgu Rubiah segala. Tapi memang betul apa yang kau cakap tu. Aku setuju sangat!” Balas Haikal.
Perbualan mereka terhenti apabila jam ditangan Haikal menunjukkan sudah cukup masa untuk kelas tambahan itu mereka akan bermula. Mereka berdua bergegas menuju ke kelas kerana bimbang Cikgu Wong sudah masuk kelas. Cikgu Wong sangat tegas dan suka memberi hukuman kepada pelajar yang lewat masuk ke dalam kelasnya walaupun dengan sejuta alasan yang diberikan.
“Rajin betul orang tua ni mengajar. Tak cukup ke kelas waktu pagi untuk dia ajar subjek yang buat aku tak tidur malam ni.” Rungut Quziana yang tidak menggemari mata pelajaran Matematik Tambahan itu.
“Kenapa kau nak datang kalau tak nak? Bukan Mr. Wong ambil kehadiran pun. Sedih aku tengok kau ni. Perempuan-perempuan pun malas masuk kelas.” Sindir Ezan yang bengang dengan sikap Quziana yang selalu mengantuk semasa kelas Matematik Tambahan.
“Okey boss!” Balas Quziana ringkas dan tidak mahu Ezan terus berucap mengutuk dirinya.
Suasana kelas pada petang itu menjadi riuh-rendah apabila Cikgu Wong membuat lawak yang membuatkan semua pelajar geli hati. Pelajar lebih seronok bila bersama dengan guru-guru mata pelajaran lain berbanding mata pelajaran yang diajar oleh Cikgu Rubiah.
Haikal kian terpenjara dalam jerat permasalahannya dengan Cikgu Rubiah. Dia dilanda perasaan bersalah kerana membenci pendidiknya sendiri sedangkan perbuatannya itu sangat ditegah dalam agama. Guru merupakan penyuluh ilmu kepada pelajarnya.
“Layakkah Cikgu Rubiah dihormati? Dia sendiri tidak menghormati dirinya sendiri. Geram! Sedih! Benci! Semua bercampur dalam tempurung kepalaku ini.” Keluhan Haikal dalam nada marah.
Cikgu Rubiah tidak pernah mengharapkan apa-apa daripada pelajar. Salam yang diberikan kepadanya juga seperti diucapkan kepada tiang-tiang jalan berbumbung sahaja. Tidak pernah dibalasnya.
Suasana kelas 4A pada mulanya seperti keadaan di pasar minggu. Bising sangat! Mereka masih menunggu singa betina masuk ke kelas mereka untuk mengambil kehadiran. Cikgu Rubiah juga akan meneruskan sesi pengajaran pada pagi itu kerana selepas masa guru tingkatan merupakan masa mata pelajaran Bahasa Melayu. Suasana pasar minggu berubah menjadi suasana yang persis hari peperiksaan. Tiada satu suara yang mampu memecahkan hening. Sunyi!
“Seingat saya pelajar kelas ni seramai 20 orang! Tapi yang menghantar hanya 18 orang sahaja. Siapa yang tidak menghantarrrrrrrrrrrrr?” Jerit Cikgu Rubiah dengan nada yang sangat marah.
“Kenapa diammmmmmmmmmmmm? Saya mengajar kelas bisu ke?” Teriak Cikgu Rubiah sekali lagi apabila tiada pelajar yang menjawab soalan yang diajukan olehnya sebentar tadi.
“Mohamad Adam Haikal Bin Mohamad Azam Harris!!! Mohamad Ezan Ezanni Bin Mohamad Shukor Hafizi!!!” Panggilan pertama Cikgu Rubiah.
Haikal dan Ezan hanya buat-buat muka tak tahu apabila Cikgu Rubiah memanggil mereka kerana mereka tahu mereka akan dibelasah perasaan oleh Cikgu Rubiah sebentar lagi.
“Awak berdua pekak ke? Nak saya guna pembesar suara panggil dan biar semua warga sekolah tahu yang kamu berdua tak hantar kerja sekolah?” ugut Cikgu Rubiah kepada Haikal dan Ezan.
Papppppppppppp!!! Bunyi tamparan yang dilemparkan oleh Cikgu Rubiah di atas meja yang berada di hadapannya. Setiap inci hati pelajar di dalam kelas itu sudah seperti di dalam mulut buaya.
“Kenapa tak hantar latihan yang saya berikan hari tu? Malas nak buat? Atau pun tak tau nak tulis? Dah jadi bodoh?” hina Cikgu Rubiah tanpa beralas.
“Hantar pun tak da gunakan? Bukan awak semak pun! Nak menyemak meja awak kat pejabat guru sana. Bagus tak payah!” ujar Ezan yang berani bersuara.
“Betul apa yang Ezan cakap tu. Buku latihan saya dah separuh ditulis tetapi satu pun tidak ada tanda semakan dalam tu. Bagus tak payah hantar. Beres!” kata Haikal membantu Ezan.
“Tak guna! Hal sayalah nak semak ke tidak! Yang penting saya tak puas hati sekarang ni sebab awak dua tak hantar buku.” Jerit Cikgu Rubiah mula tercabar dan perasaan marahnya membuak-buak.
“Saya pun tak puas hati bila awak tak semak buku kami. Dahlah macam ‘singa betina’. Patutlah lelaki tidak ada yang tersangkut.” Sahut Haikal semula.
“Awak kata saya ‘singa betina’? Kurang ajar punya budak! Aku lempang muka kau nanti!” amaran Cikgu Rubiah kepada Haikal yang masih menjawab apa yang diucapkannya.
“Seluruh sekolah ni dah tahu gelaran ‘singa betina’ tu. Nak sembunyi apa lagi! Gelaran cikgu kurang sesuai atau pun tak padan untuk awak. Selayaknya gelaran ‘singa betina’.” Kata Haikal membuatkan Cikgu Rubiah hilang sabar dan baling duster menuju ke arah mereka berdua dibaling oleh Cikgu Rubiah.
Suasana seperti keadaan perang di Gaza. Bunyi pemadam papan tulis itu agak bising apabila terkena cermin tingkap yang berada di sebelah kiri Haikal. Haikal dapat mengelak balingan itu dengan pantas. Kalau tidak mesti dahinya yang ditutupi rambutnya itu akan mengalirkan titisan merah. Titisan yang bermaksud darah!
“Saya nak awak berdua keluar dari kelas ni! Keluarrrrrr!!!” arah Cikgu Rubiah menghalau Haikal dan juga Ezan yang sudah kelu berdebat dengan Cikgu Rubiah.
“Okey! Bye bye ‘singa betina’.” Lambai Haikal sambil berlalu dari kelas melalui pintu belakang.
“Jahanam punya budak!” ucap Cikgu Rubiah sakit hati.
Haikal dan Ezan memang sudah hilang dari pandangan Cikgu Rubiah. Lima minit selepas itu, Cikgu Rubiah bergegas meninggalkan kelas kerana tidak mampu menahan kemarahannya. Tadahan air matanya mula pecah dan linangan air mata mengalir dipipinya. Tidak pernah dia menangis seperti itu.
Mungkin Cikgu Rubiah akan melaporkan hal itu kepada pengetua. Tidak juga kepada guru kaunseling sekolah. Jangan-jangan terus kepada polis. Polis! Tak mungkin sampai ke tahap itu. Kepada siapa Cikgu Rubiah hendak mengadu sedangkan tiada seorang guru pun yang akrab dengannya kerana sudah masak dengan perangainya.
Haikal dan Ezan kembali semula ke kelas setelah loceng dan berbunyi. Tidak ada seketul pun perasaan takut yang bersarang dalam hati mereka. Apakah tindakan yang akan diambil oleh Cikgu Rubiah?
“Wow! Kamu dua memang beranilah! Saya ingat kamu dua berdiam saja tadi. Ezan! Kenapa kau diam saja lepas tu?” sampuk Syafika yang turut anti dengan Cikgu Rubiah.
“Aku speechless tadi. Tak tau nak tembak singa betina tu lagi.” Balas Ezan yang bersemangat bercerita sambil mengumpat Cikgu Rubiah.
“Amboi! Haikal! Bukan main lagi kau ya! Hebat sangat!” ucap Syafika yang memuji tindakan Haikal yang berdebat dengan Cikgu Rubiah sebentar tadi.
“Sampai bila kita nak dijajah oleh senario ini? Saya dah tak tahan lagi dengan benda ni. Kita macam dijajah oleh perasaan Cikgu Rubiah.” Kata Haikal mengeluh.
“Aku setuju sangat Haikal!” sambung Syafika yang tidak jenuh duduk untuk mendengar cerita daripada Haikal dan Ezan.
Stop!!! Tak mengutuk cikgu sendiri!” kata Ezan menamatkan ceritanya dan tidak mahu berkata apa-apa lagi.
Haikal dihantui perasaan bersalah yang menebal. Bayang-bayang Cikgu Rubiah mengganggu dirinya sehingga dia rasa menyesal atas apa yang telah terjadi di antara dia, Ezan dan Cikgu Rubiah. Tetapi Cikgu Rubiah tidak akan berubah seandainya tidak ada seorang pun yang mencegah perangai buruknya itu.
Haikal cuba untuk melelapkan matanya. Tetapi gagal. Dia masih disaluti perasaan beralah yang kian bernanah dihatinya. Apakah Ezan juga mengalami hal yang serupa? Mungkin agaknya!
Pagi yang hening dipecahkan dengan suara tawa. Suara jeritan yang menggoncang gegendang telinga. Sangat menyakitkan! Haikal dan Ezan duduk jenuh menunggu kehadiran guru tingkatan mereka untuk mengambil kehadiran dan kebetulan pada hari itu tidak ada waktu Bahasa Melayu. Cikgu Rubiah datang untuk mengambil kehadiran sahaja.
Morning class!” ucap Cikgu Leong yang merupakan penolong guru tingkatan kelas 4A.
Cikgu Leong merupakan guru mata pelajaran Fizik. Beliau sangat tegas dan seorang pakar dalam memberi motivasi. Kenapa Cikgu Leong yang mengambil kehadiran untuk hari ini? Mengapa tidak ‘singa betina’?
Morning sir!” laungan ucapan selamat pagi diberikan kepada Cikgu Leong.
Cikgu Leong tanpa memberi mukadimahnya terus mengambil kehadiran dan tidak menerangkan kenapa beliau menggantikan Cikgu Rubiah pada pagi itu. Cikgu Leong juga tidak ngam sangat dengan Cikgu Rubiah kerana mereka juga selalu bertekak kecil berkaitan hal kelas 4A.
“Cikgu, mana Cikgu Rubiah?” tanya Ezan tidak berpuas hati apabila ‘singa betina’ itu tidak muncul pada pagi itu.
“Cikgu Rubiah tidak datang hari ini. Dia minta cuti sakit. Dia sekarang dekat hospital. Hospital!” jelas Cikgu Leong kembali.
“Hospital!!! Apa dah jadi dengan Cikgu Rubiah?” tiba-tiba panggilan cikgu diujarkan oleh Haikal apabila mendapati guru kelas mereka itu sedang berada di hospital.
“Semalam Cikgu Rubiah kemalangan. Remuk habis kereta dia. Nasib baik Tuhan masih beri dia kesempatan. Dia cedera teruk! Dia sekarang dekat wad ICU.” Jelas Cikgu Leong menerangkan keadaan sebenar.
Semua pelajar kelas 4A tidak mampu bersuara lagi. Semua menjadi kelu dan tidak mahu bertanya lagi tentang Cikgu Rubiah. Haikal berasa sangat takut kerana dia bersalah terhadap Cikgu Rubiah.
“Ya Allah, apa yang aku lakukan ke atas Cikgu Rubiah sangat berdosa. Izinkan aku berjumpa dan memohon maaf daripadanya.” Haikal meminta petunjuk agar Cikgu Rubiah membuka pintu hatinya untuk memaafkan Haikal.
Haikal tanpa berfikir panjang. Dia mengajak Ezan untuk melawat Cikgu Rubiah di hospital. Ezan menurut sahaja kerana diburu perasaan yang sama. Haikal meminta ibunya menghantar mereka berdua ke hospital di mana Cikgu Rubiah sedang berada.
Tiba di hospital, Haikal melihat seorang wanita yang sudah berusia menangis teresak-esak. Wanita itu mirip wajah Cikgu Rubiah. Kenapa dia menangis? Jangan-jangan wanita itu ibu kepada Cikgu Rubiah? Haikal, Ezan dan ibu Haikal menghampiri wanita itu untuk meminta penjelasan.
“Assalamualaikum...” ucap Haikal kepada wanita yang disangkanya ibu kepada Cikgu Rubiahh.
“Waalaikumussalam nak. Ada apa yang boleh mak cik bantu?” tanya wanita itu semula.
“Mak cik ni tunggu siapa? Mak cik nampak macam sedang menangis!” kata Haikal simpati.
“Mak cik tunggu anak mak cik. Anak mak cik kemalangan teruk semalam. Nasib masih menyebelahi dia sebab dia masih mampu melihat dunia ciptaan Allah ini. Anak ni buat apa kemari? Nak melawat saudara ke?” jelas wanita itu dalam nada yang memilukan.
“Anak mak cik! Cikgu Rubiah ke?” teka Haikal lagi.
“Ya. Anak mak cik la tu. Anak ni murid Cikgu Rubiah ke?” balas wanita itu berteka-teki dengan Haikal.
“Ya mak cik. Cikgu Rubiah tu guru kelas saya. Saya nak jumpa dia mak cik. Boleh ke?” pinta Haikal merayu.
“Masuklah nak. Dia ada dalam bilik tu. Bilik 301.” Tunjuk wanita itu ke arah bilik yang menempatkan Cikgu Rubiah.
Haikal berterima kasih kepada wanita yang merupakan ibu kepada Cikgu Rubiah. Mereka bergegeas ke bilik 301 untuk berjumpa dengan Cikgu Rubiah. Kenapa ibunya sendiri tidak mahu menemani dia di dalam bilik? Nampak gaya Cikgu Rubiah tidak ada banyak rakan dan taulan. Tidak ada satu orang pun yang melawatnya. Mungkin kerana perangainya menyebabkan dia dicaci dan tidak dipedulikan. Kasihan Cikgu Rubiah.
Haikal menguak daun pintu dan sepasang matanya melihat Cikgu Rubiah sedang terbaring menahan kesakitan. Haikal, Ezan dan ibu Haikal menghampiri Cikgu Rubiah dengan penuh harapan Cikgu Rubiah menerima kehadiran mereka.
“Assalamualaikum cikgu...” ucap Haikal dan Ezan serentak.
“Waalaikumussalam. Haikal! Ezan! Apa awak berdua buat kat sini? Cikgu dah nak mati ni pun korang masih nak jumpa cikgu.” Kata Cikgu Rubiah sambil air mata egonya selama ini dikeluarkannya.
“Cikgu, jangan cakap macam tu. Kami datang nak minta maaf dengan cikgu pasal hari tu. Maafkan kami cikgu!” pohon Haikal sambil menangis melihat keadaan Cikgu Rubiah.
“Cikgu dah maafkan kalian. Bukan salah kalian. Cikgu yang patut dipersalahkan. Cikgu sepatutnya mati dan kenapa Tuhan tidak ambil terus nyawa cikgu yang jahat dan hina ni?” ucap Cikgu Rubiah yang berputus asa untuk meneruskan hidupnya.
“Astaghfirullahalazimmmmm cikgu! Kenapa cikgu cakap macam ni? Tuhan beri masa untuk cikgu memaafkan kami. Cikgu banyakkan berdoa dan mendekatkan diri dengan Allah agar hidayah akan diberikan kepada cikgu.” Balas Ezan yang turut menangis melihat keadaan Cikgu Rubiah.
“Haikal, Ezan, maafkan salah cikgu! Cikgu dah buat kamu semua tak menentu. Cikgu ada masalah dalaman sebenarnya yang buat cikgu cepat marah. Cikgu tak mampu nak senyum. Sukar cikgu nak bagi tau ni.” Jelas Cikgu Rubiah sambil mengusap kepala Haikal tanda memohon maaf.
Haikal dan Ezan menangis tidak henti-henti mendengar penjelasan yang diberikan oleh Cikgu Rubiah. Cikgu Rubiah sangat berbesar hati dengan Haikal dan Ezan kerana mereka berdua sahaja warga sekolah yang datang melawatnya di hospital. Sanak-saudara Cikgu Rubiah sendiri tidak ada melawatnya ketika dia sedang tenat dan mengerang kesakitan itu.
Cikgu Rubiah mengalami masalah kanser sarang anak. Pendarahan selalu berlaku pada bahagian sarang anaknya menyebabkan dia derita menanggung kesakitan. Oleh sebab itu Cikgu Rubiah tidak mahu melamar atau menerima lamaran dari mana-mana lelaki kerana Cikgu Rubiah tidak mahu mengecewakan bakal suaminya itu. Tidak ada satu orang pun yang mengetahui masalah itu kecuali doktor pakar yang merawat Cikgu Rubiah sahaja yang mengetahui hal sebenar.
“Kenapa cikgu tak cakap dengan kita orang?” tanya Haikal sambil mengesat air matanya yang masih mengalir laju.
“Cikgu tak sanggup nak berkongsi derita dengan sesiapa pun. Cukuplah cikgu sendiri yang menanggung. Sampai sekarang pun pendarahan itu belum berhenti. Sakit sangat Haikal.” Kata Cikgu Rubiah pasrah.
Haikal dan Ezan masih menatap wajah Cikgu Rubiah yang sudah pucat dan ketulan darah masih ada di dahinya. Derita yang ditanggung oleh Cikgu Rubiah tiada orang pun yang dapat merasa betapa sakitnya.
“Apa gelaran untuk cikgu tu? Lupa dah cikgu.” Tanya Cikgu Rubiah berkaitan dengan panggilan yang diberikan oleh pelajar kepada dirinya.
“’Singa betina’ cikgu!” balas Haikal dan Ezan serentak.
Cikgu Rubiah tersenyum mendengar gelaran yang diberikan kepadanya. Memang patut gelaran itu diberikan kepada guru-guru yang sangat garang seperti dirinya. Singa betina!
Cikgu Rubiah cuba menarik nafasnya. Darah semakin banyak keluar akibat pendarahan di pangkal rahimnya menyebabkan Cikgu Rubiah tercungap-cungap bernafas. Cikgu Rubiah semakin lemah dan wanita yang mengaku ibu kepada Cikgu Rubiah menenangkan Cikgu Rubiah dan membelai Cikgu Rubiah seperti anak kecil.
Laungan azan berkumandang dari masjid yang berdekatan. Solat Asar telahpun tiba dan Cikgu Rubiah menutup mata dan menghembus nafasnya yang terakhir setelah suara azan menulusuri gegendang telinganya. Cikgu Rubiah hanya sempat mengatakan yang dia akan pergi untuk selama-lamanya.
Suara tangis memecahkan suasana senyap. Jenazah Cikgu Rubiah diuruskan oleh pihak hospital dan Haikal berasa lega kerana sudah mendapatkan kemaafan daripada Cikgu Rubiah walaupun dia kehilangan guru yang banyak mengajarnya erti kesabaran.
Haikal, Ezan dan ibu Haikal meninggalkan hospital sebelum waktu Maghrib tiba. Semoga roh Cikgu Rubiah ditempat dalam kalangan orang-orang yang beriman. 




No comments:

Post a Comment